Tuesday, December 08, 2009

kaffarah

Jumaat malam saya mendapat berita dari suri yang Alya dimasukkan ke hospital akibat alahan teruk pada muka. Saya terima MMS dari suri. Wajah Alya nampak sakit. Hinggakan kedua-dua matanya tidak dapat dibuka akibat bengkak. Kata doktor ia mungkin akibat radang kulit ataupun jangkitan kuman. Sebagai ayah, tuhan sahaja yang tahu perasaan saya saat itu. Ingin sahaja saya pulang segera, namun mertua menasihati saya untuk bertolak esok pagi sahaja khuatir terjadi perkara yang buruk pula nanti. Maklumlah dengan hati yang sedang libang-libu macam-macam boleh terjadi. Saya tabahkan hati. Sambil mohon ampun pada Allah jika ini kafarah atas dosa-dosa yang saya lakukan.

Koma

Sabtu pagi, seusai subuh saya bergegas pulang. Perasaan gundah dari semalam masih bergolak. Suri di hospital sudah tidak keruan. Setiap kali telefon cuma tangisan yang didengari. Saya nasihatinya agar bersabar dan beristighfar sebanyak mungkin.

Koma

4 hari di hospital. Saya habiskan 2/3 masa saya menemani suri dan alya di wad. Pergi awal pagi dan pulang pada pukul 10.30 malam iaitu tempoh akhir si suami untuk datang melawat. Ubat homeopathy yang saya ambil untuk alya tidak putus saya berikan. Itupun diberi diluar pengetahuan doktor dan misi. Alya nampak semakin sembuh kesan ubat yang diberikan. Memang sedih apabila melihat raungan alya yang acapkali disuntik antibiotik hampir 5 kali sehari. Alhamdulillah, hari ke-4 alya dibenarkan pulang selepas komplikasi pada muka kian sembuh. Air mata di wajah suri akhirnya terseka jua.

Koma

Ini ujian awal yang Allah berikan pada saya dan suri. Kemudian hari masih berbalam-balam lagi perjalanannya. Namun setiap yang baik dan buruk itu datang dari-Nya. Kehidupan ini mesti diteruskan. Waima apa jua ujian yang Allah berikan. Setiap musibah yang berlaku terselindung hikmah yang tersembunyi. Buat kita kuat. Dan sedar akan diri ini yang amat-amat kerdil di sisi Allah. Hari ini sebelum pulang ke ibu kota, saya ingatkan pada suri agar menerima setiap ujian yang datang dengan sabar. Ia mungkin kafarah atas dosa-dosa kita yang lalu. Agar kita sentiasa ingat dan acapkali muhasabah diri selalu.

Noktah

Wednesday, November 25, 2009

fantasi dan bayang-bayang

rindu ini yang terapung
antara fantasi
dan bayang-bayang
menyelonggar kekusutan yang acap datang dan pergi
kata-kata muluk
berjajaran seperti buruj
dilangit
suramnya nestapa
lalu sebuah puisi kelam tercipta
bait-bait nista
tanpa tanda duga
antara sang penguasa rakus
pengampu yang setia
marhain buta
dan anak-anak kehausan
kasih-sayang
segalanya punya harga

fantasi dan bayang-bayang
catatannya sama
ceritanya duka

Saturday, November 21, 2009

Jam menerjah 12 tengah malam. Tiada apa tinggal. Melainkan hanya bait-bait rindu yang membungkam. Tiada apa yang ada pada malam ini yang dapat membebat nyalarasa ini. Peti Tv maupun bingit corong radio. Nyanyian hati yang penuh sunyi. Tiada teman dibawa bual.

Tuesday, November 17, 2009

Menatap ruang kasih

Nyalarasa ayah dan bonda kala mendakap kelahiran pertama membuhul penuh dengan perasaan bahagia yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Segalanya indah-indah belaka. Naluri yang cukup klasik yang dianugerahkan oleh Rabbuljalalah pada setiap yang punya gelar ayah dan bonda. Syukur. Pada dini subuh seorang bayi perempuan keluar dari rahim yang mulia menatap indahnya bumi Tuhan, dengan segala rencam yang masih berbalam-balam lagi perjalanannya. Namun Tuhan pasti telah menetapkan pada setiap qada dan qadarnya. Kerja Tuhan siapa tahu. Tak terucap melainkan lafaz tahmid dari bibir saya dan isteri. Pastinya dia lahir hasil dari rasa cinta kami berdua yang tak terhempang arusnya. Setiap inci tubuh kecilnya saya renung dengan rasa syukur. Maha besar Allah yang menjadikan manusia dari setitis air langsung membentuk susuk tubuh manusia yang sempurna . Syukur Ya Allah. Moga Allah memelihara pada setiap anjung hidupnya nanti. Amin.

KOMA


Hari itu, 7 november 2009, bersamaan dengan hari sabtu 19 zulkaedah 1430H, pukul 6.32 pagi, dengan berat 2.4kg, lahir seorang bayi perempuan yang comel. Kami namakan Nur Alya Insyirah. Lahir ke dunia hasil dari nyala cinta ayah dan bonda.

NOKTAH

12 November 2009. Alya dimasukkan ke hospital Taiping. Ada komplikasi jaundis (kuning) kata misi di klinik kesihatan Changkat Jering. Bondanya dah berenang dengan airmata sejak diberitahu Alya akan masuk wad. Kata doktor muda keturunan tiong hua di hospital taiping kepada saya, keadaan Alya stabil dan bacaan darahnya masih belum diparas bahaya. Itupun bondanya sudah tidak keruan. Namun saya tetap menunaikan tanggungjawab saya sebagai suami dan ayah untuk menjaga mereka berdua. Disamping doa saya tanpa putus pada Allah agar diberikan kesihatan pada mereka berdua

KOMA

13 November 2009. Alya dibenarkan keluar dari wad. Kata doktor muda keturunan tiong hua itu bacaan darah alya kembali normal. Alya tampak sihat. begitu jua bondanya. Syukur tuhan memelihara mereka berdua.

Monday, November 02, 2009

Dr Asri


Semalam bekas mufti Perlis, Dr Asri ditahan Jais ketika menyampaikan ceramahnya di sebuah kediaman di taman sri ukay atas dakwaan tidak mendapat tauliah untuk memberi ceramah. Berita ini jadi muka depan hampir di setiap media cetak arus perdana, termasuklah tabloid harian metro. Tauliah yang macam mana yang dimaksudkan oleh Jais tidak saya ketahui. Seorang bekas mufti, ahli akademik, doktorat dalam bidang hadis masih belum layak untuk memberi ceramah tentang Islam, apakah kayu ukur yang mahu diletakkan oleh Jais. Saya tidak pernah mendengar ceramah dr asri secara langsung, cuma menemuinya dalam ceramah yang saya muat turun dari laman sesawangnya. Pada pandangan saya tidak pernah dr asri mengajar ajaran yang salah tentang islam. Segalanya atas landas al-quran dan sunnah rasul. Adakah berpegang teguh kepada dua perkara ini dianggap wahabi.

Sunday, November 01, 2009

Tepu rasanya minda. Kocak fikiran kadangkala menggugah nyalarasa. Nyatanya ia bukan mudah. Melalui jalan ini dalam sekalian kekeliruan yang datang. Esok jalannya masih ada. Masih terbentang luas. Dan aku menadah rasa syukur atas setiap jalan yang aku lalui ini.

Sunday, October 18, 2009

HINGAR

Di luar sana hingar membuat dinding koklea terasa bingit. Ruang-ruang untuk menikmati anjung minggu terasa bagai dicabuli dengan rasa bengang. Mencari sunyi di kotaraya bagai berperang dengan sekalian bala tentera hedonisme. Mungkin di sini begitulah rencam budayanya. Budaya hibur dan libur tanpa ada tanda fikir di otak.
KOMA
Di ruang ini tiada idea untuk dikongsi. Nol. Buku-buku di rak kian berhabuk. Ada yang tungang-terbalik tanpa indeks. Waktu-waktu ini kadangkala mengarut ada baiknya. Macam menonton drama tahyul dan mistik di kaca tivi sambil mengunyah saki-baki kuih raya.
KOMA
Sasterawan Negara Dr Anwar Ridhwan muncul sebagai tetamu di astro awani. Hebat orangnya. Dah baca 'hari-hari terakhir seorang seniman' dan 'naratif ogonshoto'. Aku ada. Tapi kalau kamu nak baca baik beli sendiri.
NOKTAH

Friday, October 16, 2009

Benda alah ini sudah jadi kegilaan baru aku. Hingga aku hampir lupa yang aku punya blog yang sekian lama tidak dikemaskini. Maaf. Aku perlukan sikit ruang untuk mengenali'nya' lagi.

Sunday, October 04, 2009

antara samar dan bayang-bayang sepinya tetap sama
barut luka yang penuh nanar diseka air mata yang jujur
menanam derita membenih tawa tak terpadam oleh amarah
sampai waktu nanti ia akan terbang dibawa pawana.
hilang tanpa anjung angsana.

Monday, September 28, 2009

Syawal

Tiada yang terindah selain menyambut syawal ini bersama keluarga tersayang. Dan kasih itu saling bergentayangan di pohon hati yang merah ranum dengan rasa cinta. Tahun ini kali pertama saya menyambut lebaran bersama keluarga baru, sebelah mertua. Meriahnya tetap sama seperti di rumah sendiri. Terkenang kampung halaman saya yang sudah lama saya tinggalkan. Nostalgia lama kembali mengamit lubuk hati. Apa khabar rakan-rakan dikampung? Pakcik makcik yang pasti kian renta dimamah usia, masih sihatkah mereka?. Ini bukan persoalan. Ia adalah pusingan kehidupan yang pasti kita akan hadapi nanti. Pulang menemui bonda adalah nikmat yang tak terhingga kepada saya. Ayahanda sudah sekian lama pergi meninggalkan kami sekeluarga, adik-beradik. Namun bonda masih meneruskan kehidupan tuanya melihat anak-anaknya yang semuanya sudah besar, waima dalam besar-besar inipun perangai kebudak-budakan kami masih tak sudah. Namun bonda pasti tersenyum melihat kerenah kami. Perit menggalas amanah gemulah ayahanda sudah semakin ringan di bahu. Semalam saya dan isteri meninggalkan susuk tubuh bonda dengan kucup-cium kami yang tidak terhempang arusnya. Namun doa kami akan sentiasa kami titipkan. Agar bonda sihat. Dapat mendekatkan diri dengan Allah sehingga ke penghujung nyawanya.

Sunday, September 06, 2009

Ramadhan yang datang

Tanpa sedar rupanya sudah separuh ramadhan datang mengetuk setiap pintu hati mukminin mukminat yang penuh sabar menunaikan rukun Islam yang ketiga. Ini coretan pertama saya dalam bulan yang mulia ini. Ibarat orang berwisata jauh yang baru pulang kembali ke mandala asal. Namun tiada cerita-cerita muluk mahu diberitahu. Soal persiapan raya yang klise. Tukar selagi boleh dan mampu ditukar. Dalam gawat-gawat inipun kuasa beli tidak pernah luntur malahan semakin menyubur. Cuma bezanya inilah ramadhan saya yang pertama menjadi suami kepada suri saya dalam kehidupan yang segalanya cukup sederhana. Tapi dalam kesederhanaan ini membuhul berakah yang tidak pernah saya rasai semasa bujang dahulu. Alhamdulillah segala cukup dalam keadaan kami yang baru mahu membina kehidupan. Namun dengan kehadiran orang baru dalam hidup kami nanti kadangkala buat saya gundah juga. Persiapan menyambut kehadiran orang baru masih berdikit-dikit tapi sedaya mungkin untuk melengkapkannya. Terima kasih pada suri yang sudah siap menyenaraikan segala keperluan yang aula semasa menyambutnya nanti. Al-maklumlah, yang pertama. Segala masih nol.

Diluar sana masih ramai lagi rakan-rakan saya yang masih belum merasai nikmat berumahtangga, waima ada diantara mereka yang sudah bergaji beribu-ribu dan ada yang sudah memiliki rumah idaman sendiri. Tanpa ada rasa iri, mungkin itu rezeki yang Allah berikan pada mereka. Dan saya yakin rezeki saya sekeluarga Allah sudah simpankan di ruang yang lain. Kerja Tuhan siapa tahu.

Noktah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...