Sunday, May 16, 2010

Katakanlah: “Pada kedua-duanya itu ada dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (al-Baqarah: 219) Dan juga larangan selanjutnya: “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji, termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu supaya kamu mendapat keberuntungan.” (al-Maidah: 90)

Wednesday, May 12, 2010

Pertengahan Mei

Mei sudah dipertengahan. Banyak yang berlaku seputar dunia. Gordon Brown dan parti cap buruhnya tewas. Konservatif pimpinan David Cameron bersekutu dengan parti liberal demokrat pimpinan Nick Clegg membentuk kerajaan campuran. Waima ramai penganalisa politik berpendapat kerajaan campuran tersebut amat rapuh dan goncang.
noktah.
Chelsea menjuarai trofi liga perdana inggeris dengan penuh bergaya setelah membelasah wigan 8-0. Jauh di Itali, Inter Milan terpaksa menunggu sehingga ke perlawanan terakhir siri A untuk menjuarainya buat musim kedua berturut-turut, sambil diekori rapat oleh pesaing terdekat AS Roma. Pun begitu di La Liga sepanyol, Barca dan Real madrid juga terpaksa menunggu sehingga ke perlawanan terakhir liga bagi menentukan siapa juara .
noktah.
Semalam skuad badminton Malaysia tewas kepada jepun 2-3 dalam kejohanan piala thomas ditempat sendiri. Memalukan!!!!
noktah.
Perbicaraan kes liwat Dato Sri Anwar - Saiful. Lucah sekali, dan berbaur lelucon. Saiful. Daripada entah siapa-siapa orangnya sudah jadi selebriti. Hugh Hefner patut ambil Saiful jadi penghias muka depan playboy, sambil diapit Kendra Wilkinson dan Pamela.

Sunday, April 18, 2010

Zee Avi mengecewakan


Zee Avi


Apa maknanya kalau rakyat Malaysia masih tidak fasih dan mendaulatkan bahasa rasmi negara? Walaupun berjaya di luar negara dan mencipta nama, tiada kebanggaan terhadap negara seperti mana yang berlaku pada Zee Avi.

Walaupun bahasa Inggeris dikatakan bahasa sejagat dan bahasa dunia, itu bukan sebab kita nak memperlekeh bahasa kebangsaan. Kena belajar bahasa rasmi negara sekiranya kita rasa taat setia pada negara dan selain daripada itu mengetahui bahasa lain adalah satu kelebihan.

Tak ada maknanya konsep 1Malaysia sekiranya rakyat kita masih lemah dan tak fasih bahasa kebangsaan. Kita faham bahawa persekitaran membentuk seseorang itu. Tanggungjawab setiap ibu bapa yang menjadi warganegara Malaysia untuk mendidik dan mengajar anak mereka menggunakan bahasa kebangsaan selain menggunakan bahasa ibunda mereka.

Tiada siapa pun menghalang mereka malah menggalakkan setiap warganegara menguasai lebih daripada satu bahasa tapi bahasa kebangsaan adalah wajib dikuasai terlebih dahulu selepas bahasa ibunda masing-masing.

Sehebat mana artis atau pengkarya seni yang dapat mengharumkan nama di peringkat dunia, kita harus berasa malu sekiranya bahasa rasmi negara tidak dapat dikuasai malah mereka membanggakan bahasa lain yang dikatakan bahasa dunia.

-Utasan Malaysia Online-

Pemenang hadiah nobel sastera Gabriel Garcia Marquez menulis adikaryanya Cien aƱos de soledad (One Hundred Years of Solitude) dalam bahasa ibundanya sendiri. Julio Iglesias tenar serata dunia sebagai penyanyi tersohor, juga menyanyi dalam bahasanya sendiri. Negara kita juga telah melahirkan penyanyi yang hebat, Siti Nurhaliza yang sudahpun membawa lagu-lagu melayu ke Royal Albert Hall, dan diakui sebagai artis yang berjaya sepanjang zaman di nusantara. Jadi, apa sangat yang kita mahu banggakan dengan Zee Avi ini.

Friday, April 16, 2010

Allah turunkan kesulitan sebagai tanda kasih sayang-Nya....redholah atas ujian dari-Nya....namun setiap ujian yang diberi akan ada jalan keluar...kadangkala dari jalan yang kita tidak sangka-sangka...Syukur Allah Engkau ingatkan aku dalam kealpaan ini....

Monday, April 12, 2010

System of a down

Sepanjang hari di kantor tanpa menguliti fail demi fail yang membukit. Bermakna kerja esok harinya makin bertambah. Sistem offline, server down. Begitulah jika mengikut kata penyelaras komputer. Entah. Aku bukan arif berkenaan server-server ni.
Noktah.
Disebelah ada yang bersembang. Ada yang susun-susun fail. Studi untuk peperiksaan PJJ. Main Solitaire ecetra-ecetra. Aku pula duduk menyandar di kerusi yang empuk sambil dengar toxicity dan chop suey dari system of down. Kumpul tenaga untuk hari esok.

Saturday, April 10, 2010

KLINIK

Hari ini saya dan suri membawa sikecil ke klinik. Selsema dan batuk berselang. Suhu badan yang tidak menentu panasnya. Segalanya buat kami risau. Pagi ini hujan menemani kami sepanjang perjalanan ke klinik pediatrik bandar baru bangi. Trafik macet dari susur masuk ke sri kembangan hampir 10 km jauhnya hingga susur masuk ke lebuhraya untuk ke selatan tanahair. Lenguh rasanya menekan klac dan menukar gear. Dari dulu lagi saya sudah dinasihati keluarga untuk membeli mobil dengan tranmisi otomatik. Namun itulah yang saya mampu sahaja masa itu. Disebelah saya sikecil lena tidur. Mungkin kesan ubat batuk dan selsema yang bondanya berikan.
Noktah
Usai membawa si kecil alya ke klinik. Kendati hujan masih lagi belum puas memandikan bumi. Menyapa kami dengan kedinginan.

Tuesday, April 06, 2010

Sampai satu masa kita kena berubah. Ikut zaman, keadaan, dan kemudian kehidupan kita akan naik satu takah lagi. Namun perubahan macam mana yang kita inginkan. Tentunya yang baik-baik, yang indah-indah, yang cantik-cantik. Kalangkala ada perubahan yang perlukan pengorbanan. Waima apa corak sekalipun. Atau diposisi mana kita sekalipun.

Wednesday, March 31, 2010

Siapa hipokrit? Manusia mana yang kemaruk kuasa? Dimana hujah? Atas landas apa?

Sunday, March 21, 2010

Demam

Suri saya tidak berapa sihat hari ini. Demam dan sengal-sengal badan. Jadi tugas menjaga sikecil kini dibahu saya sepenuhnya. Memandikan, menidurkan, makan, pakai diuruskan saya. Saya laksanakan tanggungjawab ini dengan seikhlas hati. Bangun lewat malam membancuh susu, menukar lampin mungkin jarang-jarang sekali buat saya. Selama ini diuruskan suri tanpa ada rungutan. Namun kehidupan menjadi seorang ayah dan bonda adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bersama. Kompromi dalam urusan rumah tangga, waima kadangkala ada telingkah yang sesekali hadir. Namun bak kata P Ramlee, 'sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri'. Kehidupan berkeluarga buat kita lebih matang dan dewasa. Bijak merangcang dan merencana masa depan. Ada perut lain yang perlu di isi selain perut kita. Ini jadikan kita lebih bertanggungjawab dan berkerja keras. Semua ayah dan bonda mahukan yang terbaik untuk keluarga. Namun untuk dapatkan yang terbaik ada harga yang perlu dibayar.
Koma.
Sekecil saya lena diulit mimpi. Malam ini kami tidur berdua. Bondanya dikuarantin di dalam bilik. Takut-takut sakitnya menyerang ketubuh sekecil kami pula. InsyaAllah bonda akan segera sembuh.
Noktah

Thursday, March 18, 2010

Bentley

Pulang dari kantor, dengan panahan terik matahari, meluncur disebelah sebuah bentley. Rakyat malaysiapun ada yang mampu pakai bentley. Benz atau BMW memang biasa sangat. Tapi bentley. Memang pemakainya punya citarasa tinggi. Aku? memang sampai hujung nyawapun takkan merasa nak pakai kereta mewah ni. Kecuali aku dapat kontrak jual pasir atau seludup minyak ke negara jiran, atau aku ni salah seorang pemain bola liga perdana inggeris. Sesekali terbang ke awan apa salahnya. Melayan mimpi marhean kota.

Sunday, March 07, 2010

Seberkas Rindu sebelum ku pergi

Jiwa ini yang kekar

Terlontar ke mandala rindu

Namun tetap setia menanti mu

Datang mengetuk pintu hati


Berikan pada ku seberkas pesonamu

Untuk ku buka jendela sepimu

Saat camar mengacah ombak

Dengan balada syukur syahdu


Sekeping nota ku tinggalkan

Sebelum ku pergi beribu-batu

Kelak kau akan mengerti

Rahsia hatiku


Sungai Besi, Kuala Lumpur

Sunday, February 28, 2010

Di laman kata

Bertukang di laman kata

Dengan alas pengalaman lampau

Maksud yang tersurat dan tersirat

Gapuranya luas terbentang

Ujana mata

Tak tertampan indahnya

Tak tertahan rindunya


Sungai Besi, Kuala Lumpur

Ranting

Tika pawana berdesir dengan kalam mujarad

Tungkas menyirat nirmala ke luar jendela

Nilam yang bersinar kirana

Kaku dipasak banir

Lalu daun-daun rontok menikam

Andai itu takdirnya

Kembara ini akhirnya

Menyimpan ranting-ranting hidup

Penyambung kehidupan

Waima dalam rona yang rusuh

Menggugah jiwa

Teguh dalam bicara yang kelu

Sungguh

Ranting ini bicara tentangnya

Bukan yang pertama


Sungai Besi, Kuala Lumpur

Monday, February 22, 2010

Waktu panas membahang

Waktu panas membahang, kita pasti merindui dinginnya hujan. Sore ini hujan turun membasahi bumi. Mengisi sungai dan sawah yang kering. Dan bumi menyambutnya riang. Tanda kasihnya Tuhan. Waima setiap detak jantung kita selalu lupa. Mengucap kata syukur dari nafas yang selalu tersasar dari jalan-Nya.

Sunday, February 21, 2010

Artis bukan idola?


Mengakui yang akhlak dirinya dahulu adalah umpama Britney Spears, Wardina meminta sahabat artis yang tidak bersetuju dengan tanggapannya agar tidak cuba menafikan sesuatu yang menjadi realiti sebenar kehidupan kelompok itu.

"Tak payah nak menegakkan benang yang basah, kerana saya tahu macam mana keadaannya dalam dunia artis itu. Jadi pada saya tak payahlah nak jadikan artis-artis ini idola anda semua, tak payah, tak payah.

"Nak ambil yang ciri-ciri positif sahaja boleh, tapi tak perlulah nak dijadikan idola," katanya kepada hadirin dan pengunjung pusat beli belah yang sebahagian besarnya terdiri daripada para remaja.

-utusan malaysia-

Komen: Tiada sebab untuk artis (sebut: artis hiburan) menjadi idola rakyat. Diangkat dan dijulang di mata masyarakat sebagai idola. Memang ada artis yang bagus. Namun ia bukan neraca untuk di nobat setinggi itu. Kita ada negarawan yang boleh dijadikan ikutan. Dunia artis (sekali lagi sebut: artis hiburan) adalah dunia hibur semata, fantasi di peti tivi dan corong radio.


Jemari kecil

Jemari kecil ini

Sedang mengira-ngira rahsia hati

Yang bersimpuh malu di pangkuan diri

Sedang layarnya dielus pawana rindu

Lalu seulas senyuman terukir indah

Dari gerak jemari menari

Menukil bait-bait cinta

Serta segumpal mega yang berbaring di dada langit

Saat senja menoleh keseberang zat yang tak terhitung

Menuju samudera luas

Mencari salasilah diri


Jemari kecil ini

Nantinya akan membelah zaman

Diatur takdir

Dengan nafas bahagia

Thursday, February 18, 2010

cuti tahun baru harimau

Menyambung cuti tahun baru cina hingga satu minggu memberi peluang buat saya, suri dan alya untuk pulang ke kampung halaman. Kampung saya dan suri sekali. Tiada masalah untuk pulang ke dua-dua kampung. Cuma kampung suri terletak ke utara sikit. Trafik sedikit macet melalui lebuhraya. Namun masih terkawal dan lancar. Cuaca pula meremang panas. Kulit si kecil kami pula sensitif dengan cuaca yang sebegini rupa. Aktiviti luar kadangala terpaksa meninggalkan si kecil dengan opahnya di rumah. Dijangka cuaca panas ini berlarutan hingga ke anjung mac nanti. Berehat di kampung meninggalkan kesesakan trafik, rencamnya kerja-kerja dikantor serta kelelahan laut fikir, sambil menonton keletah si kecil alya yang mulai mencipta ragamya sendiri, kian bistari, banyak akalnya, betul-betul amat berharga. Memang payah untuk kami dapat bercuti lama seperti ini. Saat-saat berharga ini kami hargai sepenuhnya. Ditambah lagi dengan orang tua kami yang kian hari kian renta di mamah usia. Menjenguk mereka waktu mereka meniti usia renta adalah ibadah sebenarnya. Memohon didoakan keberkatan dan keluasan rezeki dari Tuhan sekalian alam.


13-19 Februari 2010

Monday, February 08, 2010

Doa Nabi s.a.w, “Ya Haiyyum, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata” (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani).

Sunday, February 07, 2010

"Barangsiapa yang ALLAH mahukan kebaikan untuknya, nescaya DIA akan mengujinya dengan kesusahan" (Hadith Riwayat Al-Bukhari)

Lama

Agak lama tidak muncul diruang ini. Bukan tidak ada idea. Namun desakan kerja dunia yang ruwet cukup membataskan masa untuk menukil apa jua yang bersarang di laut fikir. Kerja dunia tidak pernah habis. Dan kadangkala (bahkan selalu) dalam ketompokan kerja yang rencam ini buat kita lupa pada tuhan. Solatpun kian jauh dari waktunya. Lalai dengan kerja. Tuhan. Sungguh aku alpa dalam mengejar nikmat dunia yang sementara ini. Janganlah kau jauhkan aku dari mengingati-Mu ya Allah.
Koma
Alya sudah pandai mengekek-ngekek ketawa. Dan selalu mengajak ayah dan bondanya bersembang dalam bahasanya. Makin ceria kehidupan kami bertiga ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...