Saturday, November 21, 2009
Tuesday, November 17, 2009
Menatap ruang kasih
Nyalarasa ayah dan bonda kala mendakap kelahiran pertama membuhul penuh dengan perasaan bahagia yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Segalanya indah-indah belaka. Naluri yang cukup klasik yang dianugerahkan oleh Rabbuljalalah pada setiap yang punya gelar ayah dan bonda. Syukur. Pada dini subuh seorang bayi perempuan keluar dari rahim yang mulia menatap indahnya bumi Tuhan, dengan segala rencam yang masih berbalam-balam lagi perjalanannya. Namun Tuhan pasti telah menetapkan pada setiap qada dan qadarnya. Kerja Tuhan siapa tahu. Tak terucap melainkan lafaz tahmid dari bibir saya dan isteri. Pastinya dia lahir hasil dari rasa cinta kami berdua yang tak terhempang arusnya. Setiap inci tubuh kecilnya saya renung dengan rasa syukur. Maha besar Allah yang menjadikan manusia dari setitis air langsung membentuk susuk tubuh manusia yang sempurna . Syukur Ya Allah. Moga Allah memelihara pada setiap anjung hidupnya nanti. Amin.
KOMA
Hari itu, 7 november 2009, bersamaan dengan hari sabtu 19 zulkaedah 1430H, pukul 6.32 pagi, dengan berat 2.4kg, lahir seorang bayi perempuan yang comel. Kami namakan Nur Alya Insyirah. Lahir ke dunia hasil dari nyala cinta ayah dan bonda.
NOKTAH
12 November 2009. Alya dimasukkan ke hospital Taiping. Ada komplikasi jaundis (kuning) kata misi di klinik kesihatan Changkat Jering. Bondanya dah berenang dengan airmata sejak diberitahu Alya akan masuk wad. Kata doktor muda keturunan tiong hua di hospital taiping kepada saya, keadaan Alya stabil dan bacaan darahnya masih belum diparas bahaya. Itupun bondanya sudah tidak keruan. Namun saya tetap menunaikan tanggungjawab saya sebagai suami dan ayah untuk menjaga mereka berdua. Disamping doa saya tanpa putus pada Allah agar diberikan kesihatan pada mereka berdua
KOMA
13 November 2009. Alya dibenarkan keluar dari wad. Kata doktor muda keturunan tiong hua itu bacaan darah alya kembali normal. Alya tampak sihat. begitu jua bondanya. Syukur tuhan memelihara mereka berdua.
Monday, November 02, 2009
Dr Asri

Sunday, November 01, 2009
Sunday, October 18, 2009
HINGAR
KOMA
Di ruang ini tiada idea untuk dikongsi. Nol. Buku-buku di rak kian berhabuk. Ada yang tungang-terbalik tanpa indeks. Waktu-waktu ini kadangkala mengarut ada baiknya. Macam menonton drama tahyul dan mistik di kaca tivi sambil mengunyah saki-baki kuih raya.
KOMA
Sasterawan Negara Dr Anwar Ridhwan muncul sebagai tetamu di astro awani. Hebat orangnya. Dah baca 'hari-hari terakhir seorang seniman' dan 'naratif ogonshoto'. Aku ada. Tapi kalau kamu nak baca baik beli sendiri.
NOKTAH
Sunday, October 04, 2009
Monday, September 28, 2009
Syawal
Sunday, September 06, 2009
Ramadhan yang datang
Tanpa sedar rupanya sudah separuh ramadhan datang mengetuk setiap pintu hati mukminin mukminat yang penuh sabar menunaikan rukun Islam yang ketiga. Ini coretan pertama saya dalam bulan yang mulia ini. Ibarat orang berwisata jauh yang baru pulang kembali ke mandala asal. Namun tiada cerita-cerita muluk mahu diberitahu. Soal persiapan raya yang klise. Tukar selagi boleh dan mampu ditukar. Dalam gawat-gawat inipun kuasa beli tidak pernah luntur malahan semakin menyubur. Cuma bezanya inilah ramadhan saya yang pertama menjadi suami kepada suri saya dalam kehidupan yang segalanya cukup sederhana. Tapi dalam kesederhanaan ini membuhul berakah yang tidak pernah saya rasai semasa bujang dahulu. Alhamdulillah segala cukup dalam keadaan kami yang baru mahu membina kehidupan. Namun dengan kehadiran orang baru dalam hidup kami nanti kadangkala buat saya gundah juga. Persiapan menyambut kehadiran orang baru masih berdikit-dikit tapi sedaya mungkin untuk melengkapkannya. Terima kasih pada suri yang sudah siap menyenaraikan segala keperluan yang aula semasa menyambutnya nanti. Al-maklumlah, yang pertama. Segala masih nol.
Diluar sana masih ramai lagi rakan-rakan saya yang masih belum merasai nikmat berumahtangga, waima ada diantara mereka yang sudah bergaji beribu-ribu dan ada yang sudah memiliki rumah idaman sendiri. Tanpa ada rasa iri, mungkin itu rezeki yang Allah berikan pada mereka. Dan saya yakin rezeki saya sekeluarga Allah sudah simpankan di ruang yang lain. Kerja Tuhan siapa tahu.
Noktah.
Sunday, August 16, 2009
Daerah 9
Pelarian punya tonasi yang cukup jelek. Merempat, sakit dan penuh nanar luka. Bergelumang dengan kejijikan sikap manusia yang rakus. Langsung membentang kematian yang tidak sudah. Pelarian punya sisi yang gelap. Mencabut lidah yang bercabang atas nama kemanusiaan.'District 9'. Filem sains fiksi ini menerbitkan luka hidup sebagai pelarian. Kisah bermula dengan kehadiran kapal angkasa yang turun menghiasi langit bumi Johannesburg, Afrika Selatan. Membawa bersama pelarian dari dunia luar yang ingin medapat perlindungan di bumi. makhluk asing ini yang digelar manusia sebagai udang ditempatkan di suatu tempat, district 9. yang tidak ubah seperti kawasan setinggan yang huru-hara. Sebuah syarikat swasta dikenali sebagai Multinational United (MNU) bertanggungjawab dalam menyelenggara dan menguruskan penempatan makhluk asing terbabit. Namun syarikat tersebut lebih berminat untuk memperolehi teknologi persenjataan ciptaan makhluk itu. Salah seorang kakitangan, Wikus van der merwe ditugaskan untuk mengetuai pemindahan makhluk tersebut ke kawasan baru. Namun dalam operasi tersebut, Wikus, seorang pemuda yang naif dan lurus, telah terdedah dengan bahan teknologi kimia pendatang asing itu. Insiden terbabit menyebabkan wikus mengalami mutasi. Lantaran itu wikus menjadi kunci kepada rahsia senjata canggih milik makhluk asing tersebut. Wikus langsung terjebak dalam konflik yang berlarutan antara manusia dengan makhluk asing. Ditambah dengan aktiviti gangster yang turut serta menjadikan konflik tiga segi yang masing-masing punya agenda sendiri. Wikus terpaksa bersekongkol dengan Christopher, makhluk asing yang cuba untuk keluar dari bumi sebagai harga untuk memulihkan dirinya dari virus yang sedikit demi sedikit merubah dirinya.
Noktah.
Makhluk asing dalam filem ini hanyalah metafora dengan realiti yang berlaku seputar kita. Ia sebuah kritikan sosial tentang persepsi manusia terhadap keadilan. Latar Afrika sebelum apatheid menjadi luka yang tak terbebat. ternyata isolasi ini menjadi nanar. Mencengkam jiwa bebas manusia. Pemisahan warna antara hitam dan putih, cerah dan gelap. Ia tidak hanya berlaku di afrika. Berlaku juga pada rohingia. Berlaku juga di sabra dan syatila. Ada belahan dunia yang tidak selalunya terang dengan suria. Masih ada kegelapan yang membelengu. Manusia yang rakus tidak pernah merasa puas. Dan meraka akan meratah sikit demi sikit kemanusiaan.
Monday, August 03, 2009
Thursday, July 30, 2009
Wednesday, July 22, 2009
Sunday, July 19, 2009
Saturday, July 18, 2009
Kelmarin kota Jakarta di bom. Gegarnya meruntuhkan sisi politik negara pancasila itu pasca pemilu presiden baru. Ya. SBY kembali dikerusi kuasa. Dan masih belum enak menikmati kemenangannya, datang pula tragedi berdarah ini sekali lagi. Kali ini entah siapa pula dalangnya. Golongan pelampau ada dimana-mana sahaja hemisfera dunia. Setengahnya bertopengkan agama sebagai cara menghalalkan pembunuhan mereka yang tidak berdosa. Siapa pula yang menjadi mangsa seterusnya selepas ini.
Noktah.
Friday, July 10, 2009
Noktah.
Thursday, July 09, 2009
Tanggal 25 Jun lalu dunia dikejutkan dengan kematian raja pop micheal jackson. Memang sudah ramai yang tahu. Micheal meninggalkan legasi muzik yang pasti akan diingati oleh setiap generasi. Ditambah dengan perca-perca hidup yang di selubungi skandal yang tidak pernah putus. Dan tanggal 25 Jun lalu dia pergi meninggalkan kita selamanya. Menemui Tuhan yang dia percaya. Waima status agamanya semasa hidup masih jadi tandatanya. Namun peminat seluruh dunia tetap meratapi pemergiannya. Dan setiap gerakan moonwalkingnya dahulu pasti akan diingati setiap yang mengenali siapa dia micheal jackson. Sikit atau banyak, kita pasti terkenangkannya.
