Saturday, October 20, 2007

Semalam aku jumpa kawan lama.
Tunjuk kat aku awek baru.
Dan kereta proton wira baru.

Tuesday, October 16, 2007

Indahnya Syawal

i. Indahnya syawal ini dapat berkumpul bersama keluarga. Bermaafaan sesama keluarga, dan yang paling indah ialah dapat mencium tangan dan wajah ibu. Ibu orang yang paling sebuk takkala mahu menyambut hari raya, terutamanya sehari sebelum syawal tiba. Kadangtu tak terlawan kudratku dengan kudrat ibu yang entah datang dari mana, waima kami adik-beradik sedar ibu kian hari kian renta. Tangannya tetap ligat menyiapkan segala yang perlu di aidil fitri. Kasih sayang ibu tidak setakat takkala kami masih kecil bocah, tapi melawati batas usia kami yang semuanya sudah besar-besar belaka. Ibu adalah anugerah syawal yang tak terhingga.

ii. Cutiku cuma sampai 3 syawal. Maka 3 syawal ini aku mulai pulang ke daerah tempat aku mencari rezki. Perjalanan ke shah alam dari teluk intan memang memeritkan, lantaran keadaan trafik yang macet. Akhirnya perjalanan pulang yang cuma 2 jam melarat ke 3 jam. Nah! sampai kejang kaki menekan brake dan menukar gear.

iii. Syawal ke 4. Motivasi untuk masuk kerja boleh dikatakan langsung tiada. Tapi mujurlah trafik hari ini berjalan lancar. Tidak seperti selalunya waktu pagi hari berkerja. Di kantor tak sampai separuh orang yang berkerja. Separuh lagi mungkin masih beraya dikampung. kaunterpun lengang.Tak ramai yang datang. Aku pula tak sudah-sudah melihat jam, bilalah nak balik ni....

Sunday, October 07, 2007

Hadiah Ramadhan Buat Adik Hui Yi

Ramadhan bulan rahmat. Bulan penuh berakah. Keberkatannya meliputi setiap manusia waima berlainan ras dan agama. Semuanya adalah kuasa Allah azzawajalla. Adik hui yi, insyaalah, akan kembali merasa degup jantung dari dadanya. Kasih sayang sesama manusia. Nyatalah perbezaan agama bukanlah halangan.

Thursday, October 04, 2007

Meski

meski takdirku berselimut gebar silam
musim-musim rontok menjelma
dalam urat nadiku

langam bicaraku dengan jerih masa
bergulir liar meniliti gubuk kesepian
ah, sejauh mana dakapan erat itu
yang masih hangat di bawah seberkas mimpi
mimpi yang menjadi ilalang
usang
usai mengabdi diri
khali dilaut malam

itu demi kesempurnaan
penuh kepedihan
selama surut gelombang jiwa

Saturday, September 29, 2007

Pertengahan Ramadhan Ini

pertengahan ramadhan ini
perbanyakkanlah ibadah rohani
basahkan tubir bibir dengan alunan al-Quran
selami intinya
hingga meresap keubun-ubun kepala
selangkan antaranya dengan zikirullah
penuhkan malam-malamnya dengan qiam al-lail
Mohonlah margfirah
sesungguhnya ramadhan akan datang
tiada jaminan untuk kita
entah ketemu lagi atau tidak

Seusai Menguliti Tuhan Manusia

Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.

Usai membaca tuhan manusia. Novel ini tak seperti novel-novel faisal yang pernah aku baca. Novel-novelnya seperti perempuan politikus melayu penuh dengan imej berontak, Tunggu teduh dulu dengan wacana feminis, 1515 pula sebuah amnesia sejarah (antara beberapa contoh novelnya).

Tuhan manusia memberikan sisi baru pembacaan yang segar. Persoalan pluralisme dan gejala murtad yang kian membarah dalam masyarakat kita. Ia seperti ngembara ke sebuah daerah yang penuh dengan inti-inti falsafah, dan mengutarakan bentuk pemikiran islam yang dinamis, sesuai dengan perkembangan zaman.

Novel yang baik bagi saya ialah novel yang ada unsur-unsur ilmiah didalamnya, yang disampaikan dengan cara bercerita, langsung mendidik jiwa kearah kebaikkan. ironisnya genre novel seperti ini kurang diminati remaja yang lebih gemarkan gaya cerita yang ringan dan ‘simple’. Seputar soal cinta, rindu, sayang, kasih etc. (boleh semak tajuk-tajuk novel ini di toko-toko buku berdekatan)

Tak banyak novel-novel seperti ini yang berbahasa melayu (baca melayu bukan Malaysia) di Negara kita. Kalau adapun novel-novel yang ditulis oleh penulis yang bertaraf sasterawan Negara. Bila ramai yang nak jadi penulis maka berlambaklah novel-novel remaja yang mentah. Kemudian kita mulai bercakap ini novel popular, yang itu novel sastera. Sudah jadi polemik pula.

Novel sastera tak popularkah? Bagi aku untuk mempopularkan novel-novel sastera ini adalah dengan melambakkannya dipasaran. Jangan beri peluang pada novel-novel mentah atau separuh mentah. Bila sudah melambak dipasaran, pembaca tiada pilihan lain selain membeli dan membaca novel sastera. Nampak macam utopia. Tapi bukan mustahil. Penerbit kena ambil bahagian, sasterawan kena terus menulis. Baru dunia sastera tanah air rancak semula.

Kita kena buat sesuatu untuk sastera kita. Jangan suatu hari nanti sastera kita mati, macam matinya Lahuma. Dan waktu itu novel seperti mona gersang dan siri bercakap dengan jin akan jadi teks wajib untuk pelajar-pelajar sekolah.

p/s: ini adalah pandangan peribadi. anda ada pandangan sendiri?



Thursday, September 27, 2007

cuma aku
rontok jiwa
kelam dan terputus
warna-warna yang ilalam
jika semuanya indah
tak perluku mencari
kata takdir
aku hidup cuma sekali
dan imanku
untuk di dunia yang satu lagi

Sunday, September 23, 2007

Melihat wajah ibu adalah nikmat terbesar kurniaan Ilahi. Ibu adalah anugerah tak terhingga. Jika Allah menyuruh kita menyembah kepada makhluk ciptaan-Nya pasti kita disuruh untuk menyembah insan yang bernama ibu ini.

Aku pulang ke kampung jumaat lepas untuk sama-sama meraikan ramadhan dengan keluarga dan yang paling aula ketemu dengan ibu. Wajah renta ibu bercahaya menyambutku. Wanita ini kutahu amat kuat semangatnya, tak padan dengan tubuhnya yang kecil. Setelah pelbagai badai yang melanda keluarga kami, segalanya dihadapi oleh ibu dengan tabah. Ibu tahu setiap yang berlaku ada hikmahnya, ada ujian yang tersirat yang tidak jelas dimata kasar.

Makanan berbuka dan sahur disediakan ibu, tanpa ada buku resepi yang menguliti setiap masakan. Namun hasil tangan ibu amat menyelerakan anak-anak dan cucu-cucunya.

Di waktu malamnya, seusai solat Margrib suara klasik ibu indah mengalunkan ayat-ayat suci Al-quran. Cukup dengan tajwid dan tartilnya. Aku tahu setiap bacaan ayat-ayat suci itu disedekahkan buat gemulah bapak dan datuk yang telah lama meninggalkan kami, menuju alam keabadian.

Melihat wajah ibu terasa cukup tenang dan bahagia. Sementelah pula kala ramadhan ini yang datang menyengguk umat Islam dengan barakah tak terhingga. Aku pulang hari ini dengan memohon kemaafan dari ibu, meminta restu agar diluruskan setiap perjalanan ini dengan rahmat dan petunjuk Ilahi.

Sunday, September 16, 2007

Mencari Kekuatan Bahasa Melayu

Raut wajahnya tiada langsung iras melayu. Jessica Ong Hai Liaw, berketurunan cina, macam cina-cina Malaysia yang lain. Bermata sepet, berkulit putih mulus. Siapa yang menonton slot berita dunia hari ini, pasti mengenalinya, tukang baca berita, petah berbahasa melayu. Dalam harian metro semalam, Sabtu 15/09/2007, Jessica menganggap bahasa melayu sangat indah, dan amat rugi jika tidak mengamalnya. "Terus-terang, saya amat mencintai bahasa Melayu. Biarlah orang lain dengan cara mereka berbahasa asing, tetapi saya sesekali tidak segan bertutur bahasa Melayu," katanya. Ia bukan sekadar ucapan kata tapi dibuktikan dengan memiliki ijazah sarjana muda dan sarjana bahasa melayu dari universiti putra Malaysia disamping sedang meneruskan pengajiannya diperingkat doktor falsafah, juga pengkhususan dalam bahasa melayu. Kita tinggalkan Jessica dengan obsesinya dengan bahasa melayu. Kembali kepada realiti semasa bahasa melayu di Malaysia, cemerlang, gemilang, terbilang ini.

Bahasa melayu sedang berada dalam era globalisasi, namun peranannya pula sebagai bahasa ilmu dan kemajuan mulai terhakis. Bahasa asing terutamanya bahasa inggeris mulai mengambil alih peranan sebagai bahasa utama dalam pelbagai sektor di Malaysia. Bahasa melayu makin terpinggir apabila para pemimpin melayu menekankan penguasaan bahasa inggeris ini dari peringkat akar umbi dengan menjadikan para pelajar sebagai mangsa. Pemimpin melayu juga lebih enak bertutur dalam bahasa inggeris, dalam forum2, ceramah2, di tivi dan dimana-manapun agar nampak maju dan punya status yang tinggi.

Apakah dosa bahasa melayu pada negara? Kata dr Hassan ahmad, orang melayu boleh berfikir dan mencipta kemajuaan, mengembangkan ilmu, menjadi pakar, sarjana dan bijak pandai dalam segala bidang melalui bahasanya sendiri. Hanya apabila orang melayu disekat untuk memajukan diri melalui bahasanya sendiri, barulah bangsa melayu itu mundur. Hanya stigma yang mengatakan bahawa orang yang menguasai dua bahasa (melayu dan inggeris) lebih pandai atau lebih bijak berfikir dari mereka yang mengetahui hanya satu bahasa, iaitu bahasa melayu.

Ahli bahasa antropologi barat(amerika), terutama Edward Sapir dan anak muridnya Benjamin Lee Wholf mencetuskan perbahasan selama lebih 60 tahun apabila mereka mengemukakan teori atau hipotesis tentang linguistic determinism atau ketentuan bahasa yang mengandaikan bahawa pemikiran manusia ditentukan, tetapi tidak dibatasi, oleh bahasa yang digunakan oleh bangsa yang memiliki bahasa itu. Implikasinya ialah kemajuan atau kemunduran sesuatu bangsa, secara relatifnya, bergantung pada bahasa yang digunakan oleh bangsa itu.

Semua bangsa yang maju adalah kerana mereka menggunakan bahasa mereka sendiri dalam mencanai dan mencipta kemajuan. Ambil contoh Filipina, negara berbahasa inggeris terbesar di asia tenggara, tapi dari segi ekonomi negara Filipina masih jauh ketinggalan (berbanding Thailand, dan tentunya jepun dan korea selatan). Dikatakan antara eksport utama filipina ialah pembantu rumah kerana kebolehan mereka bertutur dalam bahasa inggeris.

Bukan mahu merendah-rendah bangsa dan negara lain tapi sebagai perbandingan bahawa jati diri bangsa dapat diperkasa melalui pemantapan dan penguasaan bahasa ibunda. Para pemimpin, terutamanya yang terlibat dalam membuat dasar negara perlu sedar dan yakin dengan keupayaan bahasa melayu yang suatu masa dahulu pernah menjadi lingua franca dalam era kesultanan melayu Melaka. Melaka sebelum dilanggar benggali putih 1511M lebih maju dari malaysia hari ini, dan resepi kemajuan tersebut ialah bahasa melayu itu sendiri.

Bahasa melayu punya kekuatan dan keindahannya. Namun bangsa lain seperti Jessica yang nampak kekuatan dan keindahan tersebut berbanding pemimpin melayu yang enak bertutur dalam bahasa inggeris waima sesama malayu sendiri sama ada diwarung-warung kopi tepi jalan atau di lobi parlimen seusai bersidang.



Thursday, September 13, 2007

Ramadhan Yang Datang

Ramadhan yang datang
Datang dengan barakah tujuh lautan
Mencari cinta hakiki
Menyuci badan dari kotoran
Daki dosa setahun lalu
Amal dilipat ganda
Waima sedekah sebiji tamar
Menanti kucupan kasih-Mu
Memohon marghfirah dari-Mu
Titipan doa teleku qiam malam
Agar temui al-Qadar mulia seribu bulan

Ya Tuhan Rabbuljalalah
Ku temui lagi Ramadhan ini
Dan aku datang dalam pasrah redho-Mu.


1 Ramadhan 1428. Ramadhan datang lagi. silih berganti. Tahun demi tahun. Ia datang dan kemudiannya nanti akan pergi. Sebahagian dari kita tidak berkesempatan menyambutnya sekali lagi. Ramadhan yang lepas adalah yang terakhir. Ini Ramadhan yang baru. Gemulah tuk dan bapak sudah lama meninggalkan Ramadhan. Bersemadi di alam barzah. Aku, kita, bakal menyusul kemudian. Ini Ramadhan yang terakhir atau tidak. Kita tidak tahu. Selepas Ramadhan, ada 11 rakannya lagi akan menyusul, Syawal hingga Syabban. Kita tidak tahu. Tapi nasihat aku, pada aku, pada kita, hargailah Ramadhan kali ini. Kita tidak tahu. Semalam pulau sumatra dilanda gempa 7 skala richter. Kita cuma terkena tempiasnya. Memang kita tidak tahu. Tapi ALLAH maha tahu. Tahu segala-galanya.

Tuesday, September 11, 2007

6 Tahun Selepas 11 September

11 September, 6 tahun lalu adalah titik tolak kebencian barat (sebut: Amerika) terhadap umat Islam. Hari ini kenangan peristiwa tersebut masih berilam-ilam di ruang retina. 2 buat pesawat bagi peluru menghentam sebuah ikon milik sebuah Negara adikuasa. Tiada yang dapat memintasnya. Kemusnahan berlaku sekelip mata. Dan sekelip mata juga dunia menghukum umat Islam di sebalik punca tragedi. Al-qaeda langsung menjadi kambing hitam bagi menghalalkan perang genocide atas nama memerangi pengganas. Dalam usaha ini nada islamofobia atau rasa benci terhadap Islam disemaikan. AS tidak pernah merasa puas dengan kerja jahat mereka sejak perang dunia pertama, dan berlanjutan hingga perang dingin. Hari ini AS muncul sebagai kuasa tunggal selepas runtuhnya kesatuan soviet. Umat Islam diratah wewenangnya oleh AS dan juak-juaknya. Dari palestin, lubnan, Somalia hingga ke Darfur. Islam tidak pernah mengalakkan keganasan. Dan setiap pembunuhan yang dilakukan oleh kelompok yang mereka gelarkan sebagai ekstrimis, fundementalis atau apa jua istilahpun adalah bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri. Islam merupakan agama yang mencintai keamanan. Tiada langsung tempat dalam islam untuk mereka menggalakkan keganasan. Cuma yang menjadi kekeliruan ialah adakah perjuangan membebaskan tanah air dari penjajah juga dianggap pengganas? Hizbullah di lubnan dan hamas di palestin telah lama berjuang untuk memerdekakan tanahair namun dilabel oleh AS sebagai organisasi pengganas. Hizbullah tidak sama seperti al-qaeda. Nasrallah tidak sama dengan Osama. Kita semua dikelirukan barat (sebut sekali lagi AS) dengan siapa sebenarnya pengganas. Pengganas dalam kamus AS ialah mereka yang tidak bersama-sama menyokong mereka.

Sunday, September 09, 2007

Tuan Dari Mana

angin menebak dari dada
dan bertanya sebuah kota

tuan dari mana
sambil bergulir mimpi dunia ketiga
minyak dan airmata
infantri dan puing keamanan
sebelum buah-buah zaitun
masak di tengah oasis

tuan dari mana
gurun ini penuh mayat dan roh jahat
bukan bayang demokrasi
tak bisa mengunyah kebebasan
rangtua dan ibu muda
masih dalam jagaan malaikat maut

tuan dari mana
muka depan berita perdana
seorang kecil bocah
berbogel keliling kota
mencari makna hari
tiba-tiba memekik nyaring
revolusi! revolusi! Celakalah kaum borjuis!

tuan dari mana
pasti dari dunia pertama
mari bersama mencicip kopi
mengunyah sarapan pagi
di warung kapitalis
bicara soal idealis
sebelum bom mulai ghairah di ranjang berahi

Tuesday, September 04, 2007

Taruhkan bibirmu di tubir langit
Kalungkannya di jantung malam
Biar tersenyum ujana alam
Mendengar rentak irama mendayu-dayu
Memujuk dan memeluk daku
Dari nyala api rindu

Sunday, September 02, 2007

aku menilik kalendar. rupanya sudah 1 september 2007. semalam merdekake?

Saturday, August 25, 2007

Bukan mahu mencorak mimpi. Mencagar impian. Merenung masa depan atau masa lalu. Tidak semestinya semua itu hadir dalam hiruk-pikuk dunia atau apa sahaja yang datang menyelimuti ruang-ruang batini. Waima betapa hebatnya gelora sukma. Terbang melayang mengikut arah pawana, paksina maupun daksina. Ilusi dan realiti, dunia bawah sedar. Saling bersambung…..kemudiannya….

Thursday, August 23, 2007

Buku Nota

Sebuah buku nota. Tertulis beberapa aksara. Tempat memutus sepi. Kala malam gelap dan terang siang. Juga terangkum sejuta puisi. Rasa yang canggung. Berpusar dilubuk nyali. Apa itu? Secangkir kopi, sepinggan nasi goreng kampung, semangkuk salad mayonis. Rona yang mengisi tembolok. Duduk di atas bangku konsumer sesat. Bersebelah perempuan berambut koyang. Menyambut dengan senyuman goda. Catatan nota hari ini. Sepanggung di laman metro. Wayang gambar. Cerita tembak-tembak. Dicatat lagi. Hujan lebat di luar. Angin bertiup kencang. Tanah jadi lecah. Terperangkap. Mujur disisi ada buku nota. Dan perempuan berambut koyang.

Wednesday, August 15, 2007

Kemalangan


TAIPING: Dua puluh orang termasuk tiga pasangan suami isteri maut manakala sembilan lagi cedera apabila sebuah bas ekspres terbabas dan terhumban ke dalam parit di Kilometer 229.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Bukit Gantang di sini, semalam.
Nahas jalan raya terburuk dalam sejarah negara itu sekali gus menimbulkan semula persoalan berhubung isu pemandu yang mempunyai kesalahan trafik berulang, tetapi masih ‘bebas’ memandu kenderaan awam.

i Balasungkawa buat keluarga mangsa tragedi kemalangan maut bas ekspres pada dinahari 13 ogos lalu. Biarpun apapun polemik yang timbul ekoran kemalangan tersebut, kuasa takdir melebihi dari segala apa yang kita fikirkan. 20 mangsa tersebut telah dipanggil Tuhan. Tuhan yang mereka dan kita percaya tidak kira apa jua agama yang dianuti. Hingga kini kesalahan mahu di cari. pemandu bas yang punya saman trafik dan waran tangkap (juga salah seorang dari 20 mangsa yang terkorban), atau kelemahan pihak berkuasa, atau kegagalan syarikat bas itu sendiri. Yang pastinya kemalangan adalah lumrah di jalanraya waima betapa canggihnya sistem aliran transit kita. Ibarat kubur yang bergerak tanpa nesan. Kemalangan akan terus berlaku, terutamanya apabila tiba musim-musim perayaan, semacam sudah jadi virus yang bersarang di dalam tubuh pengguna jalanraya. Tragedi ini pasti bukan yang terakhir. virus ini pasti kan menyerang lagi, cuma masanya yang tiada dalam jadual perjalanan kita. Kemalangan adalah kerja takdir. Bila ia datang kita tidak dapat mengelakkannya kendati betapa bersopan santunnya kita dijalanraya. Tapi dengan kewaspadaan kita boleh mengurangkan risiko kemalangan terutamanya yang mengakibatkan kematian.

ii Aku kemalangan pagi semalam waktu ke kantor. Alhamdulillah tuhan masih sayangkan aku, untuk aku mengkoreksi diri, melihat jauh-jauh kesukma betapa saban waktu diri ini berkelintar dengan dosa-dosa, dan mahu hamba yang hina-dina ini menadah tangan kelangit memohon segunung ampun. Doktor bagi cuti dua hari. Dua hari untuk menginsafi diri. Dua hari untuk muhasabah diri. Syukur Tuhan aku masih diberi peluang oleh-Mu. Mengecap nikmat nafas yang diberi-Mu.

Sunday, August 12, 2007

The Simpsons


niat mahu berkira-kira cari dvd untuk mengisi kekosongan anjung minggu ini. namun kepanggung juga aku. lebih puas rasanya menonton di layar lebar. aku mencari filem yang senang dihadam, tak pening kepala, tak ada dialog-dialog bombastik dan tak ada cgi melampau2 dan bla bla bla etc. aku mahu menonton simpsons. aku rasa dah lama kartun ini masuk panggung. namun hari ini baru aku berpeluang menontonnya.
kisah keluarga simpsons (bukan samsons!). homer, marge, bart, lisa, dan meggie serta seputar kehidupan penduduk di springfield. kisah bermula apabila homer menjadikan seekor babi sebagai haiwan peliharaannya dan tindakannya membuang najis babi ke dalam tasik takkala orang ramai dilarang mencemarkan tasik tersebut mengundang petaka yang dahsyat. springfield di kuarantin pihak berkuasa di dalam kubah kaca, dan dari sini terpampang betapa jeliknya politisi menggunakan isu ini untuk kepentingan sendiri. bagi menebus kesalahannya, homer perlu menyelamatkan springfield daripada bencana yang dibuatnya sendiri.
nyatanya kisah ini buat aku letih. bukan sebab durasinya atau plotnya. tapi aku letih sebab dari awal montaj 20 century fox hingga ke penghujung cerita aku ketawa terbahak-bahak. simpson adalah satira yang menghiburkan waima tidak selancang south park. takkala banyak filem animasi di 3dkan, simpsons datang dengan gaya klasik dan ia nyata berjaya.

Tuesday, August 07, 2007

Derita Dalia

Dalia Hussein hanya seorang kanak-kanak tipikal di selatan lubnan. Usianya baru menyergah tujuh 6 tahun. Cerdik budaknya. Jika di Malaysia, anak kecil ini mungkin sedang seronok menikmati kehidupan alam kanak2nya. Ke sekolah, ke taman, mungkin juga punya harapan menggunung untuk masuk universiti atau jadi atlit sukan. Malangnya lubnan tidak seperti kita di sini, dan bom israel tidak pernah menanya berapa usia anak ini. tiada siren amaran. Bom tetap dengan sifatnya. Merobek setiap jiwa yang tidak bersalah. Syukur Dalia masih hidup. Syukur jurugambar media, Mahmud Zayat mendapati Dalia masih bernafas di rumah sakit. “Dia dibaringkan di atas pengusung. Kain yang menutup seluruh tubuhnya kelihatan bergerak lemah. Dia masih bernafas,” katanya sambil mengingati kejadian itu. “Saya mengambil gambar dan memanggil doktor, untuk memberitahu Dalia masih hidup.”
Kini sudah hampir setahun tragedi itu berlaku. Bangun dari kematian bukan mimpi muluk untuk dikenang. Dalia kembali kerumahnya di perkampungan kecil Bazuriya setelah menerima rawatan berterusan di Itali. 6 pembedahan dilalui dalia di bergamo itali, namun dalia tidak sembuh sepenuhnya. Dalia cacat, dan kecacatan itu mungkin kekal sepanjang hayat. Syukur Dalia masih sedar dan boleh mengenali ibu bapanya, kakak dan abang kembar yang kini berusia 13 tahun.
Dalia cuma secebis kisah malang kekejaman israel. Tangisan ini bukan cerita baru. Ia cerita lama yang entah bila akan berakhir. Dan adik kecil Dalia bukan insan terakhir yang menjadi mangsa peluru dan bom israel berhati batu.
Mengenang Dalia Hussein terasa runtun perasaan ini, sebak dada ini. Mungkinkah kita di sini begitu jua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...