Monday, January 09, 2012

Sunyi

Untuk beberapa minggu ini saya bersendiri di Tasik Prima. Kesunyian ini sungguh menggigit jiwa saya. Rindu yang sangat membungkam. Suri dan 2 putri pengarang jantung saya berada di kampung. Paling terasa bila Alya Insyirah tiada disamping saya. Sungguh saya amat-amat merinduinya. Rindu akan telatahnya, rindu gelak tawa dan gurau sendanya. 


Sunday, January 01, 2012

2012 | Bismillah


Dengan nama Allah tahun 2012 datang. Sekalian orang datang dengan azam yang membuhul. Samaada menulis azam yang baru atau menyambung semula azam yang lepas untuk yang keberapa kali. Malam ini saya cuma di rumah. Dan syukur saya kini berada di rumah sendiri. Jika mahu dikatakan itu pencapaian untuk saya pada tahun ini, mungkin juga. Ah! saya bukannya orang besar yang pencapaiannya besar-besar. Namun 2011 meninggalkan beberapa perkara yang baik, sebagai kesinambungan tahun-tahun mendatang. 2011 saya dan suri sudah punya rumah sendiri, dan tanggal hari natal yang lalu kami dikurniakan seorang lagi putri. Itu yang baik-baik berlaku 2011 yang lalu, dan kami terus melihat kehadapan, tanpa meoleh kebelakang. 


Wednesday, December 28, 2011

Menanti Dina | 25.12.2011


Rasa debar sewaktu menyambut kelahiran kedua ini sama seperti yang pertama. Mungkin persediaan itu sudah ada sedikit. Terkejut juga saya tarikh kelahiran kedua ini hampir 3 minggu awal dari yang dijangka oleh si doktor. Namun dalam gundah itu syukur saya pada Azzawajalla segalanya berjalan lancar dan selamat. Ya, bonda dan 'baby' keduanya selamat. Suri masih belum kuat lagi menopang badan. Lalu saya yang jadi tempat bertahan. Syukur juga tuhan berikan saya kesihatan waktu musim-musim ramai orang yang demam ini. 
Alya macam mana pula?. Ragam kak Alya sejak beberapa hari sebelum adiknya hadir lain macam sikit. Ada sahaja yang tidak kena. Kadangkala tidak tahu apa yang dimahunya. Kata orang tua-tua keliling saya itu memang kebiasaan untuk anak yang bakal menerima adik. Namun jauh disudut hati, sayang saya pada Alya tetap sama, sama seperti saat kami menerima kehadirannya dahulu. Alya lahir sewaktu kami menempuh waktu-waktu sulit diawal perkahwinan. Masakan itu kami akan lupa. Segala suka dan duka. 
Bersendiri, kemudian berdua, hadir yang ketiga, dan kini berempat. 'and the best is yet to come'. Insyaallah...

Monday, December 26, 2011

Selamat datang ahli baru


Ahli terbaru kami. Lahir seorang putri dengan berat 2.3 kg malam semalam saat penganut kristian menyambut hari natal di siangnya. Pukul 10.10pm dia mengucapkan selamat tinggal pada dunia rahim. Disambut oleh Dr Anita berserta dengan sepasukan 'Misi' di Hospital Pakar An-Nur Hasanah, Bandar Baru Bangi. Insyaallah akan kami namakan putri kami ini dengan nama 'Nur Irdina Raudhah". Mohon Allah menjaganya dalam setiap langkahan kakinya, menjadi srikandi solehah pembela ummah.

p/s: gambar ini cuma dirakam dengan i-phone. Tidak berapa cantik hasilnya.

Thursday, December 22, 2011

The Deco


Rumah saya tidak punya banyak deko, berambu-ramba dan warna-warni gitu. Saya lebih minati tema yang minimalis. (baca: sungguh tema ini sesuai dengan saya yang tidak punya bajet yang besar mengupah tukang hias dalaman). Kedua-dua kaligrafi khat jenis kufi ini saya tempah di laman mukabuku. Di cetak atas kanvas. Hasil yang memuaskan hati saya. Selain 2 ekor ikan puyu yang saya bela, ini penghias rumah saya yang kedua. Selepas ini perlahan-perlahan akan saya fikirkan yang lain. Konsep saya minimalis. jadi tidaklah perlu beria-ria dan tergesa-gesa sangat. 

 

Thursday, December 08, 2011

Momen


Saya bukan jurufoto professional yang kerjanya merakam gambar model-model yang anggun. Namun setiap 'shutter' dari lensa kamera saya, punya momen yang terindah. Dan momen itu tidak dapat dibeli dan ditukar. Mungkin acapkali gambar yang terpapar di laman blog ini adalah seorang budak kecil yang sedang meniti usia, Ya, si comel ini anak saya. Harta saya, pengarang jantung saya. Setiap gambar ini nanti akan jadi kasih rindu saya bila dia membesar. Sedikit-sedikit meningkat remaja, dewasa dan punya haluan sendiri nanti. Dan bila nanti saya dan suri meniti usia renta, momen ini yang akan jadi tatapan. Mengenang saat kecilnya yang penuh warna dan ragam.


Sunday, December 04, 2011

Yummy!!!




Cuaca panas di luar membawa kami ke sini. Saya dan si kecil alya sudah merasanya. Tinggal bonda yang masih belum lagi menikmatinya. Sebetulnya ia tidaklah dirancang, cuma kebetulan ketemu dengan 'tutti frutti' yang ada orang katakan sedap. Aiskerim yogurt ini sebetulnya tidak menepati tekak saya. Lebih enak aiskerim  kampung yang pelbagai perisa dijual dalam bekas plastik panjang itu. Tapi sebab di kota ini, jika mahu dipandang urban, di sinilah tempatnya. Aiskerim kini sudah jadi kayu ukur status. Aduhai...


Saturday, November 26, 2011

Meniti Muharram yang sekian kalinya | 1433H

Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).

Kita menyambut Muharram untuk kesian kalinya. entah berapa banyak perarakan yang kita sertai, atau ceramah, forum yang kita hadiri. Muharram masih jadi tarikh yang asing. Kalendar yang kita lupa. Untuk sebahagian, waimapun tidak semua dari kita. Masa terus berjalan. Bulan demi bulan. Hari demi hari. Masih lagi insan yang sama. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...