Friday, June 27, 2008

1 juta

ganjaran RM 1 juta buat atlet yang memenangi emas di olimpik. ditambah dengan duit pencen yang dinaikkan dari RM 3000 menjadi RM 5000.
noktah
rasional atau tidak? cuba tanya pada mak cik kiah yang jual nasi lemak di plaza pekeliling.
noktah
di luar trafik mecet menghala ke metrokota kuala lumpur. Manusia berpusu-pusu mencari rezeki buat penyambung nafas. di udara karbon monoksida terapung-apung di bawa pawana.

Wednesday, June 25, 2008

Saat itu nanti

ku katakan kepadamu
dari gemersik suara mentafsir
dalam kerinduan yang mengbungkam
menatapi sisi kasihku
dari tutur pertama
mengucap bait cinta

menyanyilah beburung
hinggap dari tudung imanmu
desah angin menitip akrab suria pagi
ku katakan padamu
saat itu nanti
pasti terlukis seribu warna

Monday, June 23, 2008

'Dia' menjadi insan yang amat sebuk sejak akhir-akhir ini. Memilih warna dan tema. Vintaj atau moden. Segalanya aku serahkan pada kebijaksanaannya. Kekadang tingkahnya buatku tersenyum. Betapa 'dia' gembira menanti saat itu nanti. Dan aku ikut serta tersenyum.

Thursday, June 19, 2008

Improvisasi

Di kantor suasana masih suram dan sunyi. Yang hingar cuma suara-suara kami yang seramai tujuh orang yang baru melapor diri ke sini. Masih belum ada bilik dan tugasan melainkan mengisi sejumlah borang yang perlu dihantar kepada bahagian khidmat pengurusan jabatan.

Noktah .

LHDN. Setiap graduan perakuanan pasti mengimpikan posisi sebagai pegawai gred 7 di sini. Mana mungkin peroleh gaji yang tinggi berbanding di jabatan-jabatan kerajaan yang lain. Hari ini di dalam suratkhabar nusa tersiar berita kemasukan seramai lebih 40 ribu orang calon ke IPTA. 40 ribu orang ini akan bergelumang dengan segala macam rencam alam universiti. Tempat memupuk daya tahan mental fizikal. Menggali seberapa banyak ilmu yang kelak bakal menyuluh masa depan. 5-6 tahun kemudian mereka akan keluar (atau mungkin juga keluar awal lantaran kandas di tengah jalan). Suasana ekonomi, sosial dan politik nusa kita mungkin akan berubah. Saat mencari kerja adalah saat yang paling ruwet sekali selepas bergelar graduan. Tidak cukup sekadar segulung ijazah yang digenggam. Di luar cabarannya lebih besar dan realis. Bukan utopia di bilik kuliah atau berlingkar dengan teori-teori kalkulus maupun keluk-keluk naik turun pasaran. Saingan kian luas dan empirikal. Dunia luar sana bergerak cukup pantas. Perlu ada nilai tambah lain.

Noktah

Laut fikir aku mengimbas 5 tahun sudah. Waktu kerja firma audit. Gaji RM600. Tinggal lembah klang. Alhamdulillah boleh bertahan. Dari situ aku menimba pengalaman. Sedikit-sedikit. Hingga saat ini. Memang perit jika mengimbau kembali waktu itu. Zaman-zaman susah dahulu. Kini aku tidak lagi menoleh kebelakang. Di depan masih ada lompong-lompong yang perlu di isi.

Noktah

Dunia kian berubah. Etos dan patos. Begitu jua isinya. Manusia seputar sedang mencari eskapisme sendiri. Sebahagian menjadi narsisis. Dan aku. Di atas sfera bumi. Cuma mencari damai hakiki.


Wednesday, June 18, 2008

pinjamkan aku nafasmu
untuk lengkapi diriku
dalam gita puja sang pencinta
kaulah hatiku
kaulah jantungku
menghapus segala sesal
sungguh
tak dapat ku bayangkan
hidup tanpamu

Tuesday, June 17, 2008

Hati

Memang benar Allah yang memiliki hati-hati manusia. Dia bisa membolak-balikkannya. Persis arus sungai yang mengalir tanpa ada yang menhempangnya. Sungguh ya Tuhan aku tidak persoalkan tentang hati yang menjadi milik-Mu itu. Kerana aku yakin masih ada siraman kasih sayang yang menyuburkan hati ini. hujan iman nantinya akan turun untuk menumbuhkan budi penyiram kasih ini. Tuhan. Hati-hati ini telah sama-sama bertaut diranting kasih-Mu. Perjalanannya kadangkala berliku-liku, namun Kau lebih mengetahui susurnya.

Saturday, June 14, 2008

selamat tinggal

Memang susah untuk menjangka apa yang terjadi dalam sisi-sisi kehidupan kita yang mendatang. Masa takkan berjeda waimapun sebentar. Ia akan terus berjalan. Berjalan menyelusuri setiap perjalanan hidup ini yang tak terhempang arusnya. Pastinya kita memilih untuk yang lebih baik dalam kehidupan kita dan yang baik-baik itu bukan selalunya datang.
Noktah.

Buat seantero warga Jabatan Pendidikan Jasmani dan Sukan, khusus buat unit kewangan. Tiada kata dapat ditutur di tubir bibir. Seloka-tawa yang menguntum buak-buak ceria, kadangkala juga nargis datang bertiup kencang. Namun itu yang menjadikan perjalanan kita di sini ada manisnya. Dan rasa manis ini akan sentiasa melekat dibibir aku selamanya. Masa akan terus berjalan. Jarum panjang dan pendek akan sentiasa berkejaran. Namun segala kenangan di sini akan sentiasa terkapuk kukuh di hati.
Noktah.

Friday, June 13, 2008

Sungguh kita alpa

Dalam satu serangan udara oleh tentera Israel di perkampungan Beit Lahiya di utara Semenanjung Gaza yang dikuasai pergerakan Hamas, tiga orang awam terbunuh manakala 40 yang lain cedera. Bangunan pula musnah. -Utusan 13/06/08
noktah
Sungguh kita alpa. Emas hitam buat kita larut dalam sengsara yang kita cipta sendiri. Dan tanpa sedar, ada lagi yang lebih sengsara. Insan-insan dura yang satu akidah, yang berkongsi tauhid dan syahadah dengan kita.
Sungguh kita alpa.

Thursday, June 12, 2008

Jimat?

hari ini aku memandu mobil ke kantor. perjalanan dari shah alam - putrajaya menyelusuri lebuhraya elite sejauh 30 km terasa amat jauh. 'dia' beritahu aku untuk menjimatkan petrol kelajuan hendaklah di bawah 100kmsj. aku cuba bereksperimen dengan teori si 'dia'. semalam aku isi RM20 = 7.4L. aku nak tengok berapa lama boleh bertahan.

Tuesday, June 10, 2008

hujan...

ironinya waktu-waktu hujan begini di bawah jambatan pasti meriah dengan penunggang-penunggang motosikal. mencari teduh daripada basah. di sini seakan berada di sebuah mandala yang jauh dari hipokrasi manusia. tiada strata feudal di sini, semuanya sama tanpa mengira ras dan agama. biasanya penunggang ini akan bertegur-sapa, dan mulut menghisap nikotin. sambil bersembang mengenai susu anak, tambang bas sekolah, beras, gula, tepung yang mencanak naik. semuanya kesan kenaikan harga petrol. tapi bagi golongan kapitalis dan borjouis yang tak habis beromong dengan teori permintaan vs penawaran ini menganggap ia adalah sekadar kitaran ekonomi. banyak kisah marhean terpinggir dapat aku dengar di sini. aku bertanya kepada seorang abang yang berulang alik dari seksyen 24 shah alam ke putrajaya. 'nape tak drive kete bang hujan-hujan macam ni?'. dari wajahnya yang sugul dia menjawab. 'macam nak bawak dik, petrol dah naik, anak abang baru masuk 3 bulan, tak campur lagi yang tengah sekolah lagi, nak tak nak bawak jelah moto dik'.
noktah.

Sunday, June 08, 2008

'dia'

Aku menjumpai ‘dia’ tanpa kutahui mana asalnya. Dalam sisi kehidupan aku yang kini beranjak beberapa takah kehadapan, ‘dia’ datang dengan membawa getar yang sukar untukku tolak. Macam yang sentiasa aku titipkan pada ‘dia’. Kerja Tuhan, siapa yang tahu. Betapa Tuhan menyusun naratif pertemuan ini dengan cukup indah dan cantik sekali.

Wednesday, June 04, 2008

orang minyak.

Minyak naik 78 sen. naik 40%. Masihkah ada mekanisme lain. Marhean makin tersepit. Dan parlimen terus bersidang.

p/s: Trafik menuju ke setiap stesen minyak macet teruk. Ada yang memaki-hamun. Minyak bikin orang hilang timbangtara. salah siapa?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...