Saturday, April 10, 2010

KLINIK

Hari ini saya dan suri membawa sikecil ke klinik. Selsema dan batuk berselang. Suhu badan yang tidak menentu panasnya. Segalanya buat kami risau. Pagi ini hujan menemani kami sepanjang perjalanan ke klinik pediatrik bandar baru bangi. Trafik macet dari susur masuk ke sri kembangan hampir 10 km jauhnya hingga susur masuk ke lebuhraya untuk ke selatan tanahair. Lenguh rasanya menekan klac dan menukar gear. Dari dulu lagi saya sudah dinasihati keluarga untuk membeli mobil dengan tranmisi otomatik. Namun itulah yang saya mampu sahaja masa itu. Disebelah saya sikecil lena tidur. Mungkin kesan ubat batuk dan selsema yang bondanya berikan.
Noktah
Usai membawa si kecil alya ke klinik. Kendati hujan masih lagi belum puas memandikan bumi. Menyapa kami dengan kedinginan.

Tuesday, April 06, 2010

Sampai satu masa kita kena berubah. Ikut zaman, keadaan, dan kemudian kehidupan kita akan naik satu takah lagi. Namun perubahan macam mana yang kita inginkan. Tentunya yang baik-baik, yang indah-indah, yang cantik-cantik. Kalangkala ada perubahan yang perlukan pengorbanan. Waima apa corak sekalipun. Atau diposisi mana kita sekalipun.

Wednesday, March 31, 2010

Siapa hipokrit? Manusia mana yang kemaruk kuasa? Dimana hujah? Atas landas apa?

Sunday, March 21, 2010

Demam

Suri saya tidak berapa sihat hari ini. Demam dan sengal-sengal badan. Jadi tugas menjaga sikecil kini dibahu saya sepenuhnya. Memandikan, menidurkan, makan, pakai diuruskan saya. Saya laksanakan tanggungjawab ini dengan seikhlas hati. Bangun lewat malam membancuh susu, menukar lampin mungkin jarang-jarang sekali buat saya. Selama ini diuruskan suri tanpa ada rungutan. Namun kehidupan menjadi seorang ayah dan bonda adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bersama. Kompromi dalam urusan rumah tangga, waima kadangkala ada telingkah yang sesekali hadir. Namun bak kata P Ramlee, 'sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri'. Kehidupan berkeluarga buat kita lebih matang dan dewasa. Bijak merangcang dan merencana masa depan. Ada perut lain yang perlu di isi selain perut kita. Ini jadikan kita lebih bertanggungjawab dan berkerja keras. Semua ayah dan bonda mahukan yang terbaik untuk keluarga. Namun untuk dapatkan yang terbaik ada harga yang perlu dibayar.
Koma.
Sekecil saya lena diulit mimpi. Malam ini kami tidur berdua. Bondanya dikuarantin di dalam bilik. Takut-takut sakitnya menyerang ketubuh sekecil kami pula. InsyaAllah bonda akan segera sembuh.
Noktah

Thursday, March 18, 2010

Bentley

Pulang dari kantor, dengan panahan terik matahari, meluncur disebelah sebuah bentley. Rakyat malaysiapun ada yang mampu pakai bentley. Benz atau BMW memang biasa sangat. Tapi bentley. Memang pemakainya punya citarasa tinggi. Aku? memang sampai hujung nyawapun takkan merasa nak pakai kereta mewah ni. Kecuali aku dapat kontrak jual pasir atau seludup minyak ke negara jiran, atau aku ni salah seorang pemain bola liga perdana inggeris. Sesekali terbang ke awan apa salahnya. Melayan mimpi marhean kota.

Sunday, March 07, 2010

Seberkas Rindu sebelum ku pergi

Jiwa ini yang kekar

Terlontar ke mandala rindu

Namun tetap setia menanti mu

Datang mengetuk pintu hati


Berikan pada ku seberkas pesonamu

Untuk ku buka jendela sepimu

Saat camar mengacah ombak

Dengan balada syukur syahdu


Sekeping nota ku tinggalkan

Sebelum ku pergi beribu-batu

Kelak kau akan mengerti

Rahsia hatiku


Sungai Besi, Kuala Lumpur

Sunday, February 28, 2010

Di laman kata

Bertukang di laman kata

Dengan alas pengalaman lampau

Maksud yang tersurat dan tersirat

Gapuranya luas terbentang

Ujana mata

Tak tertampan indahnya

Tak tertahan rindunya


Sungai Besi, Kuala Lumpur

Ranting

Tika pawana berdesir dengan kalam mujarad

Tungkas menyirat nirmala ke luar jendela

Nilam yang bersinar kirana

Kaku dipasak banir

Lalu daun-daun rontok menikam

Andai itu takdirnya

Kembara ini akhirnya

Menyimpan ranting-ranting hidup

Penyambung kehidupan

Waima dalam rona yang rusuh

Menggugah jiwa

Teguh dalam bicara yang kelu

Sungguh

Ranting ini bicara tentangnya

Bukan yang pertama


Sungai Besi, Kuala Lumpur

Monday, February 22, 2010

Waktu panas membahang

Waktu panas membahang, kita pasti merindui dinginnya hujan. Sore ini hujan turun membasahi bumi. Mengisi sungai dan sawah yang kering. Dan bumi menyambutnya riang. Tanda kasihnya Tuhan. Waima setiap detak jantung kita selalu lupa. Mengucap kata syukur dari nafas yang selalu tersasar dari jalan-Nya.

Sunday, February 21, 2010

Artis bukan idola?


Mengakui yang akhlak dirinya dahulu adalah umpama Britney Spears, Wardina meminta sahabat artis yang tidak bersetuju dengan tanggapannya agar tidak cuba menafikan sesuatu yang menjadi realiti sebenar kehidupan kelompok itu.

"Tak payah nak menegakkan benang yang basah, kerana saya tahu macam mana keadaannya dalam dunia artis itu. Jadi pada saya tak payahlah nak jadikan artis-artis ini idola anda semua, tak payah, tak payah.

"Nak ambil yang ciri-ciri positif sahaja boleh, tapi tak perlulah nak dijadikan idola," katanya kepada hadirin dan pengunjung pusat beli belah yang sebahagian besarnya terdiri daripada para remaja.

-utusan malaysia-

Komen: Tiada sebab untuk artis (sebut: artis hiburan) menjadi idola rakyat. Diangkat dan dijulang di mata masyarakat sebagai idola. Memang ada artis yang bagus. Namun ia bukan neraca untuk di nobat setinggi itu. Kita ada negarawan yang boleh dijadikan ikutan. Dunia artis (sekali lagi sebut: artis hiburan) adalah dunia hibur semata, fantasi di peti tivi dan corong radio.


Jemari kecil

Jemari kecil ini

Sedang mengira-ngira rahsia hati

Yang bersimpuh malu di pangkuan diri

Sedang layarnya dielus pawana rindu

Lalu seulas senyuman terukir indah

Dari gerak jemari menari

Menukil bait-bait cinta

Serta segumpal mega yang berbaring di dada langit

Saat senja menoleh keseberang zat yang tak terhitung

Menuju samudera luas

Mencari salasilah diri


Jemari kecil ini

Nantinya akan membelah zaman

Diatur takdir

Dengan nafas bahagia

Thursday, February 18, 2010

cuti tahun baru harimau

Menyambung cuti tahun baru cina hingga satu minggu memberi peluang buat saya, suri dan alya untuk pulang ke kampung halaman. Kampung saya dan suri sekali. Tiada masalah untuk pulang ke dua-dua kampung. Cuma kampung suri terletak ke utara sikit. Trafik sedikit macet melalui lebuhraya. Namun masih terkawal dan lancar. Cuaca pula meremang panas. Kulit si kecil kami pula sensitif dengan cuaca yang sebegini rupa. Aktiviti luar kadangala terpaksa meninggalkan si kecil dengan opahnya di rumah. Dijangka cuaca panas ini berlarutan hingga ke anjung mac nanti. Berehat di kampung meninggalkan kesesakan trafik, rencamnya kerja-kerja dikantor serta kelelahan laut fikir, sambil menonton keletah si kecil alya yang mulai mencipta ragamya sendiri, kian bistari, banyak akalnya, betul-betul amat berharga. Memang payah untuk kami dapat bercuti lama seperti ini. Saat-saat berharga ini kami hargai sepenuhnya. Ditambah lagi dengan orang tua kami yang kian hari kian renta di mamah usia. Menjenguk mereka waktu mereka meniti usia renta adalah ibadah sebenarnya. Memohon didoakan keberkatan dan keluasan rezeki dari Tuhan sekalian alam.


13-19 Februari 2010

Monday, February 08, 2010

Doa Nabi s.a.w, “Ya Haiyyum, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata” (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani).

Sunday, February 07, 2010

"Barangsiapa yang ALLAH mahukan kebaikan untuknya, nescaya DIA akan mengujinya dengan kesusahan" (Hadith Riwayat Al-Bukhari)

Lama

Agak lama tidak muncul diruang ini. Bukan tidak ada idea. Namun desakan kerja dunia yang ruwet cukup membataskan masa untuk menukil apa jua yang bersarang di laut fikir. Kerja dunia tidak pernah habis. Dan kadangkala (bahkan selalu) dalam ketompokan kerja yang rencam ini buat kita lupa pada tuhan. Solatpun kian jauh dari waktunya. Lalai dengan kerja. Tuhan. Sungguh aku alpa dalam mengejar nikmat dunia yang sementara ini. Janganlah kau jauhkan aku dari mengingati-Mu ya Allah.
Koma
Alya sudah pandai mengekek-ngekek ketawa. Dan selalu mengajak ayah dan bondanya bersembang dalam bahasanya. Makin ceria kehidupan kami bertiga ini.

Sunday, January 31, 2010

Jangan

Aku dan suri belajar sesuatu hari ini. Elakkan dari membeli keperluan bulanan di pasaraya pada setiap hujung atau awal bulan. Keadaannya seakan-akan berada di stesyen bas puduraya waktu menjelang musim hari raya. Sesak. Waktu ini ramai yang baru masuk gaji. Membeli barang-barang keperluan bulanan memang lazim pada poket masih berisi dan baki kredit di bank masih banyak lagi. Dalam keadaan barang yang makin naik inipun kuasa beli sebahagian besar daripada kita masih tinggi. Namun kadangkala perbelanjaan tersebut memang tidak dapat dielakkan setiap bulan. Beras, susu, tepung, lampin pakai buang, formula, minyak dan lain-lain lagi barang keperluan yang wajib setiap bulan. Barang-barang ini tidak dapat diganti menggunakan barang yang lain. Beras ganti dengan nestum contohnya. Roti gardeniapun dah naik 20 sen. Tak campur barang-barang asas lain lagi. Suasana ekonomi tak menentu kala ini. Bapak menteri mensasarkan pertumbuhan ekonomi 5% tahun ini. Namun sebahagian besar marhaen kurang mengerti dengan peratusan tersebut. Tiada gunanya pertumbuhan 5% jika sebahagian besar rakyat masih dihimpit dengan masalah kenaikan harga barang waktu tangga gaji masih kekal sama.

Friday, January 22, 2010

Saat terukir senyumanmu


Kala terukir senyuman dari tubir bibirnya, segala macam lelah sepanjang hari segera hilang . Bagai ada kuasa magis yang datang. Membawa pergi segala kekusutan yang bersarang di laut fikir seorang ayah.

Sunday, January 10, 2010

Selamat datang 2010

Ini entri pertama saya di tahun baru setelah 10 hari tahun 2010 membuka tirai. Biasanya akan ada ucapan-ucapan selamat menjelang 1 januari. Sambil membuka azam baru dan mencongak usia yang kian lanjut. Untuk mengelakkan suatu yang klise di tahun baru, saya biarkan dahulu 10 hari berlalu dulu. Tiada resolusi yang pelik-pelik. Untuk kuruskan badan contohnya. Tahun baru ini dibuka dengan isu nama tuhan 'ALLAH' yang di bawa ke makhamah. Akan ada pihak yang menangguk di air yang keruh atas isu ini. Demostrasi di sana-sini masih lagi panas. Gusar juga akan wujud pergeseran antara Islam dan kristian dalam masyarakat multi-agama di negara kita.
Koma.
Syukur tuhan dalam usia yang menyergah 30-an ini saya sudah punya suri dan cahaya mata. Si kecil saya sudah pandai tersenyum. Ini nikmat tahun baru saya. Kebahagian tidak datang dengan retorik-retorik azam baru yang jadi ritual kita saban tahun.

Wednesday, December 23, 2009

serabut

Esok petang saya akan pulang ke kampung isteri di taiping. Kesempatan cuti hari natal pada keesokan harinya dimanfaatkan dengan mengadakan majlis aqiqah untuk putri saya nur alya. Baik juga dapat pulang ke kampung saat kepala ini amat serabut dengan kerja-kerja di kantor. Di tambah lagi dengan penyusunan semula setiap unit di cawangan, dan saya sebahagian daripada projek 'reshuffle' yang sedang rancak di laksanakan pengarah cawangan. Rela atau tidak, keputusan di tangan pengarah. Kita tidak selamanya akan berada dalam keadaan yang selesa. Namun kehidupan kena terus.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...