Wednesday, October 18, 2006

Wasiat

Bukan niat ini untuk bicara soal nyalarasa

Bukan niat ini untuk menyimpan segala api rindu

Segalanya telah lama bersarang dihati

Hingga ia jadi tumor

Menunggu masa untuk operasi

Dan doktor beritahu yang hidupku cuma ada 24 jam

Mahu ku beritahumu

Bukan dengan petah tutur kata

Tapi percayalah setiap helai nafasku

Bahawa cinta itu kata sumpah

Bicara dari dalam

Tidak dari luar

Itu mudah buatku

Aku cuma ada 12 jam lagi

Dan berbahagialah dengan hidupmu

Cumbuilah dengan rasa syukur pada Tuhan

Tuesday, October 10, 2006

CINTA

Ada hal yang tidak ingin kita lepaskan dan ada orang-orang yang tidak ingin kita tinggalkan. Tetapi ingatlah, melepaskan bukan bererti akhir dari dunia melainkan awal dari kehidupan baru.
Apabila cintamu tidak berhasil, bebaskanlah dirimu. Biarkanlah hatimu kembali melebarkan sayapnya dan terbang kealam bebas lagi. Ingatlah, kamu mungkin menemukan cinta dan kehilangannya, tatapi saat cinta itu dimatikan, kamu tidak perlu mati bersamanya.
Walaupun dalam urusan cinta kita sangat jarang menang namun, ketika cinta itu tulus meskipun mungkin kelihatannya kamu kalah, kamu sebenarnya menang kerana kamu berbahagia sewaktu kamu dapat mencintai seseorang lebih dari kamu mencintai diri kamu sendiri…..

Monday, October 09, 2006

Beritahuku

Beritahuku

Cerita sebenar di balik kelambu itu

Dari setiap helaian-helaian sumpah

Yang menggomol malumu

Mana perginya kamu

Menghilang tanpa seucap baris kata


Beritahuku

Waima siang tak kunjung-kunjung

Dan malam larut dalam ghairah kasmaran


Beritahuku

Susuk tubuhmu untuk siapa

Di ratah hingga renta

Lunyai dihenyak kuasa

Sekujur tubuh lena


Mahu kuberitahumu

Mereka membuka kutangmu dengan rakus

Berahi membuatmu hidup yang meminta

Dahulu hingga sekarang

Manusia buas takkan pupus

Dari politisi hingga insan kemacar


Mahu kuberitahumu

Rasa empatiku

Bahawa dalam remang-remang lorongmu

Masih ada kandil yang bersinar

Matahati reformasi

Keluar dari dunia mahingmu

26 mac 2006

p/s: lorong-lorong gelap itu seumpama sebuah dunia lain. Sisi dunia dengan peraturannya, penguasanya. Kamu tak bisa memilih dan tidak diberi pilihan. Semua telah ditetapkan. Suaranya adalah kebisuan. Sebuah dunia libur. Dunia noda. Jangan salahkan mereka kerana kita hidup dalam milieu ini.

Sunday, October 08, 2006

SECAWAN KOPI

Secawan kopi waktu pagi

Di kopitiam tepi jalan besar

Waktu keliling macet dengan motokar

Membawa asap hitam ke ruang udara lepas

Namun mana terlawan aroma kopi pagi

Yang buat setiap belulang dan sendi segera bangun

Secawan kopi panas

Hangatnya laksana suria pagi

Sambil meminjam angan-angan Mat jenin

Yang sedang meninggi memahut dahan nyiur

Sedang buahnya masih belum tercapai dek tangan

Secawan kopi pekat

Dihidang oleh dara mungil desa kepayang

Kopi yang kelatpun boleh jadi manis

Bukan saja yang belia

Yang bertongkat pun terangkat

Secawan kopi

Bukan sekadar sarapan pagi

Tapi eskapisme marhean desa kota

Sebelum Ahmad kembali ke sawah

Raju kembali ke estet

Manjit kembali ke ladang

Ah Seng kembali ke gudang

Sambil menyusung impian

Agar hari ini di murahkan rezeki anak-bini

p/s: aku tak minum kopi, aku lebih suka minum teh O. Arwah tok aku dulu cukup suka minum kopi pekat dan kelat, sambil hisap rokok daun. Aku rasa orang minum kopi sebab mahu lepaskan tekanan. Kopi boleh jadi bahan stimulen. Sebab tu orang campur tongkat ali atau kacip fatimah dalam kopi tidak dalam teh. Kalau ada tak tahu pula aku, Bahan asasnya kan kafein, yang buat orang ketagih. Tapi ketagih kopi takpala dari ketagih ganja, marijuana, pil khayal, ubat batuk ataupun daun ketum.

MERAWAT SUNYI

merawat kesunyian

yang melayang tanpa arah

Kosong ujana mata

betapa jiwa ini meronta

sesat dalam bustan rindu

kemana mahu dicari damai itu

Cuma tinggal puing-puing resah

Cinta

ibarat pelangi waktu

Juga arak didalam gelas kaca

Kala ia datang

Anginpun berpuput dingin

Dan jika ia pergi

Membawa nanar penuh luka

Cinta yang sunyi

cuma menyanyi dlm hati

TULISKAN APA SAHAJA

Tuliskan apa sahaja

Dengan mata penamu

Atau dengan bingit mesin taipmu

Tuliskan apa sahaja

Tentang nyalarasa

Yang terbungkam dalam benak hatimu

Biar berdetak jantung selama itu

Tuliskan apa sahaja

Dalam khali ini

Waima dirimu diulit sepi

Sunday, April 02, 2006

SUDIKAH KAU

Sudikah kau menjadi pepohon
Dan aku menjadi akar
Sudikah kau menjadi lelayang
Dan aku menjadi bayu
Sudikah kau menjadi dian
Dan aku nyala apimu
Sudikah kau menjadi bintang
Dan aku menjadi bulan
Sudikah kau menjadi puisi
Dan aku menjadi melodi

Kau dan aku
Menyatu jadi satu
Satu jiwa dalam raga
Menyemai buah rindu
Menyisih bibit sengketa
Tidakkan tergugah gunung cita
Selagi kasih terpaut dilubuk sukma

LAUT HARAPAN


Seluas lautan jauh pada pandang mata
Dalamnya menghimpun khazanah
Tanpa tanda duga

Mutiara dan emas hitam


Busa ombak mengalun Zikrullah
Lagu zikir Azzawajalla
Memuji Rabbuljallah
Tanpa henti memutar biji-biji tasbih

Maha Suci Tuhan yang menjadikan


Yunus pernah ditelan Nun diperutnya
Berteleku menginsafi diri dari dalamnya

Nuh berlayar dengan penuh iman didada
sebelum dihanyutkan tuhan ke Juddi

Terkenang juga kelana Battutah seputar alam

Mencari makna syukur pada tuhan


Lautan yang memenuhi ruas pandangku

Betapa ku insafi cetek ilmuku

cuma sisa-sisa air dari telapak tangan kecil ini

Sedangkan ilmuMu saujana lautan luas

Syukur
atas apa yang aku imani
Maha suci ALLAH


Port Dickson


5/3/06

Saturday, January 21, 2006

Balik kerja

Balik kerja
Waktu sore melabuh di ufuk barat
Langit kirmizi kenampakan
Jiwa yang kacau
Mengejar kehidupan
Dunia moden kata kita
Semuanya bertanda RM
Remang-remang retina
Di puncak hedinis

Thursday, August 04, 2005

Kesana-kemari

kesana-kemari
seputar laman-laman kontang
kosong dan kering
mencari wadi penuh air
di padang pasir
yang ada hanyalah fatamorgana

kesana-kemari
di bumi tuhan
melimpah rezeki di mana-mana

Kita Teroka Makna Fikir

mari kita teroka makna fikir
menyelami yang tersurat serta tersirat
yang zahir dan yang batin
di dalam mahupun di luar

mari kita teroka makna fikir
mencari rentak yang betul-betuk berfikir
bersalut waras bersama rasional

akal ini adalah anugerah Illahi
buat mereka yang mahu berfikir
walau seketika
tentang rahmatnya keliling kita

Monday, August 01, 2005

Terima Kasih

Terima kasih kerana sudi menjengok blog yang sekecil ini. Terima kasih juga atas kritikan yang dilontarkan. Pada masa hadapan, setiap lompong-lompong kosong itu akan aku cuba perbaiki dan ini buat aku terus bersemangat untuk terus berkarya di blog ini. Motif sebenar blog ini adalah untuk menghimpunkan puisi-puisi aku yang bersepah-sepah. Kebanyakkannya aku tulis atas lembaran-lembaran kertas yang kini hampir lunyai dimakan masa. Menyedari akan berharga puisi-puisi ini, aku mula menyalinnya semula dalam blog ini.(bukannya senang untuk mencipta puisi-puisi ini. Kadang-kadang idea tu cuma datang dalam beberapa rangkap sahaja dan kemudiannya hilang)

Friday, July 29, 2005

"Perhatikanlah, betapakah mereka mengada-adakan dusta terhadap Allah? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang nyata (bagi mereka)." (Surah An-Nisaa’: Ayat 50)

Tafakkur

Renunglah penciptaan diri
Setiap rinci susukmu
Renunglah ujana alam
Setiap langkah kelanamu
Terokai makna tafakkur
Dalam uzlahmu
Atau di tengah khalayak massa
Memahami rahmat Illahi

Tanpa waham

Thursday, July 28, 2005

CUKUP

Manusia tidak pernah berasa cukup. Bilakah cukup adalah cukup? Bilakah ada adalah ada; dan bilakah tiada adalah tiada? Manusia selalu ingin mencapai langit. Sesudah bumi dan laut diterokai; angkasa pula mahu ditawani. Seolah-olah mencari tuhan.
Seolah-olah ingin membuktikan akal adalah kuasa. Di bawah; penghuni bumi mati dalam kepulan asap yang datang daripada pelbagai punca. Bersamanya pelbagai penyakit kuku dan mulut; dan segala yang ada pada badan. Di angkasa; satelit dan roket melayang-layang mencari makna.

ADA KATA

Ada kata yang tak menjadi kata
Ada rasa dibalik rasa pertama
Kata yang terupam
Kata yang terpendam
Di balik rahsia kamar malam
Rindu yang memanggil-manggil
Pulanglah
Pulanglah pendaki gunung tujuh
Pulang dengan makna cinta disepuh
Ada kata yang menjadi kata
Ada kata yang menjadi cinta

Wednesday, July 27, 2005

Terdesak

Terdesak untuk hidup. Lakukan apa sahaja untuk terus hidup; merompak, mencuri, samun,culik, rasuah, kronisme. Ah! kehidupan memang begitu.
Akupun sama. Tak payah nak tuduh orang lain. Buat apa nak jadi hipokrit. Memang banyak manusia hipokrit la ni. Depan cakap lain, belakang buat lain. Jenis macam ini memang merata-rata seputar kita. Hidup akupun memang sudah biasa berhadapan dengan makhluk-makhluk dua muka ini.
Aku jenis yang terdesak. Memang terdesakpun. Tapi terdesak aku taklah sampai menyusahkan orang seputar aku. Maklumlah baru nak bertatih untuk bergelumang dengan dunia kapitalis ini. Bergelut dengan rencam budaya konsumer baru yang penuh nanar.
Di luar sana; adalah dunia jenama. Jenama-jenama material yang telah merubah nilai tradisi kita. Aku kadangtu terhenjut-henjut menekur dari belakang. Janganlah nak kata yang nafsu kita dah berada ditahap wali untuk mengekang jamahan dunia yang terhidang di depan mata. Retorik semua tu. Tapi hadapilah dengan akal fikir yang waras dan rasional. Waras, rasional, rasional, waras, waras, rasional, waras. Zzzzzzzz.............

Titik-Titik Zulmat

Titik-titik zulmat
Bersemayam di atas singgahsana yang renta
Menyapu angin dan berkelintar menerjah ruang
Sepi yang gusar
Sepi yang nanar
Berselimutkan gebar prarasa
Bening datang bergentayangan
Memungut ruang-ruang masa
Yang semakin pudar detiknya

SENI

Seni
Warna yang indah
Punya prihatinnya
Menyalut rasa
Menyemai makna
Membungkam cita
Seni itu sepi
Ia lahir daripada sepi
Lalu menebarkan sayap-sayap kata

Monday, July 25, 2005

Hari Baru Hari Ini

Hari baru hari ini. Datang dengan harapan membuhul. Mencipta harapan di antara deruan masa dan hiruk-pikuk dunia tapa sempadan. Di sini aku cuba menaakul di luar laut fikir. Menerobos dimensi minda yang semi ruwet. Tulisan ini mungkin sudah jadi cakar ayam. Mungkin sudah terlampau banyak karbo monoksida yang menyerang paru-paru ini, saban hari dan saban waktu.
Di luar sana dunia masih jaga dan terus jaga. Dunia sudah amnesia dan sekalian banyak virus yang menghurung.. Di langit satelit dan roket melayang-layang melancarkan perang baru, dan medan baru juga.
Hari dan hari esok. Apa yang tersimpan di antaranya. Yang bernama sepi. Kesepian menggariskan satu perjalanan menuju satu dunia lain. Yang bernama sepi cuba lari dari hiruk-pikuk sandiwara panggung si pari-pari kayangan. Terusan menjaja waktu, dan terlupa di kamar lalu berdengkur sendirian. Yang bernama sepi terusan meminta diri digauli, pada malam yang bening dan siang yang renta.
Tamadun yang musnah; lalu tinggal puing-puing menimbus kesepian ini. Ah! kesepian kini cuma tinggal istilah. Hiruk-pikuk dunia mematikan si sepi tanpa nesan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...