Sunday, December 30, 2007

2008



Tahun 2008 bakal menjelang tiba. Gerabak 2007 bakal kita tinggalkan. Dengan pelbagai cerita suka-duka yang berlaku seputar kehidupan kita. Sejarah selalu menoleh kesetiap sisi kehidupan, apa iktibar yang kita dapat setahun yang lalu. Namun adakalanya sejarah itu kita lupakan begitu sahaja.
2007 penuh dengan tragedi. Bayang-bayang Osama yang menghantui masyarakat dunia, Iraq yang sudah lelah kita impikan sebuah arca keamanan, palestin yang selamanya jadi mainan yahudi dan amerika, isu nuklear Iran dan korea utara, krisis Darfur yang meruncing, Politik Pakistan yang bergolak pasca kematian Benazir,. Pastinya 2008 depan, momen-momen ini akan ada kesinambungannya. Sejarah yang kita lupakan.
Aku.
Resolusi tahun baru 2008?. Blog ini rasanya sudah wujud lebih 2 tahun. Memuatkan tulisan-tulisan yang sebahagian besarnya bersifat peribadi, puisi-puisi tentang nyalarasa, rebiu filem-filem seusai ditonton. Entri mungkin telah bertambah. Namun rasa aku masih ada yang kurang. Macam mi segera tanpa perencah. Ada ruang-ruang yang perlu diperbaiki.
Yang lain.
Aku mahu tukar kerja (harap bos aku tak baca entri ini). Bertukar angin. Angin di sini nampaknya sudah tak serasi lagi. Semacam sudah jadi siklon. Nak cari angin yang sepoi-sepoi bahasa pula.
Lagi.
Kahwin. Kahwin? Dengan siapa? Ada. Tunggu sahaja. Akan ada bunga yang akan aku sunting nanti.
Ada lagi?
Ada. Nak kumpul duit. Bukan untuk kaya. Tapi untuk hidup senang. Tambah pelaburan dalam tabung amanah dan perbagaikan portfolio pelaburan. Minat dengan bisnes internet tapi tiada kaki. Ada siapa-siapa yang nak berkongsi?
Akhir
Dekatkan diri dengan Khaliq. Hendak kembalikan semula zaman-zaman masa di ehya’ dan ma’ahad dulu.

“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati Kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (Ali Imran:8)

Saturday, December 29, 2007

Balasungsawa Benazir













Mungkin si pengebom berani mati itu menyangka bidadari syurga sedang menunggunya di pintu syurga. Dan tuhan meredhoi pengorbanannya, dari setiap cebisan-cebisan daging yang hancur dari tubuhnya. saya bukan pengkagum benazir. Tapi cara benazir dibunuh itu amat kejam dan tuhan sama sekali tidak merestuinya. Eksrimis agama ada merata-rata yang membunuh atas nama tuhan.
Bapa benazir, zulfikar yang dihukum mati oleh kerajaan Jeneral Zia ul-Haq atas tuduhan membunuh pada 1979, adik lelaki Benazir, Murtaza dan Shahnawaz yang juga terkorban akibat keganasan.
Dan berkata-katalah penyokong benazir "Bunuhlah berapa banyak Bhutto yang kamu mahu bunuh, seorang Bhutto akan muncul dari setiap rumah."

Wednesday, December 26, 2007

Basah

Langit bagai sudah ditebuk. Lalu segala apa yang dikantungnya mulai turun mencurah-curah. Hujan petang ini luar biasa lebatnya. Jarak penglihatan 100 metar dihadapan kian kabur. Mobil dan motorsikal memperlahankan kelajuan masing-masing, dan ia buat keadaan trafik jadi macet. Lopak-lopak ditakungi air, aliran sungai mengalir deras dan mulai mencecah tebing. Ibu kota kuala lumpur aku tak tahu keadaannya sekarang ini. Mungkin terowong smart bertukar fungsi jadi longkang besar. Shah alam, terutamanya kawasan TTDI dan batu 3 entah apa keadaannya pula. Basah seusai pulang dari kantor memang jadi kebiasaan. Alang-alang sudah hujan, redah saja. Basah tetap basah. Jangan kena tangkap basah sudah. Itu cerita lain pula.

Tuesday, December 25, 2007

bunga-bunga musim rontok
dihembus pawana yang nyaring
saat jiwa rasa mengelus lembut
dan jemari dalam erat meramas
ruang-ruang ini
jauhnya beribu batu
dekatnya dipangkal halkum

ada arah yang menunjuk
ada sepi yang menghurung
ada rindu yang mengbungkam
ada cinta yang menyambut
ada kata yang menunggu

Sunday, December 23, 2007

Kata-kata terpilih

Kata-kata ini yang aku pilih
Dari sekalian banyak aksara
Yang terupam dari pangkal lidah
Terus berlingkar memenuhi ruang batini
Untuk menyatakan dengan keindahan

Benarkah engkau?
Atau bermimpikah aku?
Sukarnya kuberitahu
Mimpi dari kebenaran
Dalam rajuk yang panjang
Ratib setiap malam
Yang ada cuma kesunyian panjang

Kata-kata ini yang aku pilih
Hanya aku seorang
Yang mengerti bait2nya

Saturday, December 22, 2007

dapat gaji. bayar hutang mobil, hutang kad, hutang ptptn, sewa rumah, bla.bla.bla. yang tinggal?

Friday, December 21, 2007

Jatuh

Perlahan-lahan ia jatuh
menyembah ke lantai
menyapu saat-saat purba

terlalu banyak cerita
waktu ia jatuh
ada mata yang merenung
redup
dan gerimis mulai jatuh
bersama melodi
berlagu sendu
menyanyi rindu

Thursday, December 20, 2007

Salam Iduladha

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar. iduladha datang lagi dan kemudian nanti akan pergi. ketika ini umat islam yang berpegian kemakkah sedang menunaikan rukun islam ke 5. Dan buat umat islam yang lainnya ada yang melakukan amalan berkorban selepas solat sunat iduladha. selamat hari raya buat seluruh umat islam serata dunia. hari ini aku masih di shah alam. Tak balik kampung. Semalam ada temuduga spa. apapun selamat menyambut iduladha. dan selamat menjalankan ibadah korban.

Sunday, December 16, 2007

Setiap kota besar dunia pasti ada sisi gelapnya. Ada gelandangan berpelesiran, sang cacat yang meminta, pelacur mencari teman berahi dan wang, politisi yang rakus kuasa. Setiap kota besar dunia punya corak dan warnanya sendiri. Mencipta grafik dan CGInya sendiri. Animator-animator ini sesetengahnya bukan orang besar, bukan aristocrat, bukan korporat, eksekutif atau CEO. Mereka adalah marhean kota yang memang asal dari kota ini ataupun datang entah dari mana, yang mahu mencari rezeki. Halal atau haram. Noktah.
Filem anak halal menelanjangkan setiap kebobrokan anak muda ibu kota yang hidup di tengah kosmopolitan yang berbau hanyir, hamis, kotor dan jijik. Status ibukota bukan lambang kemulukan dengan terang lampu neonnya. Susuk gelap ini membuatkan penghuninya lapar dalam berahi, dan anak-anak muda membesar dalam nanar. Noktah.
Filem ini ialah cerita tentang anak muda dengan keghairahanya. Kegilaan merempit, khayal dengan dadah, gaduh sampai berbunuhan, lintah darat. Plot-plot ini digarap oleh sutradara Osman Ali dengan baik. Dengan mengambil latar kawasan flat murah ditengah ibukota, membelakangkan KLCC dan Times Square anak-anak muda ini membesar dan mencari rezeki. Memang semua anak muda ini gila, tapi mereka juga ada otak. Dan kadangkala ia buat mereka jadi lebih kretif. Noktah

Kenapa perlu tonton:

1. Farid kamil memang pelakon yang bagus cuma lepas ni dia perlu bijak memilih watak. Watak adiputra menyerlahkan bakatnya berbanding filem 7 perhentian dan filem2 komedi mentah lakonannya. Zulhuzaimi, Fauzi Nawawi, watak antagonis mereka memang menjadi. Betul2 jahanam. Maya Karin tanpa make up tapi lebih menyerlahkan keberkesanan lakonannya. Begitu juga pelakon2 lain. Masing2 memberikan impak yang tersendiri. Cuma fasha sandha. Macam ada yang tak kena. Mungkin susah nak buang imej natasyanya.

2. Kerja kemera yang cantik, suntingan yang kemas, dialog yang bersahaja menjadikan filem ini menarik untuk ditonton. Latar di atas bumbung flat persis dalam filem ungu violet.

3. Pernah nonton transporting? Ini filem trainspoting versi melayu. Cuma ia tak ada adegan ranjang.

4. Masih ada filem Malaysia yang bagus untuk anjung tahun ini. Tahun lepas ditutup dengan filem cinta sebagai filem terbaik. Siapa kata pengarah kita tak boleh buat filem komersial yang bagus?

5. Akhir sekali. Mungkin penonton lain tak perasan. Tapi aku perasan. Aku perasan ada novel faisal tehrani ‘perempuan politikus melayu’ atas bangku dalam rumah Erzan(adi putra) dan Milya(raja farah). Apa motif osman agaknya? Ataupun memang dah ada kat rumah tu?

Sunday, December 09, 2007

Rasional

Ramai yang hilang pertimbangan akhir-akhir ini. Dengan berbagai isu yang berputar-putar keliling kita. Dari isu pemanasan global di sidang kemuncak alam sekitar bali, perseteruan iran-as yang tanpa sudah, suara lantang hindraf yang masih bergaung di dinding koklea kita hingga aksi membosankan skuad bola kita di korat.
Rasional. Kata Nietzsche yang ethis itu, 'tuhan sudah mati.Dan kita telah membunuhnya'. Rasional nietzsche? Penolakan kepada hukum moral, lantaran tuhan tidak lagi mampu untuk sebagai peran kepada sumber dari semua aturan moral. Jawapannya ialah membentuk pemikiran nihilisme yang lebih idealistik dan menemukan titik moral manusia yang menolak sistem nilai yang sedia ada.
Rasional kita. Apa jawapan kepada permasalahan yang menebak dunia hari ini. Tuhan sudah mati kata nietzsche? Biarkan dia. dia sudah mati bersama tuhannya. Tuhan itu Baqa' sifatnya. Yang mati adalah kita. Tuhan sudah mati dalam hati kita.
Mencari rasional dalam setiap isu yang bersawang seputar kita. Jawapan ada. Ada dalam Kitab suci. Dan dalam sunnah nabawi. Baca dan ambil intinya, praktik apa yang ada di dalamnya.

Sunday, December 02, 2007

Disember

Disember ini penuh dengan harapan membuhul. Langkah akhir perjalanan untuk satu permulaan baru. Disember ini bulan penuh rencam. Terlorong sisi yang entah sekian kali banyaknya datang, untuk membuka atau menutup lubang-lubang binasa dari setiap rona-rona yang berjalan siang dan malam. 31 hari bermula dari semalam adalah satu pertandingan. Pemenang ditentukan dihari terakhir. Kepura-puraan dan hipokrasi. Dan masa depan yang tak pasti. Meneroka makna Disember ini yang kemaruk dengan pesta dan keraian yang berahi, adalah perjalanan yang ruwet. Namun harapan tetap di situ. Masih di situ. Sebelum kotak Pandora dibuka. Dan segala rahsia januari akan terungkai.

Tuesday, November 27, 2007

Betulkah DBP sudah impoten?

Parlimen bersidang. Seorang wali rakyat menyelar DBP sedang mengalami kemandulan minda. DBP sudah impoten (meminjam istilah inggeris). Maka riuhlah negara perihal kemandulan DBP di mata rakyat. Kalau mandul mungkin ada ubatnya kecuali sudah monopous. Boleh telan viagra, atau boleh cuba tongkat ali bagi lelaki dan kacip fatimah bagi perempuan.
Teringat pula dengan Gunawan Mohamad. Bila seseorang mengikuti majalah tempo, selalu ada kolum catatan pinggir. Dan kolum pak Gunawan ini telah dibukukan hingga jilid ke4. (boleh juga diakses ke blog beliau www.caping.wordpress.com). Dari pemerhatian peribadi, Pak gunawan banyak menggunakan istilah asing yang di indonesiakan (yakni dimelayukan) dalam tulisannya, namun ramai yang terpesona dengan gaya bahasa, gaya penuturan dan makna setiap esei-esei beliau. Dan orang masih faham dengan tulisannya. Dengan istilah yang dipakainya waima sudah diindonesiakan.
Ironinya sekarangpun sains dan matematik diajar dalam bahasa inggeris di sekolah. Mengapa bising mengenai istilah. Mengapa pak-pak menteri masih bertutur dengan bahasa inggeris di depan penutur berbahasa melayu. Ah! bahasa inggeris pun banyak meminjam istilah dari bahasa-bahasa lain terutamanya bahasa arab. (dan fakta. Di eropah penutur bahasa jerman lebih ramai dari bahasa inggeris)
Istilah bukan satu isu. Soal pemantapan bahasa melayu dari peringkat akar umbi itu lebih aula. Kendati namanya bahasa melayu namun ia adalah hakmilik setiap warga malaysia tanpa mengira ras. Alangkah bagusnya bahasa melayu dapat diperdengarkan di sidang bangsa-bangsa bersatu seperti dilakukan Suharto dahulu.

p/s: ini adalah pandangan peribadi penulis tanpa ada rasa prejudis dengan mana-mana pihak, tapi atas dasar sayangkan lingua franca ini.

Sunday, November 25, 2007

Hitman

cerita lelaki botak dengan kod bar di belakang kepala. siapa kata lelaki botak tak menawan. agen 47 ada lesen membunuh persis james bond. dia direkrut sejak kecil untuk menjadi pembunuh upahan, oleh sebuah organisasi bawahtanah yang misteri. menjalankan kerja2 jahat CIA. Hitman adalah adaptasi baru dari permainan komputer popular keluaran Eidos. Aku tak berapa minat dengan francis lara croft atau resident evil. tapi hitman oklah. heronya ini tak pernah lupa dengan kot hitamnya, kemaja putih bertai merah. mengarut, tapi kool. pegilah nonton. sekarang tengah dipanggung.

Saturday, November 24, 2007

Beowulf

Robert Zemeckis kembali bikin filem. aku cukup teruja dengan filem2 arahannya dahulu, back to the future, forrest gump, cast away. selepas eksperimentasinya dengan polar express, zemeckis menjadikan beowulf sebagai kesinambungan teknologi motion capture dalam filem. memang tak terasa kesan animasi dalam filem ini, kerana segalanya seakan-akan hidup. beowulf adalah mitos dari belah dunia scandinavia. di ceritakan turun-temurun dalam medium puisi (persis perang troy dalam puisi panjang homer, the illiad).
beowulf. seorang pahlawan dari geta datang kesebuah kerajaan untuk membunuh seekor raksasa bernama grandel. grandel berjaya di bunuh beowulf dengan aksi2 akrobat yang hanya boleh ditonton dalam bentuk animasi. seakan sudah disuratkan atau rahsia yang tersimpan kemas sejak raja hrothgar memerintah. beowulf berhadapan dengan si ibu grandel dengan niat untuk membunuh. dan si ibu grandel bukanlah seekor raksasa hodoh seperti grandel tetapi seorang perempuan cantik yang penuh tipu muslihat. biarpun segagah mana beowulf, akhirnya beowulf tersungkur dalam keghairahan si ibu grandel. si ibu grandel menjanjikan sebuah kekayaan dan kekuasaan yang tak termimpikan oleh beowulf. dan dari hubungan dengan si ibu grandel lahir seorang anak yang kemudiannya menjadi seteru beowulf. sama sepertinya perseteruan raja hrothgar dengan grandel. setelah beberapa tahun berlalu. setelah beowulf di angkat menjadi raja menggantikan raja hrothgar yang telah mangkat. seekor naga datang dengan onar. memusnahkan kerajaannya. peristiwa lampau berulang. beowulf sudah tua, namun kegagahannya tidak pernah luput. beowulf sendiri mengangkat pedang untuk membunuh si naga. membetulkan kesilapan silamnya. dan naga yang dibunuhnya adalah anak lelakinya sendiri, hasil hubungan dengan si ibu grandel dahulu.
kisah beowulf, adalah adaptasi dari puisi kuno anglo-saxon. segagah manapun, sekuat manapun,beowulf tetap seorang lelaki.

Monday, November 19, 2007

Suara ini

Suara ini
Gemersiknya bersambut kelembutan
Singgah bertamu
Memenuhi setiap inci batini
Menyimpan setiap sendu murba
Memecah rindu dalam setiap getar kata
Dan hujan jadi lagu
Dari bumbung kehidupan
Tempat teduh sebuah perjalanan

Suara ini
Yang bertingkah dengan senyuman
Menyahut cinta kasmaran
Memenuhi bejana penuh air mata
Dan tawa yang diukir
Dengan setiap pengharapan panjang

Hari ini dan semalam
Tetap sama
Matahari masih bercumbu dengan siang
Langit masih mengomoli rinci buana

Dan suara ini
Luluh menanti pelangi
Yang kadang-kadang muncul.

Thursday, November 15, 2007

Nanti dulu. Tak habis lagi. Anak buah aku, Idah dapat 5A's dalam UPSR. Kalau dah pak saudaranya bijak anak buahnya tentu pandai. Tahniah. Tahniah kerana meneruskan kecemerlangan keluarga kita.
Aku belum habis lagi!!!!Bilakah habis adalah habis!!!! Adakah malaikat di samping aku. Mengingatkan tentang diri-MU. Setanpun di samping aku. Melalaikan aku untuk dekat dengan-MU.
Aku mahu menumpukan sepenuh perhatian pada kerja di kantor. Tapi tumpuan itu pecah kepada beberapa bahagian. Mata berpinau mengadap komputer. Di luar hujan melebat, dan di dalam penghawa dingin menggigit hingga ketulang.

Sunday, November 11, 2007

"katakanlah wahai Allah tuhanku yang memiliki kerajaan, mengurniakan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau rampas dari sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, ditangan kekuasaan Engkau sahajalah wahai tuhan segala kebaikan dan Engkau maha berkuasa di atas segala-gakanya".

Sore 10 Nov 2007 Sejarah Yang Diingati




aku menonton berita di teli hari ni dan semalam namun tiada langsung berita seputar perhimpunan 100 ribu rakyat di dataran merdeka, waima aku memang sudah jangkakan perhimpunan ini tidak akan mendapat tempat dalam siaran berita lokal. cuma nak lihat kalau2 ada stesen2 tv selain rtm yang membuat liputan mengenai perhimpunan tersebut. tapi nampaknya al jazeera yang lebih berminat. mingguan malaysia hari ini menyatakan: Sekitar 4,000 orang telah berhimpun secara haram di sekitar perkarangan Dataran Merdeka sehingga ke Masjid Jamek hari ini dan polis telah menahan 245 orang. memang melucukan. sedang dunia menyaksikan puluhan ribu manusia yang berhimpun di perkarangan istana negara, belum lagi dicampur yang masih dalam perjalanan dari tempat himpunan masing2, yang terkandas di jalan raja laut, yang tersekat di jalan masjid jamek, di pasar seni, yang terkurung di sogo, dan beberapa lagi tempat di metro kota.
sore 10 november 20007 membuktikan yang rakyat juga pantang dicabar. rakyat jelata berjaya melakukan perhimpunan secara aman dan mahu sebuah demokrasi yang bersih. tembok berlin sudah runtuh, kesatuan soviet sudah lebur, yang tinggal adalah demokrasi. kepalsuan cuma ibarat kunang-kunang yang hilang waktu cahaya di jamah kegelapan.

Saturday, November 10, 2007

Malam Minggu

malam minggu tanpa aktiviti rasa amat bosan. menonton buletin utama di tv3 terasa memualkan. separuh dari berita seputar soal persidangan agung amno di pwtc. aku lebih gemar menonton berita global di astro awani. perlawanan EPL minggu ni pula tiada yang menarik, tiada perlawanan2 besar. aku menghabiskan sisa malam minggu ini menonton filem hong kong di astro kirana bertajuk undercover lakonan eric tsang, si katik gempal, namun kalau nak dibandingkan dengan farid kamil atau adam af, aku rasa jauh panggang dari api. ini filem tentang gangster. gangster yang lawannya polis dan selamanya polis akan jadi musuh utama bagi gangster. polis hong kong mahu merekrut 1000 anggotanya untuk menjadi perisik dalam kumpulan2 gangster di hong kong hingga keperingkat akar umbi dan program ini berlangsung selama 2 tahun. kalau sudah namanya gangster memang wataknya jahat. pukul orang, tikam orang. tapi salah satu dialog kai sing (lakonan eric) 'tiada langsungkah orang baik di kalangan orang2 jahat?' kai sing lantas membuat analogi, sepapan telur yang jatuh, tak semuanya akan pecah, mungkin ada 1 atau 2 atau 3 yang elok'. mungkin betul, mungkin tidak. menilai sudut kemanusian dari aspek baik atau jahat seseorng itu adalah subjektif. kadangkala kita nampak orang itu baik di biji mata kita, tapi belakang kita tak tahu. macam penjawat2 awam yang ditangkap rasuah. di kantor kerjanya bagus, orang hormat. namun kita tak tahu dia rasuah hinggalah dia ditangkap. manusia itu makhluk subjektif. boleh jadi orang, boleh jadi orang2.
penamat cerita, kai sing mati di bunuh oleh dau su, orang kepercayaannya sendiri, dan harapannya yang terakhir agar dia tidak di bunuh di hadapan kekasihnya. dan kejadian itu langsung tidak di sedari kekasihnya. cuma sejambak mawar yang tinggal.
filem2 hong kong dalam genre ini kebanyakannya anti klimaks. macam filem sewaktu dengannya seperti exile, the election, internal affairs, kadangtu watak antagonis protagonis ditiadakan. yang ada cuma cerita. ya, aku mahu menonton cerita. bukan setakat tembak-menambak ala die hard dari awal sampai habis.

p/s: utusan malaysia melaporkan. orang kuat kumpulan gangster sarawak ditahan di kawasan perumahan tabuan jaya kira2 3.30 petang semalam.

Thursday, November 08, 2007

Minyak

Harga minyak mentah global telah mencecah AS$ 98 setong. Dijangka harga komoditi itu akan melambung melepasi paras AS$100 setong. Dan tempoh itu mungkin semakin singkat memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu, ekonomi AS yang terjejas dan ketegangan di Asia Barat.
Minyak adalah bahan mentah aula bagi penduduk dunia. Sanggup berbunuhan untuk menguasai emas hitam ini. Apa alternatif kita selain menggunakan minyak? Sanggupkah kita berkelana menggunakan basikal?

Tuesday, November 06, 2007

Rasuah

rasuah adalah gangrel dalam masyarakat. kesannya nanti akan memakan sebuah negara, meruntuhkan peradaban sebuah bangsa. kita perlu mengkoreksi sejarah. melaka musnah kerana kegiatan rasuah yang berleluasa dikalangan pembesar melayu. dan semestinya dalam kemeriahan kita menyambut 50 tahun kemerdekaan negara dan keghairahan negara menghantar orang ke angkasa, tentunya kita tidak mahu penyakit ini melarat hingga perlu sebelah kaki terpaksa dipotong, macam orang kena diabetis. dato ramli dah kena tangkap waima dia tak mengaku salah atas dakwaan memiliki aset RM27 juta! (kalau gaji RM10k sebulan, sampai pencenpun takkan dapat kumpul harta banyak tu). itu cerita rasuah orang atas. orang bawah yang jadi balaci orang atas kita tak tahu. kadangkala tak perlu wang ringgit sebagai sogokan. teh tarik mamplerpun dah cukup kalau memang jiwa rasuah tu dah bersarang dalam diri. tutup cerita dato ramli, orang no 3 di PDRM. biarlah dia pergi umrah, berdoa di hadapan Baitullah. minta ampun, @ apa sahaja. Tuhan maha mendengar. dan Tuhan itu maha adil.

P/S: pilihanraya nak dekat. baik BPR pergi siasat orang-orang politik pula.

Thursday, November 01, 2007

Payung....

dunia aku tunggang-langgang kebelakangan ini. kepala serabut. di kantor kondisi tidak menyakinkan. semacam ada batu besar yang menghempap.
mujur dalam keserabutan ini aku ketemu dengan seorang minah cun di youtube. dengan bekalan gitar kapok, rias wajah yang cun, dia menyanyi.'ela...ela...ela...under umbrella ela...ela...ela....dunia sekarang nampaknya tak perlu lagi rancangan realiti untuk cari bakat baru kerana dunia sudah ada internet. audiennya seantero dunia. hitsnya di youtube sudah melebihi 2 juta. nama marie digby sudah tenar. sensasi yang lahir dari youtube, di luar dunia glamor american idol. dan gadis cun kacukan jepun dan irish-american ini buat aku khayal sebentar. berjalan berdua di NY times square sambil memegang payung hitam. hujan mulai turun rintik-rintik.

Tuesday, October 30, 2007

Wednesday, October 24, 2007

Malas

selepas raya ni segala macam kemalasan yang timbul. malas nak pergi kerja, malas nak update blog, malas nak baca buku, malas nak basuh kereta, malas itu, malas ini. puasa 6 haripun tak sempat nak buat, malas, waima aku tahu puasa aku yang lepaspun masih banyak part-part yang koyak, yang aku rasa perlu ditampal dengan puasa 6 hari bulan syawal.
hujan. monsun kali ini lain macam pula. dah seminggu bumi basah ditimpa hujan. pegi kantor hujan, balikpun hujan. bila suhu keliling dah turun mulailah mata ni macam digam dengan gam kasut. inikah yang buat aku malas. ah! orang malas memang banyak alasan......

Saturday, October 20, 2007

Semalam aku jumpa kawan lama.
Tunjuk kat aku awek baru.
Dan kereta proton wira baru.

Tuesday, October 16, 2007

Indahnya Syawal

i. Indahnya syawal ini dapat berkumpul bersama keluarga. Bermaafaan sesama keluarga, dan yang paling indah ialah dapat mencium tangan dan wajah ibu. Ibu orang yang paling sebuk takkala mahu menyambut hari raya, terutamanya sehari sebelum syawal tiba. Kadangtu tak terlawan kudratku dengan kudrat ibu yang entah datang dari mana, waima kami adik-beradik sedar ibu kian hari kian renta. Tangannya tetap ligat menyiapkan segala yang perlu di aidil fitri. Kasih sayang ibu tidak setakat takkala kami masih kecil bocah, tapi melawati batas usia kami yang semuanya sudah besar-besar belaka. Ibu adalah anugerah syawal yang tak terhingga.

ii. Cutiku cuma sampai 3 syawal. Maka 3 syawal ini aku mulai pulang ke daerah tempat aku mencari rezki. Perjalanan ke shah alam dari teluk intan memang memeritkan, lantaran keadaan trafik yang macet. Akhirnya perjalanan pulang yang cuma 2 jam melarat ke 3 jam. Nah! sampai kejang kaki menekan brake dan menukar gear.

iii. Syawal ke 4. Motivasi untuk masuk kerja boleh dikatakan langsung tiada. Tapi mujurlah trafik hari ini berjalan lancar. Tidak seperti selalunya waktu pagi hari berkerja. Di kantor tak sampai separuh orang yang berkerja. Separuh lagi mungkin masih beraya dikampung. kaunterpun lengang.Tak ramai yang datang. Aku pula tak sudah-sudah melihat jam, bilalah nak balik ni....

Sunday, October 07, 2007

Hadiah Ramadhan Buat Adik Hui Yi

Ramadhan bulan rahmat. Bulan penuh berakah. Keberkatannya meliputi setiap manusia waima berlainan ras dan agama. Semuanya adalah kuasa Allah azzawajalla. Adik hui yi, insyaalah, akan kembali merasa degup jantung dari dadanya. Kasih sayang sesama manusia. Nyatalah perbezaan agama bukanlah halangan.

Thursday, October 04, 2007

Meski

meski takdirku berselimut gebar silam
musim-musim rontok menjelma
dalam urat nadiku

langam bicaraku dengan jerih masa
bergulir liar meniliti gubuk kesepian
ah, sejauh mana dakapan erat itu
yang masih hangat di bawah seberkas mimpi
mimpi yang menjadi ilalang
usang
usai mengabdi diri
khali dilaut malam

itu demi kesempurnaan
penuh kepedihan
selama surut gelombang jiwa

Saturday, September 29, 2007

Pertengahan Ramadhan Ini

pertengahan ramadhan ini
perbanyakkanlah ibadah rohani
basahkan tubir bibir dengan alunan al-Quran
selami intinya
hingga meresap keubun-ubun kepala
selangkan antaranya dengan zikirullah
penuhkan malam-malamnya dengan qiam al-lail
Mohonlah margfirah
sesungguhnya ramadhan akan datang
tiada jaminan untuk kita
entah ketemu lagi atau tidak

Seusai Menguliti Tuhan Manusia

Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.

Usai membaca tuhan manusia. Novel ini tak seperti novel-novel faisal yang pernah aku baca. Novel-novelnya seperti perempuan politikus melayu penuh dengan imej berontak, Tunggu teduh dulu dengan wacana feminis, 1515 pula sebuah amnesia sejarah (antara beberapa contoh novelnya).

Tuhan manusia memberikan sisi baru pembacaan yang segar. Persoalan pluralisme dan gejala murtad yang kian membarah dalam masyarakat kita. Ia seperti ngembara ke sebuah daerah yang penuh dengan inti-inti falsafah, dan mengutarakan bentuk pemikiran islam yang dinamis, sesuai dengan perkembangan zaman.

Novel yang baik bagi saya ialah novel yang ada unsur-unsur ilmiah didalamnya, yang disampaikan dengan cara bercerita, langsung mendidik jiwa kearah kebaikkan. ironisnya genre novel seperti ini kurang diminati remaja yang lebih gemarkan gaya cerita yang ringan dan ‘simple’. Seputar soal cinta, rindu, sayang, kasih etc. (boleh semak tajuk-tajuk novel ini di toko-toko buku berdekatan)

Tak banyak novel-novel seperti ini yang berbahasa melayu (baca melayu bukan Malaysia) di Negara kita. Kalau adapun novel-novel yang ditulis oleh penulis yang bertaraf sasterawan Negara. Bila ramai yang nak jadi penulis maka berlambaklah novel-novel remaja yang mentah. Kemudian kita mulai bercakap ini novel popular, yang itu novel sastera. Sudah jadi polemik pula.

Novel sastera tak popularkah? Bagi aku untuk mempopularkan novel-novel sastera ini adalah dengan melambakkannya dipasaran. Jangan beri peluang pada novel-novel mentah atau separuh mentah. Bila sudah melambak dipasaran, pembaca tiada pilihan lain selain membeli dan membaca novel sastera. Nampak macam utopia. Tapi bukan mustahil. Penerbit kena ambil bahagian, sasterawan kena terus menulis. Baru dunia sastera tanah air rancak semula.

Kita kena buat sesuatu untuk sastera kita. Jangan suatu hari nanti sastera kita mati, macam matinya Lahuma. Dan waktu itu novel seperti mona gersang dan siri bercakap dengan jin akan jadi teks wajib untuk pelajar-pelajar sekolah.

p/s: ini adalah pandangan peribadi. anda ada pandangan sendiri?



Thursday, September 27, 2007

cuma aku
rontok jiwa
kelam dan terputus
warna-warna yang ilalam
jika semuanya indah
tak perluku mencari
kata takdir
aku hidup cuma sekali
dan imanku
untuk di dunia yang satu lagi

Sunday, September 23, 2007

Melihat wajah ibu adalah nikmat terbesar kurniaan Ilahi. Ibu adalah anugerah tak terhingga. Jika Allah menyuruh kita menyembah kepada makhluk ciptaan-Nya pasti kita disuruh untuk menyembah insan yang bernama ibu ini.

Aku pulang ke kampung jumaat lepas untuk sama-sama meraikan ramadhan dengan keluarga dan yang paling aula ketemu dengan ibu. Wajah renta ibu bercahaya menyambutku. Wanita ini kutahu amat kuat semangatnya, tak padan dengan tubuhnya yang kecil. Setelah pelbagai badai yang melanda keluarga kami, segalanya dihadapi oleh ibu dengan tabah. Ibu tahu setiap yang berlaku ada hikmahnya, ada ujian yang tersirat yang tidak jelas dimata kasar.

Makanan berbuka dan sahur disediakan ibu, tanpa ada buku resepi yang menguliti setiap masakan. Namun hasil tangan ibu amat menyelerakan anak-anak dan cucu-cucunya.

Di waktu malamnya, seusai solat Margrib suara klasik ibu indah mengalunkan ayat-ayat suci Al-quran. Cukup dengan tajwid dan tartilnya. Aku tahu setiap bacaan ayat-ayat suci itu disedekahkan buat gemulah bapak dan datuk yang telah lama meninggalkan kami, menuju alam keabadian.

Melihat wajah ibu terasa cukup tenang dan bahagia. Sementelah pula kala ramadhan ini yang datang menyengguk umat Islam dengan barakah tak terhingga. Aku pulang hari ini dengan memohon kemaafan dari ibu, meminta restu agar diluruskan setiap perjalanan ini dengan rahmat dan petunjuk Ilahi.

Sunday, September 16, 2007

Mencari Kekuatan Bahasa Melayu

Raut wajahnya tiada langsung iras melayu. Jessica Ong Hai Liaw, berketurunan cina, macam cina-cina Malaysia yang lain. Bermata sepet, berkulit putih mulus. Siapa yang menonton slot berita dunia hari ini, pasti mengenalinya, tukang baca berita, petah berbahasa melayu. Dalam harian metro semalam, Sabtu 15/09/2007, Jessica menganggap bahasa melayu sangat indah, dan amat rugi jika tidak mengamalnya. "Terus-terang, saya amat mencintai bahasa Melayu. Biarlah orang lain dengan cara mereka berbahasa asing, tetapi saya sesekali tidak segan bertutur bahasa Melayu," katanya. Ia bukan sekadar ucapan kata tapi dibuktikan dengan memiliki ijazah sarjana muda dan sarjana bahasa melayu dari universiti putra Malaysia disamping sedang meneruskan pengajiannya diperingkat doktor falsafah, juga pengkhususan dalam bahasa melayu. Kita tinggalkan Jessica dengan obsesinya dengan bahasa melayu. Kembali kepada realiti semasa bahasa melayu di Malaysia, cemerlang, gemilang, terbilang ini.

Bahasa melayu sedang berada dalam era globalisasi, namun peranannya pula sebagai bahasa ilmu dan kemajuan mulai terhakis. Bahasa asing terutamanya bahasa inggeris mulai mengambil alih peranan sebagai bahasa utama dalam pelbagai sektor di Malaysia. Bahasa melayu makin terpinggir apabila para pemimpin melayu menekankan penguasaan bahasa inggeris ini dari peringkat akar umbi dengan menjadikan para pelajar sebagai mangsa. Pemimpin melayu juga lebih enak bertutur dalam bahasa inggeris, dalam forum2, ceramah2, di tivi dan dimana-manapun agar nampak maju dan punya status yang tinggi.

Apakah dosa bahasa melayu pada negara? Kata dr Hassan ahmad, orang melayu boleh berfikir dan mencipta kemajuaan, mengembangkan ilmu, menjadi pakar, sarjana dan bijak pandai dalam segala bidang melalui bahasanya sendiri. Hanya apabila orang melayu disekat untuk memajukan diri melalui bahasanya sendiri, barulah bangsa melayu itu mundur. Hanya stigma yang mengatakan bahawa orang yang menguasai dua bahasa (melayu dan inggeris) lebih pandai atau lebih bijak berfikir dari mereka yang mengetahui hanya satu bahasa, iaitu bahasa melayu.

Ahli bahasa antropologi barat(amerika), terutama Edward Sapir dan anak muridnya Benjamin Lee Wholf mencetuskan perbahasan selama lebih 60 tahun apabila mereka mengemukakan teori atau hipotesis tentang linguistic determinism atau ketentuan bahasa yang mengandaikan bahawa pemikiran manusia ditentukan, tetapi tidak dibatasi, oleh bahasa yang digunakan oleh bangsa yang memiliki bahasa itu. Implikasinya ialah kemajuan atau kemunduran sesuatu bangsa, secara relatifnya, bergantung pada bahasa yang digunakan oleh bangsa itu.

Semua bangsa yang maju adalah kerana mereka menggunakan bahasa mereka sendiri dalam mencanai dan mencipta kemajuan. Ambil contoh Filipina, negara berbahasa inggeris terbesar di asia tenggara, tapi dari segi ekonomi negara Filipina masih jauh ketinggalan (berbanding Thailand, dan tentunya jepun dan korea selatan). Dikatakan antara eksport utama filipina ialah pembantu rumah kerana kebolehan mereka bertutur dalam bahasa inggeris.

Bukan mahu merendah-rendah bangsa dan negara lain tapi sebagai perbandingan bahawa jati diri bangsa dapat diperkasa melalui pemantapan dan penguasaan bahasa ibunda. Para pemimpin, terutamanya yang terlibat dalam membuat dasar negara perlu sedar dan yakin dengan keupayaan bahasa melayu yang suatu masa dahulu pernah menjadi lingua franca dalam era kesultanan melayu Melaka. Melaka sebelum dilanggar benggali putih 1511M lebih maju dari malaysia hari ini, dan resepi kemajuan tersebut ialah bahasa melayu itu sendiri.

Bahasa melayu punya kekuatan dan keindahannya. Namun bangsa lain seperti Jessica yang nampak kekuatan dan keindahan tersebut berbanding pemimpin melayu yang enak bertutur dalam bahasa inggeris waima sesama malayu sendiri sama ada diwarung-warung kopi tepi jalan atau di lobi parlimen seusai bersidang.



Thursday, September 13, 2007

Ramadhan Yang Datang

Ramadhan yang datang
Datang dengan barakah tujuh lautan
Mencari cinta hakiki
Menyuci badan dari kotoran
Daki dosa setahun lalu
Amal dilipat ganda
Waima sedekah sebiji tamar
Menanti kucupan kasih-Mu
Memohon marghfirah dari-Mu
Titipan doa teleku qiam malam
Agar temui al-Qadar mulia seribu bulan

Ya Tuhan Rabbuljalalah
Ku temui lagi Ramadhan ini
Dan aku datang dalam pasrah redho-Mu.


1 Ramadhan 1428. Ramadhan datang lagi. silih berganti. Tahun demi tahun. Ia datang dan kemudiannya nanti akan pergi. Sebahagian dari kita tidak berkesempatan menyambutnya sekali lagi. Ramadhan yang lepas adalah yang terakhir. Ini Ramadhan yang baru. Gemulah tuk dan bapak sudah lama meninggalkan Ramadhan. Bersemadi di alam barzah. Aku, kita, bakal menyusul kemudian. Ini Ramadhan yang terakhir atau tidak. Kita tidak tahu. Selepas Ramadhan, ada 11 rakannya lagi akan menyusul, Syawal hingga Syabban. Kita tidak tahu. Tapi nasihat aku, pada aku, pada kita, hargailah Ramadhan kali ini. Kita tidak tahu. Semalam pulau sumatra dilanda gempa 7 skala richter. Kita cuma terkena tempiasnya. Memang kita tidak tahu. Tapi ALLAH maha tahu. Tahu segala-galanya.

Tuesday, September 11, 2007

6 Tahun Selepas 11 September

11 September, 6 tahun lalu adalah titik tolak kebencian barat (sebut: Amerika) terhadap umat Islam. Hari ini kenangan peristiwa tersebut masih berilam-ilam di ruang retina. 2 buat pesawat bagi peluru menghentam sebuah ikon milik sebuah Negara adikuasa. Tiada yang dapat memintasnya. Kemusnahan berlaku sekelip mata. Dan sekelip mata juga dunia menghukum umat Islam di sebalik punca tragedi. Al-qaeda langsung menjadi kambing hitam bagi menghalalkan perang genocide atas nama memerangi pengganas. Dalam usaha ini nada islamofobia atau rasa benci terhadap Islam disemaikan. AS tidak pernah merasa puas dengan kerja jahat mereka sejak perang dunia pertama, dan berlanjutan hingga perang dingin. Hari ini AS muncul sebagai kuasa tunggal selepas runtuhnya kesatuan soviet. Umat Islam diratah wewenangnya oleh AS dan juak-juaknya. Dari palestin, lubnan, Somalia hingga ke Darfur. Islam tidak pernah mengalakkan keganasan. Dan setiap pembunuhan yang dilakukan oleh kelompok yang mereka gelarkan sebagai ekstrimis, fundementalis atau apa jua istilahpun adalah bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri. Islam merupakan agama yang mencintai keamanan. Tiada langsung tempat dalam islam untuk mereka menggalakkan keganasan. Cuma yang menjadi kekeliruan ialah adakah perjuangan membebaskan tanah air dari penjajah juga dianggap pengganas? Hizbullah di lubnan dan hamas di palestin telah lama berjuang untuk memerdekakan tanahair namun dilabel oleh AS sebagai organisasi pengganas. Hizbullah tidak sama seperti al-qaeda. Nasrallah tidak sama dengan Osama. Kita semua dikelirukan barat (sebut sekali lagi AS) dengan siapa sebenarnya pengganas. Pengganas dalam kamus AS ialah mereka yang tidak bersama-sama menyokong mereka.

Sunday, September 09, 2007

Tuan Dari Mana

angin menebak dari dada
dan bertanya sebuah kota

tuan dari mana
sambil bergulir mimpi dunia ketiga
minyak dan airmata
infantri dan puing keamanan
sebelum buah-buah zaitun
masak di tengah oasis

tuan dari mana
gurun ini penuh mayat dan roh jahat
bukan bayang demokrasi
tak bisa mengunyah kebebasan
rangtua dan ibu muda
masih dalam jagaan malaikat maut

tuan dari mana
muka depan berita perdana
seorang kecil bocah
berbogel keliling kota
mencari makna hari
tiba-tiba memekik nyaring
revolusi! revolusi! Celakalah kaum borjuis!

tuan dari mana
pasti dari dunia pertama
mari bersama mencicip kopi
mengunyah sarapan pagi
di warung kapitalis
bicara soal idealis
sebelum bom mulai ghairah di ranjang berahi

Tuesday, September 04, 2007

Taruhkan bibirmu di tubir langit
Kalungkannya di jantung malam
Biar tersenyum ujana alam
Mendengar rentak irama mendayu-dayu
Memujuk dan memeluk daku
Dari nyala api rindu

Sunday, September 02, 2007

aku menilik kalendar. rupanya sudah 1 september 2007. semalam merdekake?

Saturday, August 25, 2007

Bukan mahu mencorak mimpi. Mencagar impian. Merenung masa depan atau masa lalu. Tidak semestinya semua itu hadir dalam hiruk-pikuk dunia atau apa sahaja yang datang menyelimuti ruang-ruang batini. Waima betapa hebatnya gelora sukma. Terbang melayang mengikut arah pawana, paksina maupun daksina. Ilusi dan realiti, dunia bawah sedar. Saling bersambung…..kemudiannya….

Thursday, August 23, 2007

Buku Nota

Sebuah buku nota. Tertulis beberapa aksara. Tempat memutus sepi. Kala malam gelap dan terang siang. Juga terangkum sejuta puisi. Rasa yang canggung. Berpusar dilubuk nyali. Apa itu? Secangkir kopi, sepinggan nasi goreng kampung, semangkuk salad mayonis. Rona yang mengisi tembolok. Duduk di atas bangku konsumer sesat. Bersebelah perempuan berambut koyang. Menyambut dengan senyuman goda. Catatan nota hari ini. Sepanggung di laman metro. Wayang gambar. Cerita tembak-tembak. Dicatat lagi. Hujan lebat di luar. Angin bertiup kencang. Tanah jadi lecah. Terperangkap. Mujur disisi ada buku nota. Dan perempuan berambut koyang.

Wednesday, August 15, 2007

Kemalangan


TAIPING: Dua puluh orang termasuk tiga pasangan suami isteri maut manakala sembilan lagi cedera apabila sebuah bas ekspres terbabas dan terhumban ke dalam parit di Kilometer 229.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Bukit Gantang di sini, semalam.
Nahas jalan raya terburuk dalam sejarah negara itu sekali gus menimbulkan semula persoalan berhubung isu pemandu yang mempunyai kesalahan trafik berulang, tetapi masih ‘bebas’ memandu kenderaan awam.

i Balasungkawa buat keluarga mangsa tragedi kemalangan maut bas ekspres pada dinahari 13 ogos lalu. Biarpun apapun polemik yang timbul ekoran kemalangan tersebut, kuasa takdir melebihi dari segala apa yang kita fikirkan. 20 mangsa tersebut telah dipanggil Tuhan. Tuhan yang mereka dan kita percaya tidak kira apa jua agama yang dianuti. Hingga kini kesalahan mahu di cari. pemandu bas yang punya saman trafik dan waran tangkap (juga salah seorang dari 20 mangsa yang terkorban), atau kelemahan pihak berkuasa, atau kegagalan syarikat bas itu sendiri. Yang pastinya kemalangan adalah lumrah di jalanraya waima betapa canggihnya sistem aliran transit kita. Ibarat kubur yang bergerak tanpa nesan. Kemalangan akan terus berlaku, terutamanya apabila tiba musim-musim perayaan, semacam sudah jadi virus yang bersarang di dalam tubuh pengguna jalanraya. Tragedi ini pasti bukan yang terakhir. virus ini pasti kan menyerang lagi, cuma masanya yang tiada dalam jadual perjalanan kita. Kemalangan adalah kerja takdir. Bila ia datang kita tidak dapat mengelakkannya kendati betapa bersopan santunnya kita dijalanraya. Tapi dengan kewaspadaan kita boleh mengurangkan risiko kemalangan terutamanya yang mengakibatkan kematian.

ii Aku kemalangan pagi semalam waktu ke kantor. Alhamdulillah tuhan masih sayangkan aku, untuk aku mengkoreksi diri, melihat jauh-jauh kesukma betapa saban waktu diri ini berkelintar dengan dosa-dosa, dan mahu hamba yang hina-dina ini menadah tangan kelangit memohon segunung ampun. Doktor bagi cuti dua hari. Dua hari untuk menginsafi diri. Dua hari untuk muhasabah diri. Syukur Tuhan aku masih diberi peluang oleh-Mu. Mengecap nikmat nafas yang diberi-Mu.

Sunday, August 12, 2007

The Simpsons


niat mahu berkira-kira cari dvd untuk mengisi kekosongan anjung minggu ini. namun kepanggung juga aku. lebih puas rasanya menonton di layar lebar. aku mencari filem yang senang dihadam, tak pening kepala, tak ada dialog-dialog bombastik dan tak ada cgi melampau2 dan bla bla bla etc. aku mahu menonton simpsons. aku rasa dah lama kartun ini masuk panggung. namun hari ini baru aku berpeluang menontonnya.
kisah keluarga simpsons (bukan samsons!). homer, marge, bart, lisa, dan meggie serta seputar kehidupan penduduk di springfield. kisah bermula apabila homer menjadikan seekor babi sebagai haiwan peliharaannya dan tindakannya membuang najis babi ke dalam tasik takkala orang ramai dilarang mencemarkan tasik tersebut mengundang petaka yang dahsyat. springfield di kuarantin pihak berkuasa di dalam kubah kaca, dan dari sini terpampang betapa jeliknya politisi menggunakan isu ini untuk kepentingan sendiri. bagi menebus kesalahannya, homer perlu menyelamatkan springfield daripada bencana yang dibuatnya sendiri.
nyatanya kisah ini buat aku letih. bukan sebab durasinya atau plotnya. tapi aku letih sebab dari awal montaj 20 century fox hingga ke penghujung cerita aku ketawa terbahak-bahak. simpson adalah satira yang menghiburkan waima tidak selancang south park. takkala banyak filem animasi di 3dkan, simpsons datang dengan gaya klasik dan ia nyata berjaya.

Tuesday, August 07, 2007

Derita Dalia

Dalia Hussein hanya seorang kanak-kanak tipikal di selatan lubnan. Usianya baru menyergah tujuh 6 tahun. Cerdik budaknya. Jika di Malaysia, anak kecil ini mungkin sedang seronok menikmati kehidupan alam kanak2nya. Ke sekolah, ke taman, mungkin juga punya harapan menggunung untuk masuk universiti atau jadi atlit sukan. Malangnya lubnan tidak seperti kita di sini, dan bom israel tidak pernah menanya berapa usia anak ini. tiada siren amaran. Bom tetap dengan sifatnya. Merobek setiap jiwa yang tidak bersalah. Syukur Dalia masih hidup. Syukur jurugambar media, Mahmud Zayat mendapati Dalia masih bernafas di rumah sakit. “Dia dibaringkan di atas pengusung. Kain yang menutup seluruh tubuhnya kelihatan bergerak lemah. Dia masih bernafas,” katanya sambil mengingati kejadian itu. “Saya mengambil gambar dan memanggil doktor, untuk memberitahu Dalia masih hidup.”
Kini sudah hampir setahun tragedi itu berlaku. Bangun dari kematian bukan mimpi muluk untuk dikenang. Dalia kembali kerumahnya di perkampungan kecil Bazuriya setelah menerima rawatan berterusan di Itali. 6 pembedahan dilalui dalia di bergamo itali, namun dalia tidak sembuh sepenuhnya. Dalia cacat, dan kecacatan itu mungkin kekal sepanjang hayat. Syukur Dalia masih sedar dan boleh mengenali ibu bapanya, kakak dan abang kembar yang kini berusia 13 tahun.
Dalia cuma secebis kisah malang kekejaman israel. Tangisan ini bukan cerita baru. Ia cerita lama yang entah bila akan berakhir. Dan adik kecil Dalia bukan insan terakhir yang menjadi mangsa peluru dan bom israel berhati batu.
Mengenang Dalia Hussein terasa runtun perasaan ini, sebak dada ini. Mungkinkah kita di sini begitu jua.

Sunday, August 05, 2007

Aku Ini Binatang Jalang

Aku!
Kalau sampai waktuku
Kumau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau
Tak perlu sedu sedan itu
Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang
Luka dan bisa kubawa berlari
berlari
Hingga hilang pedih peri
Dan aku akan lebih tidak peduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi.

Chairil Anwar

Sisi Sebuah Perjuangan

Titis perjuangan yang bergulir desingan mesiu
Lalu gegak gempita alam menyulam langit hitam dan merah darah
Bertahun-tahun bersandar di bangku kebenaran
Maka apa yang bisa dipertahankan
Atau dalam rela melepaskan
Sedang tirani mengenggam nyali
Dan muncung benet hampir menusuk halkum

Apalah lagi yang tinggal
Dalam kesia-siaan ini
Di bawah langit nirmala
Tanpa gusar
Di sisi perjuangan
Tanpa noktah
Menyeru sukma merdeka

Friday, August 03, 2007

Camar

sekawan camar terbang memegang tirai-tirai awan gemawan. bergentayangan di bumbung langit. hinggap di balik suria terang. berkibar sayapnya mencumbui kebebasan. kebebasan yang bukan palsu. bukan simbol jentaka. merahmati setiap pawana yang membawa mereka terbang. mengikut musim renta. tanpa gusar. tanpa amarah. cuma waspada.

Wednesday, August 01, 2007

10 Steps to Becoming a Better Writer

  1. Write.
  2. Write more.
  3. Write even more.
  4. Write even more than that.
  5. Write when you don’t want to.
  6. Write when you do.
  7. Write when you have something to say.
  8. Write when you don’t.
  9. Write every day.
  10. Keep writing.

by Brian Clark

P/S: Perkara yang paling susah bagi seorang penulis ialah untuk mula menulis. Jadi mulalah menulis. Tulislah apa juapun. Ilham datang dari tuhan dan ia milik mutlak tuhan. Mohonlah dari-Nya tanpa ragu. Ilham yang baik-baik datang dari Yang Esa. Jangan putus untuk menulis..


Sunday, July 29, 2007

Haru-Biru

Bosan membawa aku ke TGV. Mencari dan memilih filem-filem yang mahu ditonton. Akhirnya aku memilih haru-biru.
Memang filem ini haru-biru. Mainan kamera yang amatur, kelam, murung, goyang sana goyang sini. macam filem murah tak cukup bajet. Gambar pula ala-ala filem-filem awal 80-an, taxi driver, raging bull, azura, ali setan etc. Rasa aku kualiti drama swasta tv seribu kali bagus dari ini. Ah! nama filempun dah haru-biru.
Cuma aku rasa filem jujur. watak-wataknya cuma orang-orang biasa seputar kehidupan kita. Dan cerita melayu ini juga dah pandai sebut f**k.!!!Waima perkataan itu dipotong (alah macamlah penonton ni dungu) waktu adegen si ariana sedang marah dengan kid 'kau cuma nak f**k aku, f**k dia dan f**k semua orang. Lagi satu aku suka lakonan que sebagai kid, mat dadah yang haru-biru, intonasi suara laloknya memang menjadi.
Haru-biru memaparkan sisi gelap kehidupan remaja metrokota; dadah, arak dan seks, mencipta syurga kosmetik. Siapa mahu jadi malaikat ditengah syaitan dan nafsu merajalela?.

p/s: aku haru-biru dengan minah belakang aku tadi. mengomel bosan itu, bosan ini. macam badut kuning dalam iklan digitu. kalau tak suka blahlah!!!pegi tengok budak magik naik penyapu terbang atau robot tukar-tukar.

Sungguh

Kalau dahulu aku bersungguh mungkin keadaan tidak seperti sekarang. Rasa sesalpun ada.Tapi apa hendak buat. Perkara lama jangan diungkit lagi. Mulai sekarang kena bersungguh. Peluang kadangtu datang sekali. Tak mahu main-main lagi. Kejar sampai dapat. Itupun kalau tak mahu sesal lagi.

Sunday, July 22, 2007

Diet?

Mahu diet? Aku? nak diet? Seksa diet ni? itu tak boleh, ini tak boleh. Bolehkah kita sihat tanpa berdiet? susah jawapan tu?

Tuesday, July 10, 2007

Dalam usia ini

27 tahun rupanya
Menumpang hidup di bumi tuhan
Betapa pantas masa berlalu
Meninggalkan ingatan silam
yang berbalam-balam warnanya
Masa lalu yang bukan legasi
Tapi kasih cinta
Yang terukir di atas sahmura indah
Penuh renjana
Mencari hakikatnya maknawi
Dalam isthikarah yang panjang
Agar tidak lemas
Ke dasar lautan nafsu yang merenggus panjang

27 tahun perjalanan
Mencari redho Yang Esa
Dalam setiap rengkuhan nafas
Yang berombak mengikut alunan fitrah
Muda sebelum tua
Sihat sebelum sakit
Kaya sebelum papa
Hidup sebelum mati
Lapang sebelum sempit

Berilah kesempatan dalam usia ini
Untuk terus berada dalam lingkungan rahmat-Mu
Yang dikucup dari sumur kasmaran

Wahai Tuhan yang maha pengasih
Wahai Tuhan yang maha penyayang

Dalam Kesempatan Ini

Dalam kejauhan ini
Selama disebut kata sumpah dan setia
Dan demi keindahan ini
Yang tercabut satu-persatu
Dari pasak yang memegang nubari

Berilah kesempatan untuk melihat
Tidak dalam lara yang pusang
Berilah kesempatan untuk menafsir
Setiap juzuk-juzuk yang mujarad
Berilah kesempatan untuk merasa
Liang-liuk ilalang dipukul pawana

Mengertilah
Dalam setiap helaian nafas ini
Mengertilah
Hidup bukan sekadar mimpi

Sunday, July 08, 2007

Nyanyian Syahadah

Berlagunya syahadah
Membuhul di sukma

Merekah di bibir

Bertaut di kolam kasih cinta

Sujud tafakur ini

Waktu renta malam

Membawa sepi jadi satu

Nyanyian syahadahku
Dalam teleku qiamulaili ini
Betapa metah jiwaku
Rapuhnya sukmaku
Mengadap-Mu
Mendakap pelukan rindu-Mu
Waktu aku Tersangkut
Dalam jaring berahi dunia
Tak terlawan olehku

Tuhan
Syahadah yang ku pegang ini
Tanda saksiku
Tanpa waham
Waima tujuh petala langit
Tujuh petala bumi
Jatuh menimpa aku
Kesaksian ku ini tiada duanya

Monday, July 02, 2007

Alasan

Aku sudah lali dengan alasan-alasan yang diberikan oleh penghutang-penghutang ini bila tiba masa untuk menjelaskan hutangnya. Ini adalah beberapa alasan yang biasa aku dengar:-

1. gaji tak masuk lagi
2. 'payment' tak dapat lagi @ tengah tunggu 'payment'. bisnes teruk sekarang ni
3. cek tak 'clear' lagi. baru 'bank in' tadi
4. cek dah 'prepare' tinggal tunggu 'signature' bos
5. dah masuk cek pagi@petang@malam tadi (bila minta faxkan resit tak pernahnya ada)
6. sekarang 'out station'. 'next week' baru balik
7. 'payment' husband @ wife yang buat
8. duit sikit lagi tak cukup. bayar separuh bolehke?
9. tadi dah pegi bank tapi mesin ATM rosak
10. alah! baru 2 bulan tertunggakpun nak 'call' ke!!!
11. 'due date i' lambat apa yang u kecoh sangat ni!!!
12. 'last month i' dah bayar 2 bulan apsal bulan ni u minta lagi!! (tak sedar diri sebelum ni akaun dah masuk 3 bulan)
13. ok-ok sekejap lagi i datang branch u buat 'payment'. bank tutup pukul berapa? (sampai bank nak tutup haram tak nampak muka)

kadangkala geram pun ada. tapi dalam kegeraman ini aku tersenyum sinis. macam-macam kerektor manusia hari ini. tambah lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang tak menentu. aku faham bukan semua orang hidup senang. ada yang bertungkus-lumus mencari rezki buat menyambung nafas. namun ada juga segolongan manusia yang hidup senang atas kesusahan orang lain. kapitalis yang mencengkam, budaya konsumer yang membarah, strata sosial yang tidak seimbang. kerja aku saban purnama berhadapan dengan kerenah-karenah manusia ini yang pelbagai rencam. kadangkala dimaki dan dihamburkan dengan kata-kata kesat. aku tak salahkan mereka. mungkin mereka tertekan, dan kadangkala tekanan boleh buat mereka, bahkan aku juga hilang kesabaran. namun ini kerja aku. dibayar gaji untuk meladeni penghutang-penghutang ini. biarlah mereka marah. luahkan segalanya. aku tak pernah maki atau marah mereka-mereka ini. api tak boleh dilawan dengan minyak petrol. api boleh padam dengan air atau pasir.

Gelora

Gemerincing suara
Dengusan sukma
Berpusar di laman nyali
Keringat yang tumpah
Pada tampang jidatnya

Keriuhan bersiponggang
Berkocak kesalan
Keharuan menatang mendung
Dari seberkas lukalara yang pijar

Gelora ini menikam jantung
Bertemali mengikat mimpi
Dan jaga tak keruan
Pada bisikan yang lirih
Agar doaku terapung kelangit tuhan
Menitip maksud maknawi

p/s: disini aku paparkan semula puisi yang pernah muncul dalam entri blog ini pada januari lalu. puisi ini juga pertama kalinya telah tersiar dalam dewan sastera edisi julai 2007 mukasurat 73.

Sunday, July 01, 2007

Letih

Minggu-minggu terakhir bulan jun ni badan letih sangat, kepala pening dan pelbagai perkara perlu di langsaikan seberapa segera.

Pertama. Tahun kewangan syarikat berakhir 30 jun 2006. Waktu-waktu ini ofis sudah macam bursa saham. Masing-masing sebuk. Marketing staff sebuk cari bisnes, prossessing staff sebuk dengan kes-kes yang perlu diproses segera. Tim aku pula tengah kejar peminjam-peminjam yang masih liat nak buat pembayaran bulanan kereta. Setiap tim ada bajetnya sendiri. Dan setiap bajet perlu dicapai kalau mahu KPI yang bagus. Kalau KPI tinggi adalah harapan dapat bonus dua atau tiga bulan. Kalau cukup-cukup makan, dengan kondisi ekonomi sekarang, entah-entah tiada langsung.

Kedua. Kesebukan kadangkala buat kita lupa. Lupa untuk memandang dunia seputar kita. Lupa dengan masa yang sentiasa berlalu meninggalkan diri kita.

Ketiga. Aku bermohon pada Allah agar dalam setiap kesebukan duniawi yang aku tempuh saban hari tidak melalaikan aku untuk sujud padaNya. Amin….

Tuesday, June 26, 2007

Can a family man with Salary RM3,000 survive in Malaysia

Let's do some simple calculations here.In Malaysia , the average family income is RM3,000 /month (where father works, mother doesn't). I understand there are many families whose monthly income does not reach RM3,000, but, to make things simple, let's take RM3,000 as the figure. Ok lah, right? Okay, let's start rolling with a family which has Papa, Mama, 1 daughter and 1 son. Ngam-ngam ....

Calculation starts...

> > > Electricity and water bill: RM100 (No air-con, No home theatre, No water heater ... ok?)

> > > Phone bill ( Telekom): RM100

> > > Meals for a happy family: RM775 (3 meals on RM25/day, RM25 for 4 persons...?)

> > > Papa makan / teh-tarik during working hrs: RM155 (RM5/day, RM5 ... can eat what?)

> > > Car repayment: RM400 (A proton saga aeroback, 7 yrs repayment)

> > > Petrol (living in city, traffic-jam): RM300 (go to work, bring son to school, only can afford one car running)

> > > Insurance: RM650 (kids, wife and myself)

> > > House repayment: RM750(low cost housing repayment for 30 yrs, retired still have to work to pay!)

> > > Tuition: RM80 (got that cheap meh? i don't think so)

> > > Older children pocket money @ school: RM20 (RM1/day, eat bread?)

> > > School fees: RM30 (enough ah?)

> > > School books and etc: RM100 (always got extra to pay in school)

> > > Younger children milk powder: RM50 (cannot have the DHA, BHA, PHA one, expensive)

> > > Miscellaneous: RM100 (shampoo, rice, sauce, toilet paper)

Oh wait!!! I have to stop here, so...

No Astro, no movie @ cinema, no DVD, no CD, no online, cannot KFC, cannot McDonald, cannot go Park walk during weekend (petrol expensive), no chit chat on phone with grandparents, and etc...
Let's use a calculator to total up... WALAO EH! Shit! RM3,610 already...EPF belum potong, income tax lagi........oledi RM3,610 ...
How to survive lah tuan-tuan dan puan-puan sekalian ??? Our Deputy Prime Minister asked us to change lifestyle? How to change? Don't eat? Don't work? Don't send children to school and study? Besides that, I believe in Malaysia population, there are millions of rakyat Malaysia which still don't earn RM3,000/month!!! What is this? Inilah Malaysia Boleh... Sorry... it should be Malaysians Boleh , because we're still alive and kicking!!

Our politicians must be mad!!!!

Monday, June 25, 2007

Aku Sudah Lama Menjadi Manusia

Di hadapanku sejuta luka tak terbebat
Selalu menangis
Di atas kerusi rehat bangsa manusia
Racau dan angkuh

Ya aku sudah lama menjadi manusia
Yang selalu dibujuk rayu
Penuh syahwat dan kasmaran
Sedang si tukang karut bercerita
Tentang manusia menjadi kera
atau sebaliknya
Fragmen hodoh dungu

Ya aku sudah lama menjadi manusia
Tempang jiwanya
Di kulit bumi
Hilangnya manusiawi
Sambil menggalas mesiu di bahu zaman

Masa Lalu dan Masa Depan

Dalam keengganannya untuk beranjak, sebagian orang terseret-seret menuju masa depan.
Dalam sakitnya keputusasaan, sebagian orang mencari-cari masa lalu di dalam masa depan.
Dalam pelariannya menuju masa depan, sebagian orang dihantui oleh masa lalunya.

Saturday, June 16, 2007

2 buah filem untuk hujung minggu

Tiada filem-filem yang menarik untuk aku tonton dipanggung pada cuti anjung minggu ini. Kali terakhir aku menonton ialah filem ocean 13 pada cuti isnin lepas. Dan semalam seusai waktu pejabat aku ke summit USJ. Jumpa lanun-lanun cetak rompak (you’re my friend dude) kat situ. Memilih beberapa filem yang memang bermain di kepalaku.

i. The fountain

Ini sebuah filem dalam genre fantasi. Tapi buangkan sisi fantasi dalam filem ini. The fountain mengenai kisah seorang doktor, dr creo yang tanpa jemu mencari penawar kanser untuk isterinya yang tercinta, Isabel, kisah sang penakluk tomas dalam eksplorasi mencari pohon keabadian dan kisah seorang angkasawan, tom, yang merantau, juga mencari keabadian di sebuah bintang yang hampir musnah. Memahami rahsia di sebalik ‘the fountain’ bukanlah satu yang aula. Lupakan segala magis, untuk kita fahami di sini ialah tiada apa yang abadi di alam ini. Segalanya fana dan sementara. Yang penting adalah untuk menghargai setiap hirup nafas kehidupan , bersama insan yang kita sayang. Seperti dr creo, yang tiada disaat Isabel memerlukannya di sisi, mengisi lompong2 kosong dalam saat akhir kehidupannya. Sekali lagi. kehidupan ini fana. Begitu juga dengan tomas dan tom. Mencari keabadian itu adalah sia2.

Nota kaki: hugh jackman memberi impak terbaik untuk filem ini, lebih emosi dan mengesankan dan kali ini tiada besi-besi tajam yang keluar dari kukunya. Rachel weisz, wajah cantik wanita inggeris. Cantik. Cantik sudah cukup buat aku suka.

ii. Hot Fuzz

Filem British. Jauh dari LA, New York dan Vegas. Loghat inggerisnya yang pekat, topi polisnya yang bujur klasik, dan pelik. Pelik? Filem ini pelik aka komedi, gelap, mengarut dan provokatif. Nicholas angel, seorang konstabel polis di kota London yang komited, didikasi, punya rekod cemerlang namun ia membawa masalah kepadanya. Alasannya angel ‘is a lone overachiever’. Dan disebabkan angel terlampau bagus di london, langsung dihandar ke sebuah pekan kecil bernama Sandford di barat London. Sebuah mandala yang sempurna, dan selamat, dan lebih 20 tahun tiada jenayah berat yang berlaku di sini. Lantaran itu Sandford sentiasa di nobatkan sebagai pekan terbaik di England. Suasana ini membuat angel bagaikan tidak keruan lantaran kerjanya seharian memberkas penjenayah langsung tiada di sini. Kesnya yang paling pentingpun cuma mencari seekor itik angsa yang hilang. Keadaan ini berubah pada satu hari apabila berlakunya pembunuhan 2 orang pelakon teater yang dipenggal kepalanya, namun kejadian itu cuma di anggap sebagai kemalangan. Kemudian berlaku 3 lagi pembunuhan. Seorang hartawan, seorang wartawan tempatan dan seorang pengusaha kedai bunga. Dan sekali lagi ia cuma di anggap sebagai kemalangan. Bagi angel segala pembunuhan itu seperti sudah dirancang. Dan angel cuba merungkai misteri setiap pembunuhan yang berlaku. Akhirnya angel menemui jawapannya. Dalangnya ialah NWA (persis jawatankuasa kampong di sini) diketuai oleh ketua polisnya sendiri, hasil kerja konspirasi yang aneh. Apa alasan NWA. Semua mangsa yang di bunuh punya tabiat yang menjengkelkan, dan ini buat peluang sandford untuk sekali lagi menjadi pekan yang terbaik dan sempurna akan tidak kesampaian. 2 pelakon teater di bunuh atas alasan pementasan teater romeo dan Juliet yang buruk(orang2 tua di sandford penggemar shakespears), hartawan di bunuh akibat tabiatnya yang kaki botol dan wartawan yang di bunuh akibat terlalu banyak gossip dan kesilapan umur (54 tahun ditulis 53 tahun) sepasang penduduk setempat dalam pojoknya.

Hot Fuzz memang kelakar dan ada beberapa adegan cult, kepala putus dan hancur, tubuh berkecai, darah bersembur merata tempat. lama tak tengok cerita komedi pelik macam ini selepas borat. borat tak lepas masuk Malaysia, Hot fuzz?


Tuesday, June 12, 2007

Tudung dan imam???

Semalam Dalam YM seseorang telah bertanya kepada saya... penting sangat ke memilih pemimpin yang bertudung... Terkedu juga dibuatnya sekejap hehe. Bukankah bukan semua yang bertudung itu baik dan bukan semua yang tak bertudung itu jahat... Terus tersentak!!!
Terus ana tanyakan dia sesuatu... Sekarang saudari ingin bersolat di surau KLCC ( kenapa surau KLCC... sebab di situ tgk ramai juga yg berseluar jeans dan tak bertudung tapi tetap solat. Syukur bagus. )
Saudari tidak mahu menjadi imam dan pilihan dihadapan saudari 2 orang, seorang berpakaian baju kurung lengkap bertudung dan seorang berseluar jeans ketat dan tidak memakai tudung??? Apa pilihan saudari!!!
Mastilah yang memakai tudung. Saudara ni takkan itupun nak ditanya!!! Ana terus bertanya kenapa memilih yang memakai tudung??? Dijawabnya... Kan itu perkara ibadat kita pilihlah yang terbaikkkkk... Terus ana menyampuk... Dah memilih pemimpin tu bukan ibadat ke??? Solat je ibadat??? Kalau begitulah pahaman saudari, itu bahaya boleh membawa kepada syirik... ana direct je hehehe.
Lalu ditanya lagi oleh saudari ni... Kenapa plak syirik??? Kan ke Agama kita ni lengkap... Merangkumi semua di dalamnya. Tak kira apa, semuanya diajar dalam Al-Quran... ekonominya, nikah kawinnya... politik kepimpinannya. Bila kita mengatakan ibadat hanya perkara pokok, seperti solat dan haji tak secara langsung kita telahpun menafikan kesempurnaan Islam sebagai petunjuk jalan kehidupan lantas menafikan kesyumulan Islam. Tak ke syirik tu???
Oh camtu... jadi semua ada diterangkan dalam Al-Quran yer!!!. Ya Ana jawab. Cuma kita je semakin hari semakin menjauhkan diri dari Al-Quran. Satu yang ana hairan hari ni, kita berebut2 untuk beramal Islam dalam masalah muamalat... maka timbulah pelbagai istilah... Bank Islam, Takaful... Bahkan adanya Konsert Islam Rock Islam. Ada ke Rock Islam ye??? Macam-macam!!!
Kita juga kekal dalam masalah Munakahat... nikah kawin. Semua memilih cara Islam... rujuk cerai nikah semua tetap mengikut Islam... tapi kita lupa dengan Jinayat dalam Islam... Jinayat tu apa plak yer??? Terus dia tanya ana... Jinayat tu berkaitan hukum hakam jenayah... Hududnya, Qisasnya Takzirnya... Mulalah kita mencemik... dengan hukum hakam seperti ini... Konon hukum ketinggalan zaman??? Ketinggalan zamankah hukum ketetapan Ilahi yang mengetahui segalanya tentang kehidupan kita di bumi ini!!! >Kita hanya akur dengan Nikah kawin dalam Islam dan Muamalat sahaja... Tapi kita sukar menerima Jinayat Islam. Kenapa???
Pilihan di tangan saudari............ Maybe pahaman ana salah. Sila perbetulkan! !! Thank kerana sudi berYM.

-dipetik dari tranungkite online-

Monday, June 11, 2007

2 pagi

teman rumah 1: pukul 2 pagi ni apsal tak tido lagi ni. selalu time gini dah padam dah.

aku: gua cuti esok bro. amik annual leave. cuti gua banyak lagi.

teman rumah 2: moh turun mapler?

teman rumah 3: hoi! tutup le kalimantang tu. gua ade stock count esok!!!!

Sunday, June 10, 2007

Mimpi yang serupa
Dalam setiap dengkur
Saban malam
Adalah igau
Tanpa suara
Dan tidur
Tanpa lena

Sunday, June 03, 2007

Islam kini telah berkembang

"ISLAM kini menjadi agama paling popular di dunia, kata Hashem al-Attas, seorang penyelidik di Dar al-Mustafa bagi Pendidikan Islam Tradisional, di Yaman."
“Banyak kajian menunjukkan Islam berkembang lebih cepat berbanding agama lain,” katanya pada satu persidangan mengenai perkembangan pesat Islam di Barat.

Pada saat islam dan penganutnya menjadi momokan oleh barat, Allah sama sekali tidak menjauhkan-Nya dari manusia. Agama ini dijaga Tuhan. Biar apapun tribulasi yang acapkali bersilih ganti. Islam bukan Muhammad. Islam ialah ajaran suci yang dibawa oleh Muhammad melalui saluran wahyu. Islam bukan ancaman. Tidak timur mahupun barat. Islam itu 'rahmatul lil alamin'. Itu janji Tuhan. Peganglah kamu dengan tali Allah dan kamu sama sekali tidakkan sesat. Umat barat mulai sedar sedikit demi sedikit tentang kesyumulan Islam namun malangnya umat Islam di negaranya sendiri masih berantakan sesama sendiri. Tiada cara lain selain kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Lupakan segala perbezaan mazhab dan fikrah. Selagi syahadah kita satu, kita tetap umat Muhammad.

Thursday, May 31, 2007

Azlina Tetap Murtad, Apa Bezanya

"Persidangan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya yang bermula pada pukul 11 pagi, hari ini (30 Mei 2007) yang dihadiri oleh 3 orang Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tun Dato' Sri Ahmad Fairuz bin Dato' Sheikh Abdul Halim, Dato' Alauddin bin Dato' Mohd. Sheriff dan Dato' Richard Malanjum telah memutuskan untuk menolak rayuan Azlina Jailani @ Lina Joy untuk membuang perkataan Islam di dalam kad pengenalannya dan sekaligus tidak mengiktiraf kemurtadannya."
Keputusan telah didengar dan ramai yang melahirkan rasa syukur. Namun pada hakikatnya Azlina tetap murtad waima rayuannya untuk membuang perkataan islam dalam kad pengenalannya dihalang. Lihatlah betapa tenatnya umat Islam di negara kita. Lina Joy adalah salah satu contoh. Yang di luar sana kita tidak tahu. Anak-anak melayu Islam kita yang telah hanyut di bawa arus hedonistik. Bukan setakat murtad dari Islam bahkan telah membuang terus agama dalam kehidupan.
Kita tidak harus selesa dengan keputusan ini. Wahai pemimpin-pemimpin melayu Islam, apa harus kita buat?


Sunday, May 27, 2007

Prosa

Yang bernama prosa
Adalah catatan
Tanpa kata-kata muluk
Atau ruwet untuk dimengerti
Prosa yang indah
Di atas kertas
Coretan cerita
Tanpa kias
Segalanya telus
Dan bebas

Saturday, May 26, 2007

Kering ii

Cuaca panas bangat. Baru semalam hujan lebat sekejap, lepas tu panas balik. Cuaca kering, sama keringnya dengan poket aku(padahal tak sampai seminggu dapat gaji).

Thursday, May 24, 2007

Kering

suhu kotaraya mencecah 40c. bersangatan bahang panasnya. tambahan lagi waktu sore. kalau berjemur waktu2 ini pasti terbakar rasanya ubun-ubun kepala. kenapa cuaca panas bangat? Betulkah yang diperkatakan al-gore dalam inconvenient truth yang suhu dunia dewasa ini sudah tak ketahuan?

Monday, May 21, 2007

Lembah Sengsara

Di lembah sengsara ini
Berpalit dosa-dosa hitam
Yang meracuni bangsa bertahun lama
Dengan khayal yang fana
Maka jadilah hidup ini kegelapan
Generasi yang mati
Tamadun yang rapuh
Usia yang tersisih

Engkau musuh Negara
Engkau perosak bangsa
Engkau pembunuh cita-cita
Engkau mimpi jahat anak-anak manusia
Yang jadi mangsa fatamorgana

Ingatlah
Dadah itu meracuni manusia
Heroin, morfin, marijuana, candu, estacsy
Waima apa jua namanya
Melorong kita ke neraka
Membawa derita yang berangkai zaman-berzaman

Sayangilah diri
Dengan bunga-bunga keazaman
Bersama-sama awan berarak damai
Kehidupan yang merentasi nyali kemanusiaan

Tanpa dadah
Kita telusuri cita-cita Negara
Tanpa dadah
Kita bina bangsa perkasa

Sunday, May 20, 2007

Miss Potter

Miss potter. Bukan salah satu daripada siri-siri filem francise harry potter. Miss potter adalah filem tentang Beatrix potter, seorang penulis buku kanak-kanak tersohor. Filem ini jauh dari nuansa filem-filem tipikal Hollywood yang penuh dengan adegan ganas, seks bebas dan hedonistik, namun digantikan dengan keindahan lanskap tanah England dan sopan-santun bahasa dan gerak laku budaya inggeris.(hinggakan Beatrix dan cintanya Norman Warne memanggil sesama mereka Mr dan Miss)

Sewaktu buku pertamanya the tale of peter rabbit menyergah toko-toko, Beatrix (diperankan ole Renee Zellweger) mulai menempa nama. Dan dari situ dia menemui cinta pertamanya pada usia 31 tahun dengan Noman warne(diperankan oleh ewan mcgregor) yang juga penerbit bukunya. Sehinggalah tragedi yang menimpa kekasihnya norman warne yang akhirnya membawa kepada kematian. Beatrix berubah wajah kemudiannya, menjadi lebih kuat dan independen. Kekosongan buat dia mengasingkan diri daripada elit menengah kota London yang penuh protokol. Kembaranya membawa ke kawasan estet yang indah di lake district. Beatrix membina dinasti disitu, membeli tanah dan dihadiahkan semula untuk para petani, juga pada alam agar sentiasa kekal di situ tanpa ada tangan-tangan kapitalis yang mahu memungut untung.

Miss Porter sebuah filem yang bagus untuk mereka yang mahu lari dari adegan letup-meletup, kejar mengejar protagonis antagonis, ayat-ayat carut empat huruf, seks rambang dan propaganda timur barat hollywood. Filem ini buat kita releks. Tak perlu perah kepala. Just sitting, watching and feeling it.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...