Pecah tempurung nyuir disagat
Menahan belat digenting
Ada burung hendak diigat
Ada bunga hendak disunting
Sepi. Lantainya sunyi. Bumbungnya khali. Suasana ini kadang memberi pesona. Jauh dari cik-cok sandiwara manusia. Kosong ujana mata. Yang ada hanya sepi. Ada apa dengan sepi?
Sepi buat rindu mengbungkam. Terkenang dan tanpa sedar datang satu kejutan yang merenjat batang tubuh. Sepi punya kuasa mistik. Halus dan misteri.
Sepi kadangkala buat jiwa jadi segar. Memenuhi ruang-ruang batini.
Muharram datang lagi. sambutannya memang tidak seperti tahun baru masihi. Dengan panahan cahaya neon dan bunga api. tanpa konsert para artis. Tiada gegak gempita riuh rendah manusia di klcc, dataran merdeka, bukit bintang, bangsar baru etc. Sambutan awal muharam atau awal tahun hijriah dalam kalendar islam lebih tertumpu perihal spiritual, rohaniah. Kita diajar untuk menutup tahun ini dengan doa dan dimulai tahun baru juga dengan doa. Begitulah indahnya Islam yang dibawa nabi. Sambutan awal tahun hijrah tidak perlukan sorak-sorai khalayak manusia. Syukur di negara kita tercinta ini 1 muharram dijadikan cuti umum. Dan jika tidak mungkin ramai yang melupai kedatangan tahun baru ini. Ataupun kita lebih kenal nama bulan-bulan Islam dalam cerita ahmad albab. Muharram, safar, syawal. Itupun baru 3, yang 9 lagi entah.
Tahun 2008 bakal menjelang tiba. Gerabak 2007 bakal kita tinggalkan. Dengan pelbagai cerita suka-duka yang berlaku seputar kehidupan kita. Sejarah selalu menoleh kesetiap sisi kehidupan, apa iktibar yang kita dapat setahun yang lalu. Namun adakalanya sejarah itu kita lupakan begitu sahaja.
2007 penuh dengan tragedi. Bayang-bayang Osama yang menghantui masyarakat dunia, Iraq yang sudah lelah kita impikan sebuah arca keamanan, palestin yang selamanya jadi mainan yahudi dan amerika, isu nuklear Iran dan korea utara, krisis Darfur yang meruncing, Politik Pakistan yang bergolak pasca kematian Benazir,. Pastinya 2008 depan, momen-momen ini akan ada kesinambungannya. Sejarah yang kita lupakan.
Aku.
Resolusi tahun baru 2008?. Blog ini rasanya sudah wujud lebih 2 tahun. Memuatkan tulisan-tulisan yang sebahagian besarnya bersifat peribadi, puisi-puisi tentang nyalarasa, rebiu filem-filem seusai ditonton. Entri mungkin telah bertambah. Namun rasa aku masih ada yang kurang. Macam mi segera tanpa perencah. Ada ruang-ruang yang perlu diperbaiki.
Yang lain.
Aku mahu tukar kerja (harap bos aku tak baca entri ini). Bertukar angin. Angin di sini nampaknya sudah tak serasi lagi. Semacam sudah jadi siklon. Nak cari angin yang sepoi-sepoi bahasa pula.
Lagi.
Kahwin. Kahwin? Dengan siapa? Ada. Tunggu sahaja. Akan ada bunga yang akan aku sunting nanti.
Ada lagi?
Ada. Nak kumpul duit. Bukan untuk kaya. Tapi untuk hidup senang. Tambah pelaburan dalam tabung amanah dan perbagaikan portfolio pelaburan. Minat dengan bisnes internet tapi tiada kaki. Ada siapa-siapa yang nak berkongsi?
Akhir
Dekatkan diri dengan Khaliq. Hendak kembalikan semula zaman-zaman masa di ehya’ dan ma’ahad dulu.
“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati Kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (Ali Imran:8)

Langit bagai sudah ditebuk. Lalu segala apa yang dikantungnya mulai turun mencurah-curah. Hujan petang ini luar biasa lebatnya. Jarak penglihatan 100 metar dihadapan kian kabur. Mobil dan motorsikal memperlahankan kelajuan masing-masing, dan ia buat keadaan trafik jadi macet. Lopak-lopak ditakungi air, aliran sungai mengalir deras dan mulai mencecah tebing. Ibu kota kuala lumpur aku tak tahu keadaannya sekarang ini. Mungkin terowong smart bertukar fungsi jadi longkang besar. Shah alam, terutamanya kawasan TTDI dan batu 3 entah apa keadaannya pula. Basah seusai pulang dari kantor memang jadi kebiasaan. Alang-alang sudah hujan, redah saja. Basah tetap basah. Jangan kena tangkap basah sudah. Itu cerita lain pula.
Kata-kata ini yang aku pilih
Dari sekalian banyak aksara
Yang terupam dari pangkal lidah
Terus berlingkar memenuhi ruang batini
Untuk menyatakan dengan keindahan
Atau bermimpikah aku?
Sukarnya kuberitahu
Mimpi dari kebenaran
Dalam rajuk yang panjang
Ratib setiap malam
Yang ada cuma kesunyian panjang
Hanya aku seorang
Yang mengerti bait2nya
Setiap kota besar dunia pasti ada sisi gelapnya. Ada gelandangan berpelesiran, sang cacat yang meminta, pelacur mencari teman berahi dan wang, politisi yang rakus kuasa. Setiap kota besar dunia punya corak dan warnanya sendiri. Mencipta grafik dan CGInya sendiri. Animator-animator ini sesetengahnya bukan orang besar, bukan aristocrat, bukan korporat, eksekutif atau CEO. Mereka adalah marhean kota yang memang asal dari kota ini ataupun datang entah dari mana, yang mahu mencari rezeki. Halal atau haram. Noktah.
Filem anak halal menelanjangkan setiap kebobrokan anak muda ibu kota yang hidup di tengah kosmopolitan yang berbau hanyir, hamis, kotor dan jijik. Status ibukota bukan lambang kemulukan dengan terang lampu neonnya. Susuk gelap ini membuatkan penghuninya lapar dalam berahi, dan anak-anak muda membesar dalam nanar. Noktah.
Filem ini ialah cerita tentang anak muda dengan keghairahanya. Kegilaan merempit, khayal dengan dadah, gaduh sampai berbunuhan, lintah darat. Plot-plot ini digarap oleh sutradara Osman Ali dengan baik. Dengan mengambil latar kawasan flat murah ditengah ibukota, membelakangkan KLCC dan Times Square anak-anak muda ini membesar dan mencari rezeki. Memang semua anak muda ini gila, tapi mereka juga ada otak. Dan kadangkala ia buat mereka jadi lebih kretif. Noktah
Kenapa perlu tonton:
1. Farid kamil memang pelakon yang bagus cuma lepas ni dia perlu bijak memilih watak. Watak adiputra menyerlahkan bakatnya berbanding filem 7 perhentian dan filem2 komedi mentah lakonannya. Zulhuzaimi, Fauzi Nawawi, watak antagonis mereka memang menjadi. Betul2 jahanam. Maya Karin tanpa make up tapi lebih menyerlahkan keberkesanan lakonannya. Begitu juga pelakon2 lain. Masing2 memberikan impak yang tersendiri. Cuma fasha sandha. Macam ada yang tak kena. Mungkin susah nak buang imej natasyanya.
2. Kerja kemera yang cantik, suntingan yang kemas, dialog yang bersahaja menjadikan filem ini menarik untuk ditonton. Latar di atas bumbung flat persis dalam filem ungu violet.
3. Pernah nonton transporting? Ini filem trainspoting versi melayu. Cuma ia tak ada adegan ranjang.
4. Masih ada filem Malaysia yang bagus untuk anjung tahun ini. Tahun lepas ditutup dengan filem cinta sebagai filem terbaik. Siapa kata pengarah kita tak boleh buat filem komersial yang bagus?
5. Akhir sekali. Mungkin penonton lain tak perasan. Tapi aku perasan. Aku perasan ada novel faisal tehrani ‘perempuan politikus melayu’ atas bangku dalam rumah Erzan(adi putra) dan Milya(raja farah). Apa motif osman agaknya? Ataupun memang dah ada kat rumah tu?
Disember ini penuh dengan harapan membuhul. Langkah akhir perjalanan untuk satu permulaan baru. Disember ini bulan penuh rencam. Terlorong sisi yang entah sekian kali banyaknya datang, untuk membuka atau menutup lubang-lubang binasa dari setiap rona-rona yang berjalan siang dan malam. 31 hari bermula dari semalam adalah satu pertandingan. Pemenang ditentukan dihari terakhir. Kepura-puraan dan hipokrasi. Dan masa depan yang tak pasti. Meneroka makna Disember ini yang kemaruk dengan pesta dan keraian yang berahi, adalah perjalanan yang ruwet. Namun harapan tetap di situ. Masih di situ. Sebelum kotak Pandora dibuka. Dan segala rahsia januari akan terungkai.
cerita lelaki botak dengan kod bar di belakang kepala. siapa kata lelaki botak tak menawan. agen 47 ada lesen membunuh persis james bond. dia direkrut sejak kecil untuk menjadi pembunuh upahan, oleh sebuah organisasi bawahtanah yang misteri. menjalankan kerja2 jahat CIA. Hitman adalah adaptasi baru dari permainan komputer popular keluaran Eidos. Aku tak berapa minat dengan francis lara croft atau resident evil. tapi hitman oklah. heronya ini tak pernah lupa dengan kot hitamnya, kemaja putih bertai merah. mengarut, tapi kool. pegilah nonton. sekarang tengah dipanggung.
Robert Zemeckis kembali bikin filem. aku cukup teruja dengan filem2 arahannya dahulu, back to the future, forrest gump, cast away. selepas eksperimentasinya dengan polar express, zemeckis menjadikan beowulf sebagai kesinambungan teknologi motion capture dalam filem. memang tak terasa kesan animasi dalam filem ini, kerana segalanya seakan-akan hidup. beowulf adalah mitos dari belah dunia scandinavia. di ceritakan turun-temurun dalam medium puisi (persis perang troy dalam puisi panjang homer, the illiad).
Yang bertingkah dengan senyuman
Menyahut cinta kasmaran
Memenuhi bejana penuh air mata
Dan tawa yang diukir
Dengan setiap pengharapan panjang
Tetap sama
Matahari masih bercumbu dengan siang
Langit masih mengomoli rinci buana
Luluh menanti pelangi
Yang kadang-kadang muncul.



aku menonton berita di teli hari ni dan semalam namun tiada langsung berita seputar perhimpunan 100 ribu rakyat di dataran merdeka, waima aku memang sudah jangkakan perhimpunan ini tidak akan mendapat tempat dalam siaran berita lokal. cuma nak lihat kalau2 ada stesen2 tv selain rtm yang membuat liputan mengenai perhimpunan tersebut. tapi nampaknya al jazeera yang lebih berminat. mingguan malaysia hari ini menyatakan: Sekitar 4,000 orang telah berhimpun secara haram di sekitar perkarangan Dataran Merdeka sehingga ke Masjid Jamek hari ini dan polis telah menahan 245 orang. memang melucukan. sedang dunia menyaksikan puluhan ribu manusia yang berhimpun di perkarangan istana negara, belum lagi dicampur yang masih dalam perjalanan dari tempat himpunan masing2, yang terkandas di jalan raja laut, yang tersekat di jalan masjid jamek, di pasar seni, yang terkurung di sogo, dan beberapa lagi tempat di metro kota.
Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.
Usai membaca tuhan manusia. Novel ini tak seperti novel-novel faisal yang pernah aku baca. Novel-novelnya seperti perempuan politikus melayu penuh dengan imej berontak, Tunggu teduh dulu dengan wacana feminis, 1515 pula sebuah amnesia sejarah (antara beberapa contoh novelnya).
Tuhan manusia memberikan sisi baru pembacaan yang segar. Persoalan pluralisme dan gejala murtad yang kian membarah dalam masyarakat kita. Ia seperti ngembara ke sebuah daerah yang penuh dengan inti-inti falsafah, dan mengutarakan bentuk pemikiran islam yang dinamis, sesuai dengan perkembangan zaman.
Novel yang baik bagi saya ialah novel yang ada unsur-unsur ilmiah didalamnya, yang disampaikan dengan cara bercerita, langsung mendidik jiwa kearah kebaikkan. ironisnya genre novel seperti ini kurang diminati remaja yang lebih gemarkan gaya cerita yang ringan dan ‘simple’. Seputar soal cinta, rindu, sayang, kasih etc. (boleh semak tajuk-tajuk novel ini di toko-toko buku berdekatan)
Tak banyak novel-novel seperti ini yang berbahasa melayu (baca melayu bukan Malaysia) di Negara kita. Kalau adapun novel-novel yang ditulis oleh penulis yang bertaraf sasterawan Negara. Bila ramai yang nak jadi penulis maka berlambaklah novel-novel remaja yang mentah. Kemudian kita mulai bercakap ini novel popular, yang itu novel sastera. Sudah jadi polemik pula.
Novel sastera tak popularkah? Bagi aku untuk mempopularkan novel-novel sastera ini adalah dengan melambakkannya dipasaran. Jangan beri peluang pada novel-novel mentah atau separuh mentah. Bila sudah melambak dipasaran, pembaca tiada pilihan lain selain membeli dan membaca novel sastera. Nampak macam utopia. Tapi bukan mustahil. Penerbit kena ambil bahagian, sasterawan kena terus menulis. Baru dunia sastera tanah air rancak semula.
Kita kena buat sesuatu untuk sastera kita. Jangan suatu hari nanti sastera kita mati, macam matinya Lahuma. Dan waktu itu novel seperti mona gersang dan siri bercakap dengan jin akan jadi teks wajib untuk pelajar-pelajar sekolah.
p/s: ini adalah pandangan peribadi. anda ada pandangan sendiri?
Melihat wajah ibu adalah nikmat terbesar kurniaan Ilahi. Ibu adalah anugerah tak terhingga. Jika Allah menyuruh kita menyembah kepada makhluk ciptaan-Nya pasti kita disuruh untuk menyembah insan yang bernama ibu ini.
Aku pulang ke kampung jumaat lepas untuk sama-sama meraikan ramadhan dengan keluarga dan yang paling aula ketemu dengan ibu. Wajah renta ibu bercahaya menyambutku. Wanita ini kutahu amat kuat semangatnya, tak padan dengan tubuhnya yang kecil. Setelah pelbagai badai yang melanda keluarga kami, segalanya dihadapi oleh ibu dengan tabah. Ibu tahu setiap yang berlaku ada hikmahnya, ada ujian yang tersirat yang tidak jelas dimata kasar.
Makanan berbuka dan sahur disediakan ibu, tanpa ada buku resepi yang menguliti setiap masakan. Namun hasil tangan ibu amat menyelerakan anak-anak dan cucu-cucunya.
Di waktu malamnya, seusai solat Margrib suara klasik ibu indah mengalunkan ayat-ayat suci Al-quran. Cukup dengan tajwid dan tartilnya. Aku tahu setiap bacaan ayat-ayat suci itu disedekahkan buat gemulah bapak dan datuk yang telah lama meninggalkan kami, menuju alam keabadian.
Melihat wajah ibu terasa cukup tenang dan bahagia. Sementelah pula kala ramadhan ini yang datang menyengguk umat Islam dengan barakah tak terhingga. Aku pulang hari ini dengan memohon kemaafan dari ibu, meminta restu agar diluruskan setiap perjalanan ini dengan rahmat dan petunjuk Ilahi.
Raut wajahnya tiada langsung iras melayu. Jessica Ong Hai Liaw, berketurunan cina, macam cina-cina Malaysia yang lain. Bermata sepet, berkulit putih mulus. Siapa yang menonton slot berita dunia hari ini, pasti mengenalinya, tukang baca berita, petah berbahasa melayu. Dalam harian metro semalam, Sabtu 15/09/2007, Jessica menganggap bahasa melayu sangat indah, dan amat rugi jika tidak mengamalnya. "Terus-terang, saya amat mencintai bahasa Melayu. Biarlah orang lain dengan cara mereka berbahasa asing, tetapi saya sesekali tidak segan bertutur bahasa Melayu," katanya. Ia bukan sekadar ucapan kata tapi dibuktikan dengan memiliki ijazah sarjana muda dan sarjana bahasa melayu dari universiti putra Malaysia disamping sedang meneruskan pengajiannya diperingkat doktor falsafah, juga pengkhususan dalam bahasa melayu. Kita tinggalkan Jessica dengan obsesinya dengan bahasa melayu. Kembali kepada realiti semasa bahasa melayu di Malaysia, cemerlang, gemilang, terbilang ini.
Bahasa melayu sedang berada dalam era globalisasi, namun peranannya pula sebagai bahasa ilmu dan kemajuan mulai terhakis. Bahasa asing terutamanya bahasa inggeris mulai mengambil alih peranan sebagai bahasa utama dalam pelbagai sektor di Malaysia. Bahasa melayu makin terpinggir apabila para pemimpin melayu menekankan penguasaan bahasa inggeris ini dari peringkat akar umbi dengan menjadikan para pelajar sebagai mangsa. Pemimpin melayu juga lebih enak bertutur dalam bahasa inggeris, dalam forum2, ceramah2, di tivi dan dimana-manapun agar nampak maju dan punya status yang tinggi.
Apakah dosa bahasa melayu pada negara? Kata dr Hassan ahmad, orang melayu boleh berfikir dan mencipta kemajuaan, mengembangkan ilmu, menjadi pakar, sarjana dan bijak pandai dalam segala bidang melalui bahasanya sendiri. Hanya apabila orang melayu disekat untuk memajukan diri melalui bahasanya sendiri, barulah bangsa melayu itu mundur. Hanya stigma yang mengatakan bahawa orang yang menguasai dua bahasa (melayu dan inggeris) lebih pandai atau lebih bijak berfikir dari mereka yang mengetahui hanya satu bahasa, iaitu bahasa melayu.
Ahli bahasa antropologi barat(amerika), terutama Edward Sapir dan anak muridnya Benjamin Lee Wholf mencetuskan perbahasan selama lebih 60 tahun apabila mereka mengemukakan teori atau hipotesis tentang linguistic determinism atau ketentuan bahasa yang mengandaikan bahawa pemikiran manusia ditentukan, tetapi tidak dibatasi, oleh bahasa yang digunakan oleh bangsa yang memiliki bahasa itu. Implikasinya ialah kemajuan atau kemunduran sesuatu bangsa, secara relatifnya, bergantung pada bahasa yang digunakan oleh bangsa itu.
Semua bangsa yang maju adalah kerana mereka menggunakan bahasa mereka sendiri dalam mencanai dan mencipta kemajuan. Ambil contoh Filipina, negara berbahasa inggeris terbesar di asia tenggara, tapi dari segi ekonomi negara Filipina masih jauh ketinggalan (berbanding Thailand, dan tentunya jepun dan korea selatan). Dikatakan antara eksport utama filipina ialah pembantu rumah kerana kebolehan mereka bertutur dalam bahasa inggeris.
Bukan mahu merendah-rendah bangsa dan negara lain tapi sebagai perbandingan bahawa jati diri bangsa dapat diperkasa melalui pemantapan dan penguasaan bahasa ibunda. Para pemimpin, terutamanya yang terlibat dalam membuat dasar negara perlu sedar dan yakin dengan keupayaan bahasa melayu yang suatu masa dahulu pernah menjadi lingua franca dalam era kesultanan melayu Melaka. Melaka sebelum dilanggar benggali putih 1511M lebih maju dari malaysia hari ini, dan resepi kemajuan tersebut ialah bahasa melayu itu sendiri.
Bahasa melayu punya kekuatan dan keindahannya. Namun bangsa lain seperti Jessica yang nampak kekuatan dan keindahan tersebut berbanding pemimpin melayu yang enak bertutur dalam bahasa inggeris waima sesama malayu sendiri sama ada diwarung-warung kopi tepi jalan atau di lobi parlimen seusai bersidang.
Ramadhan yang datang
Datang dengan barakah tujuh lautan
Mencari cinta hakiki
Menyuci badan dari kotoran
Daki dosa setahun lalu
Amal dilipat ganda
Waima sedekah sebiji tamar
Menanti kucupan kasih-Mu
Memohon marghfirah dari-Mu
Titipan doa teleku qiam malam
Agar temui al-Qadar mulia seribu bulan
Ku temui lagi Ramadhan ini
Dan aku datang dalam pasrah redho-Mu.
11 September, 6 tahun lalu adalah titik tolak kebencian barat (sebut: Amerika) terhadap umat Islam. Hari ini kenangan peristiwa tersebut masih berilam-ilam di ruang retina. 2 buat pesawat bagi peluru menghentam sebuah ikon milik sebuah Negara adikuasa. Tiada yang dapat memintasnya. Kemusnahan berlaku sekelip mata. Dan sekelip mata juga dunia menghukum umat Islam di sebalik punca tragedi. Al-qaeda langsung menjadi kambing hitam bagi menghalalkan perang genocide atas nama memerangi pengganas. Dalam usaha ini nada islamofobia atau rasa benci terhadap Islam disemaikan. AS tidak pernah merasa puas dengan kerja jahat mereka sejak perang dunia pertama, dan berlanjutan hingga perang dingin. Hari ini AS muncul sebagai kuasa tunggal selepas runtuhnya kesatuan soviet. Umat Islam diratah wewenangnya oleh AS dan juak-juaknya. Dari palestin, lubnan, Somalia hingga ke Darfur. Islam tidak pernah mengalakkan keganasan. Dan setiap pembunuhan yang dilakukan oleh kelompok yang mereka gelarkan sebagai ekstrimis, fundementalis atau apa jua istilahpun adalah bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri. Islam merupakan agama yang mencintai keamanan. Tiada langsung tempat dalam islam untuk mereka menggalakkan keganasan. Cuma yang menjadi kekeliruan ialah adakah perjuangan membebaskan tanah air dari penjajah juga dianggap pengganas? Hizbullah di lubnan dan hamas di palestin telah lama berjuang untuk memerdekakan tanahair namun dilabel oleh AS sebagai organisasi pengganas. Hizbullah tidak sama seperti al-qaeda. Nasrallah tidak sama dengan Osama. Kita semua dikelirukan barat (sebut sekali lagi AS) dengan siapa sebenarnya pengganas. Pengganas dalam kamus AS ialah mereka yang tidak bersama-sama menyokong mereka.
angin menebak dari dada
dan bertanya sebuah kota
tuan dari mana
sambil bergulir mimpi dunia ketiga
minyak dan airmata
infantri dan puing keamanan
sebelum buah-buah zaitun
masak di tengah oasis
tuan dari mana
gurun ini penuh mayat dan roh jahat
bukan bayang demokrasi
tak bisa mengunyah kebebasan
rangtua dan ibu muda
masih dalam jagaan malaikat maut
muka depan berita perdana
seorang kecil bocah
berbogel keliling kota
mencari makna hari
tiba-tiba memekik nyaring
revolusi! revolusi! Celakalah kaum borjuis!
pasti dari dunia pertama
mari bersama mencicip kopi
mengunyah sarapan pagi
di warung kapitalis
bicara soal idealis
sebelum bom mulai ghairah di ranjang berahi
Bukan mahu mencorak mimpi. Mencagar impian. Merenung masa depan atau masa lalu. Tidak semestinya semua itu hadir dalam hiruk-pikuk dunia atau apa sahaja yang datang menyelimuti ruang-ruang batini. Waima betapa hebatnya gelora sukma. Terbang melayang mengikut arah pawana, paksina maupun daksina. Ilusi dan realiti, dunia bawah sedar. Saling bersambung…..kemudiannya….
Sebuah buku nota. Tertulis beberapa aksara. Tempat memutus sepi. Kala malam gelap dan terang siang. Juga terangkum sejuta puisi. Rasa yang canggung. Berpusar dilubuk nyali. Apa itu? Secangkir kopi, sepinggan nasi goreng kampung, semangkuk salad mayonis. Rona yang mengisi tembolok. Duduk di atas bangku konsumer sesat. Bersebelah perempuan berambut koyang. Menyambut dengan senyuman goda. Catatan nota hari ini. Sepanggung di laman metro. Wayang gambar. Cerita tembak-tembak. Dicatat lagi. Hujan lebat di luar. Angin bertiup kencang. Tanah jadi lecah. Terperangkap. Mujur disisi ada buku nota. Dan perempuan berambut koyang.


Dalia Hussein hanya seorang kanak-kanak tipikal di selatan lubnan. Usianya baru menyergah tujuh 6 tahun. Cerdik budaknya. Jika di Malaysia, anak kecil ini mungkin sedang seronok menikmati kehidupan alam kanak2nya. Ke sekolah, ke taman, mungkin juga punya harapan menggunung untuk masuk universiti atau jadi atlit sukan. Malangnya lubnan tidak seperti kita di sini, dan bom israel tidak pernah menanya berapa usia anak ini. tiada siren amaran. Bom tetap dengan sifatnya. Merobek setiap jiwa yang tidak bersalah. Syukur Dalia masih hidup. Syukur jurugambar media, Mahmud Zayat mendapati Dalia masih bernafas di rumah sakit. “Dia dibaringkan di atas pengusung. Kain yang menutup seluruh tubuhnya kelihatan bergerak lemah. Dia masih bernafas,” katanya sambil mengingati kejadian itu. “Saya mengambil gambar dan memanggil doktor, untuk memberitahu Dalia masih hidup.”Titis perjuangan yang bergulir desingan mesiu
Lalu gegak gempita alam menyulam langit hitam dan merah darah
Bertahun-tahun bersandar di bangku kebenaran
Maka apa yang bisa dipertahankan
Atau dalam rela melepaskan
Sedang tirani mengenggam nyali
Dan muncung benet hampir menusuk halkum
Apalah lagi yang tinggal
Dalam kesia-siaan ini
Di bawah langit nirmala
Tanpa gusar
Di sisi perjuangan
Tanpa noktah
Menyeru sukma merdeka
by Brian Clark
Kalau dahulu aku bersungguh mungkin keadaan tidak seperti sekarang. Rasa sesalpun ada.Tapi apa hendak buat. Perkara lama jangan diungkit lagi. Mulai sekarang kena bersungguh. Peluang kadangtu datang sekali. Tak mahu main-main lagi. Kejar sampai dapat. Itupun kalau tak mahu sesal lagi.
Nyanyian syahadahku
Dalam teleku qiamulaili ini
Betapa metah jiwaku
Rapuhnya sukmaku
Mengadap-Mu
Mendakap pelukan rindu-Mu
Waktu aku Tersangkut
Dalam jaring berahi dunia
Tak terlawan olehku
Syahadah yang ku pegang ini
Tanda saksiku
Tanpa waham
Waima tujuh petala langit
Tujuh petala bumi
Jatuh menimpa aku
Kesaksian ku ini tiada duanya
Minggu-minggu terakhir bulan jun ni badan letih sangat, kepala pening dan pelbagai perkara perlu di langsaikan seberapa segera.
Pertama. Tahun kewangan syarikat berakhir 30 jun 2006. Waktu-waktu ini ofis sudah macam bursa saham. Masing-masing sebuk. Marketing staff sebuk cari bisnes, prossessing staff sebuk dengan kes-kes yang perlu diproses segera. Tim aku pula tengah kejar peminjam-peminjam yang masih liat nak buat pembayaran bulanan kereta. Setiap tim ada bajetnya sendiri. Dan setiap bajet perlu dicapai kalau mahu KPI yang bagus. Kalau KPI tinggi adalah harapan dapat bonus dua atau tiga bulan. Kalau cukup-cukup makan, dengan kondisi ekonomi sekarang, entah-entah tiada langsung.
Kedua. Kesebukan kadangkala buat kita lupa. Lupa untuk memandang dunia seputar kita. Lupa dengan masa yang sentiasa berlalu meninggalkan diri kita.
Ketiga. Aku bermohon pada Allah agar dalam setiap kesebukan duniawi yang aku tempuh saban hari tidak melalaikan aku untuk sujud padaNya. Amin….
Ini sebuah filem dalam genre fantasi. Tapi buangkan sisi fantasi dalam filem ini. The fountain mengenai kisah seorang doktor, dr creo yang tanpa jemu mencari penawar kanser untuk isterinya yang tercinta, Isabel, kisah sang penakluk tomas dalam eksplorasi mencari pohon keabadian dan kisah seorang angkasawan, tom, yang merantau, juga mencari keabadian di sebuah bintang yang hampir musnah. Memahami rahsia di sebalik ‘the fountain’ bukanlah satu yang aula. Lupakan segala magis, untuk kita fahami di sini ialah tiada apa yang abadi di alam ini. Segalanya fana dan sementara. Yang penting adalah untuk menghargai setiap hirup nafas kehidupan , bersama insan yang kita sayang. Seperti dr creo, yang tiada disaat Isabel memerlukannya di sisi, mengisi lompong2 kosong dalam saat akhir kehidupannya. Sekali lagi. kehidupan ini fana. Begitu juga dengan tomas dan tom. Mencari keabadian itu adalah sia2.
Nota kaki: hugh jackman memberi impak terbaik untuk filem ini, lebih emosi dan mengesankan dan kali ini tiada besi-besi tajam yang keluar dari kukunya. Rachel weisz, wajah cantik wanita inggeris. Cantik. Cantik sudah cukup buat aku suka.
ii. Hot Fuzz
Filem British. Jauh dari LA, New York dan Vegas. Loghat inggerisnya yang pekat, topi polisnya yang bujur klasik, dan pelik. Pelik? Filem ini pelik aka komedi, gelap, mengarut dan provokatif. Nicholas angel, seorang konstabel polis di kota London yang komited, didikasi, punya rekod cemerlang namun ia membawa masalah kepadanya. Alasannya angel ‘is a lone overachiever’. Dan disebabkan angel terlampau bagus di london, langsung dihandar ke sebuah pekan kecil bernama Sandford di barat London. Sebuah mandala yang sempurna, dan selamat, dan lebih 20 tahun tiada jenayah berat yang berlaku di sini. Lantaran itu Sandford sentiasa di nobatkan sebagai pekan terbaik di England. Suasana ini membuat angel bagaikan tidak keruan lantaran kerjanya seharian memberkas penjenayah langsung tiada di sini. Kesnya yang paling pentingpun cuma mencari seekor itik angsa yang hilang. Keadaan ini berubah pada satu hari apabila berlakunya pembunuhan 2 orang pelakon teater yang dipenggal kepalanya, namun kejadian itu cuma di anggap sebagai kemalangan. Kemudian berlaku 3 lagi pembunuhan. Seorang hartawan, seorang wartawan tempatan dan seorang pengusaha kedai bunga. Dan sekali lagi ia cuma di anggap sebagai kemalangan. Bagi angel segala pembunuhan itu seperti sudah dirancang. Dan angel cuba merungkai misteri setiap pembunuhan yang berlaku. Akhirnya angel menemui jawapannya. Dalangnya ialah NWA (persis jawatankuasa kampong di sini) diketuai oleh ketua polisnya sendiri, hasil kerja konspirasi yang aneh. Apa alasan NWA. Semua mangsa yang di bunuh punya tabiat yang menjengkelkan, dan ini buat peluang sandford untuk sekali lagi menjadi pekan yang terbaik dan sempurna akan tidak kesampaian. 2 pelakon teater di bunuh atas alasan pementasan teater romeo dan Juliet yang buruk(orang2 tua di sandford penggemar shakespears), hartawan di bunuh akibat tabiatnya yang kaki botol dan wartawan yang di bunuh akibat terlalu banyak gossip dan kesilapan umur (54 tahun ditulis 53 tahun) sepasang penduduk setempat dalam pojoknya.
Hot Fuzz memang kelakar dan ada beberapa adegan cult, kepala putus dan hancur, tubuh berkecai, darah bersembur merata tempat. lama tak tengok cerita komedi pelik macam ini selepas borat. borat tak lepas masuk Malaysia, Hot fuzz?