Sunday, May 06, 2007

Pulang

i.
Semalam aku kembali ke Shah Alam, dan esok bermulanya rutin aku semula. Sambil mencongak berapa lama lagi masa yang akan kuhabiskan di kota metro ini. Di lembah yang sekian ramai manusia yang mencongak berapa lama lagi 'aku' boleh jadi kaya, atau yang sudah kaya, apa lagi yang tidak cukup untuk mengisi tembolok, hingga perut memboyot, mentekedarah apa sahaja tanpa berkira-kira seputar halal-haram
ii.
Sudah besar budak-budak ni, anak-anak buah aku. Naim, Shahid dah naik tahun 2, Idah nak UPSR tahun ni, Anis, Udin dah mula bangun awal (kadangtu lebih awal dari aku) bersiaga ke sekolah, Farah tahun depan nak SPM, Asma ke kuantan sambung belajar pasca SPM. Terasa pantas masa berlalu. Dari si kecil bocah hingga kini sudah besar panjang, juga sedang mencongak masa depan yang mahu dicanai.
iii.
Mak. Mak sudah tua benar. Sudah renta dimamah usia. Namun kudratnya masih tegar. Jemari-jemarinya tetap ligat di dapur dan di depan laman, menerang rumput untuk menyemai biji-biji cabai, masih kuat mendukung cucu bungsunya Lukman yang baru berusia beberapa bulan itu. Benar mak sudah tua. Namun kasih sayangnya takkan sama sekali dimakamkan dek usianya. Masih sebuk siapkan tempat tidur anak-anaknya waima semuanya sudah besar panjang dan sudah beranak-pinak. Benar mak sudah tua, namun penatnya tak pernah lelah.
iv.
Hari ibu sudah mampir. Namun tiada istilah hari Ibu untuk aku. Ibu bukan dihargai untuk satu hari. Ibu dihargai dalam setiap helai nafas yang kita hirup, dan dalam setiap bait-bait doa yang kita baca selepas solat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...