Wednesday, October 06, 2010

Epilog

Semahunya saya mencari peluang untuk berwisata jauh dari kehidupan seharian yang semi ruwet ini. Membawa suri dan sekecil menikmati setiap helai nafas dengan bibit ceria dan ukiran senyuman. Entah. Serasa susah mahu mencarinya. Bumbu kehidupan ini kadangkala membawa saya jadi manusia materialisme. Laut fikir yang sentiasa berkelintar dengan kehendak duniawi. 30 tahun mungkin, sebelum pencen. Itupun jika nafas masih berombak. Duduk berteleku di meja. Menguliti setiap rinci tanggungjawab. Untuk upah di anjung bulan. Titik noktah masih jauh. Masih ada koma, tanda soal dan seru diantaranya.  

Tuesday, October 05, 2010

Di anjung syawal 1431H

Hari-hari terakhir bulan syawal 1431 hijrah. Di pejabat sambutannya masih terasa. Jamuan demi jamuan diadakan. Dari satu unit ke satu unit. Ada juga yang mengira puasa sunat enam hari yang masih berbaki sebelum syawal melabuhkan tirai, atau melangsungkan walimah mengutip berkat bulan mulia. Apa jua interprestasi kita, rangkuman aktiviti sepanjang bulan ini terangkum kemeriahan yang tersendiri. 
Noktah.

Senja

Sunday, September 19, 2010

Gambar


Untuk menyampaikan sesuatu maksud tidak semestinya dengan tutur perkataan. Ia boleh saja dizahirkan melalui apa saja medium samaada secara visual, sentuhan, isyarat, dan bunyi-bunyi. Gambar contohnya.
Sudah lama tidak menukilkan aksara demi aksara di laman ini. Mungkin fikiran sudah buntu. Ataupun mungkin juga sebab kekangan masa. Jika tiada apa yang mahu dikongsikan dengan perkataan, laman ini akan dipenuhi foto-foto dari pelbagai sisi kehidupan saya dan apa sahaja seputar saya. Mereka yang menemani saya saban waktu. Suri dan si kecil terutamanya. Biar gambar menukilkan maksud yang tersirat dan tersurat. Bebas berintepretasi, dan bereksperimen.     

Sunday, September 05, 2010

Rumah

Ini merupakan fasa berikutnya dalam kehidupan kami sekeluarga. Memiliki rumah sendiri adalah saat yang paling bermakna. Ia bukan keputusan dalam masa satu hari. Perlu timbangtara sewajarnya, terutamanya soal kemampuan kewangan keluarga. Disamping pemilihan lokasi, harga dan fasiliti, teres ataupun apartmen, baru ataupun lama. Alhamdulillah. Tuhan tunjukkan jalannya. Akhirnya kami memilih rumah teres 2 tingkat di Puchong. Tidaklah terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Insyaallah. Dalam penghujung tahun ini ataupun awal tahun hadapan dijangka akan siap. Moga Allah permudahkan urusan kami, dan permurahkan rezeki kami. Amin.

Thursday, August 26, 2010

Ramadhan dipertengahan

Ramadhan dipertengahan. Rasa alhamdulillah mengukir di tubir bibir. Masih diberi peluang meneguk madu kasih ramadhan besar ini. Nikmat yang tidak terhingga. Namun dalam rasa syukur yang tidak terhempang ini, gelojak nafsu kadang juga sukar dimengerti. Bayi kecil tiada dosa dibuang bagai sampah, anak kecil  dan isteri jadi sembelihan si ayah, ada yang meneguk alkohol tanpa silu, kata maki politikus tanpa hujung dan aneka gejala yang berselimutkan nafsu. 
Nun jauh di asia timur, di Pakistan sana, saudara kita dalam bencana tanpa tanda duga. Kehidupan yang sudah cukup payah, ditambah dengan tragedi ini. Apa lagi yang tinggal. Kita di sini hanya berdoa, sedang di sana tidak cukup sekadar titipan doa. Tapi bantuan untuk kelangsungan kehidupan. Pun begitu di Gaza, Baitumaqdis, Lubnan, yang masih dahagakan segala macam bantuan. Harapan bantuan dari umat islam yang simpati. Biarpun sedikit yang diberi, namun besar di sisi tuhan. Usahlah mengharapkan secupak beras dan gandum dari saudagar-saudagar arab yang melimpahkan dinar dan darhamnya untuk sepasukan bolasepak yang bukan dari leluhur bangsanya atau agamanya. Biarlah mereka lena di Palm Island, dubai, atau London, atau Paris, atau zurich, atau Manhantan, atau dimana-manapun. Bawalah kemana saja kunci gudang harta karun mu.
Ramadhan dipertengahan. Rasa alhamdulillah mengukir di tubir bibir. Masih diberi peluang meneguk madu kasih ramadhan besar ini.

Friday, August 20, 2010

Di fasa ke dua

Ramadhan memasuki fasa ke dua. Dimana diri kita waktu ini. Adakah masih lagi berwalah-walahan. Seperti bulan-bulan lain sebelum ini. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...