Saturday, April 28, 2007

Kita Belajar Darinya

Sejak mula lagi
Dia mengajarku aksara-aksara
Satu demi satu
hingga jadi satu kalimat
Menekur dari belakang
Dan menepuk bahuku
Bila gigil lidah tersilap kata

Pedang matanya membuhul harapan
Begitu peri seorang pendeta
Yang tak akan berpaling
Dari mengalas titah bangsa
Agar hidup dengan maruah
Yang sentiasa menjunjung warisan

Meski kini
Sungai hayatnya dikenderai usia
Namun tak pernah kulupa
Getar suaranya dahulu
Yang menghayun pesan
Berbaur hikmah
Dan sesekali aku mencari makna
Tersirat dalam butir-butir katanya
Buat bekalan di hari muka

Insan ini bernama guru
Yang kita belajar darinya

Thursday, April 26, 2007

Daulat Tuanku

Buat Tuanku Sultan Mizan, tegakkan kebenaran di atas neraca keadilan dan terangi bumi bertuah ini dengan cahaya ketaqwaan. Amin....

Monday, April 23, 2007

lelah

lelah. bila penyakit ini datang, abdomen akan rasa sesak, susah hendak menafas, paru-paru tak dapat menjana fungsi sepatutnya. lelah. aku baik. alhamdulillah hingga kini. tiada lelah, semput atau apa-apa penyakit berkaitan respirasi. namun lelah ini datang juga dalam figur yang lain. lelah dengan keadaan seputar, kehidupan euforia, macam estacy, hingga buat kita naik ke langit tujuh. lelah ini datang dan ia cukup meletihkan. buat aku letih, sengal dan bingai sekejap. lelah macam racun rumpai lalang. habis menguning kering hingga keakar. kehidupan buat aku lelah. kesana. ke mari. mahu aku cari eskapisme. tapi apa?

Monday, April 16, 2007

Maka Tersenyumlah Bulan


Cakerawala bersahutan memecah dinding alam
Sedang Buruj yang tersusun indah
Tetap atas garisannya

Maka tersenyumlah bulan
Yang bercerita saat terbelah luhurmu
Di atas paksi cinta
Cahaya yang takkan berhenti gemerlap
Bening alam tersirna
Menyepuh kasih uda dara

Maka tersenyumlah bulan
Bergeser dengan deru angin
Menutup awan
Mengurung gelita
Denyut nadi
tidakkan berhenti

Saturday, April 14, 2007

Freemason 3

ii Royal freemason
Dalam tingkatan ini, ahli2nya terdiri dari tokoh2 internasional yang secara mutlak telah meninggalkan kepercayaannya, baik agama, nasionalisme dan prinsip2 dasar lain dengan menggantinya hanya percaya pada doktrin freemason semata2. contoh dari tokoh pada level ini adalah winston churcill dan juga lord balfour.

iii universal freemason
puncak tertinggi dalam gerakan freemason. pada level ini ahlinya harus mutlak berdarah yahudi dengan mengikuti doktrin freemason sepenuhnya. mereka yang telah berada dalam level ini dalam kancah antarabangsa, peranan mereka jauh lebih tinggi berbanding raja, paus, uskup, presiden atau pemimpin negara. ertinya seorang freemason pada level ini lebih berkuasa dari seorang paus, bahkan seorang presiden. salah satu tokoh pada level ini yang dikenali khalayak adalah pemimpin zionis, thedore herzl dan juga seluruh perdana menteri israel, sejak pertama hingga sekarang. seluruh pemimpin zionis adalah mereka yang telah duduk di level freemason universal. maka jangan hairanlah jika seorang perdana menteri israel lebih berkuasa atas presiden2 amerika syarikat dalam pengambilan keputusan berkaitan dengan israel, palestin, maupun masalah keamanan timur tengah.

Tuesday, April 10, 2007

Freemason 2

Sekurang-kurangnya ada 3 jenis gerakan freemason di seluruh dunia. Ketiganya memiliki tugas yang saling melengkapi antara satu sama lain. Di sini saya mulakan dengan kumpulan pertama gerakan freemason:

i Symbolism freemason
kumpulan pertama ini anggotanya terdiri dari orang-orang yahudi dan kaum ghoyim (non yahudi). Pada peringkat ini gerakan freemason adalah bersifat umum yang mana aktivitinya seputar kegiatan-kegiatan kemanusian. Memberikan bantuan, menyelenggarakan pendidikan dan acara-acara sosial etc. Fremasonary dalam peringkat ini lebih bersifat elitis, terdiri daripada para politisi, pemimpin kerajaan, cendikiawan, pegawai tinggi ketententeraan dan ahli-ahli perniagaan tersohor.

Thursday, April 05, 2007

Freemason 1


Freemasonary adalah organisasi Yahudi Internasional, sekaligus merupakan gerakan rahsia paling besar dan paling berpengaruh di seluruh dunia. Freemasonary terdiri dari dua kata yang disatukan. Free ertinya bebas atau merdeka, sedangkan Mason adalah juru bangun atau pembangun. Tujuan akhir dari gerakan Freemason ini adalah membangun kembali cita-cita khayalan mereka, yakni mendirikan Haikal Sulaiman atau Solomon Temple.

Wednesday, April 04, 2007


Ya Allah, jadikan kami musuh untuk para penindas. Ya Allah, jadikan kami para penolong untuk kaum yang tertindas. Tak satupun kaum bisa dengan wewenangnya menindas umat ini. Dan semua itu hanya dengan izin-Mu Ya Malikul Quddus. Amin......

Tuesday, April 03, 2007

Hujan

Bila awan berpaut di kaki langit
Syurgakah yang datang ?
Membawa hujan
Atau titis-titis air
yang meresapi dada alam
embun jantan
mengelungsur dari celahan daun keladi
tiada pelangi
dan sumur penuh bertakung
selut dan lumpur

Tuesday, March 27, 2007

renyah

apa bezanya hari ini atau semalam, esok atau lusa, tulat atau kelmarin. apa bezanya hari ini aku pakai baju biru, esok warna kelabu, lusa belang-belang. apa bezanya hari ini aku naik motor dan esok aku sesak nak naik komuter.tak ada bezanya. renyah. mak aku dulu suka guna perkataan renyah . 'sham, renyoh aku nengok kamu meroloh dari tadi ate idok nak bangun gamoknye'.
hidup ini memang renyah. masa kecil dulu renyahnya lain. dah besar lain pula renyahnya. inilah transisi dalam hidup. semakin kita besar makin banyak perkara yang harus kita pilih. dan membuat pilihan adalah suatu yang paling renyah dalam hidup

Tuesday, March 20, 2007

Rayuan

Rayuan ini yang tidak sudah-sudah
Terpancul dari setiap rongga kata
Adakah cukup metari membakar siang
Dan pawana yang menggigit belulang

Rayuanku ini tidakkan putus-putus
Bersama jari-jemari
yang kutadah ke dada langit
kuhamparkan permadani indah
buatku sujud sekali lagi
dalam khusyuk dan redho-mu

dan setiap helai nafasku
aku merayu pada-Mu Tuhan
ditunjuki setiap langkah kakiku
simpang-siur perjalanan ini
dengan rahmat dan petunjuk-Mu

Thursday, March 15, 2007

Marah

marah 1
Tadi di kantor datang satu pelanggan. marah betul dia pada aku sebab minta dia bayar 1 bulan dulu duit tunggakkan kereta kalau mahu ambil cukai jalan. habis dihamunnya aku depan orang ramai. menyirap juga darah aku. tapi orang macam ni kalau dilayan, lagi dia naik angin. aku diamkan sahaja. aku cakap ini prosedur dan tak boleh buat apa-apa. akaun dah tertunggak 4 bulanlah 'bro'. lepas dia melalak aku berlalu pergi buat kerja aku, dari melayan orang yang tak tentu arah macam ini. ah! bukan pertama kali. sebelum ini dah macam-macam kerenah pelanggan aku hadapi. aku faham. dengan kondisi sekarang ini ramai orang tertekan. dan tekanan buat orang ramai yang hilang pertinbangan.

marah 2
pulang dari kantor aku singgah sebentar kat medan selera belakang rumah aku, tempat biasa aku beli lauk makan malam. hari ini lain sikit. suami makcik yang masak tu ada di gerai dan keadaannya tampak tegang. kesian makcik tu kena maki hamun dengan suaminya. habis di carutnya. si amah yang tolong makcik tu niagapun kena sekali. kesian makcik tu. anak-anak ramai. kecil-kecil pula tu. macam tak terurus. kerja sampai malam. si suami baran tak tentu fasal.

Tuesday, March 13, 2007

Tepu?!%$#@&

Tepu kalau ikut kamus dewan ertinya penuh sesak, padat atau tumpat. Otak aku telah tepu? Sebab itu sudah lama aku tidak menulis?. Mungkin juga otak aku sudah tepu (mungkin juga tapi tidak semestinya). Sajak-sajak akupun sudah lama terbiar. Sudah naik lalang, penuh dengan rumput-rumpai.
Gua?
Gua okey. Mental gua masih okey, masih berfungsi, sama seperti enzim-enzim dalam badan gua. Neuron-neuron tetap berjalan macam biasa. Gua sihatlah woi.......Sape kate gua sakit.....
Sebetulnya aku tengah menghadam satu buku. 'Kebangkitan Freemason & Zionis di Indonesia'. Buku ini berat. Perlu perhatian yang lebih. Juga buat aku seram. Lebih seram dari puaka tebing biru. Seperti kata pengantar 'jangan-jangan kita sudah menjadi mason tanpa menyedarinya'.

Saturday, March 03, 2007

Ibu

Ku lukis wajah ibu
Dari belahan rinduku
Benar ibu telah tua
Sudah renta dimamah usia
Namun rias wajah ibu
Yang berlingkar seribu kedutan
Masih tetap segar
Penuh harapan
Membuhul demi anak-anak
Waima semuanya bukan lagi si kecil bocah
Kasihnya tidak pernah surut
Sayangnya tidak pernah luput
Seperti metari pagi tetap pegun bersinar

Syukur ibu masih sempat
Lihat anak-anaknya membesar
Menggalas amanah gemulah bapak

Syukur pada tuhan
Yang mengantar aku
Ke rahim ibuku

Sunday, February 25, 2007

hidupku akan kosong tanpa mereka-mereka ini


Posted by Picasa

Aku Belum Tentu Datang

Belum tentu lagi aku datang
Untuk memungut ranjang-ranjang cinta kita dahulu
Yang terperangkap dalam sangkar kasmaran
Membuhul rindu yang membungkam jiwa
Saat kucuba menepis hembusan pawana paksina
Membawaku larut dalam bejana penuh air mata
Ini mungkin helahku
Atau rusuh atmaku
Yang berombak memukul tenggara lautan

Dan aku belum tentu lagi untuk datang
Melawati mekar ros merah
Yang gugur kelopaknya persatu
Dilaman nurani

Saturday, February 24, 2007

......dan kita masih berdiskusi

FORT CAMPBELL, Amerika Syarikat (AS) 23 Feb. – Mahkamah tentera di sini menjatuhkan hukuman 100 tahun penjara ke atas seorang askar yang didapati bersalah merogol seorang gadis Iraq dan membunuh gadis itu serta ahli keluarganya, tahun lalu.

i.
Sampai bila umat Islam asyik berdiskusi di meja bulat. Sampai bila kita mahu menunggu keputusan kuartet mengekang keganasan ke atas umat Islam. Dan benarlah sabda Nabi.....Umat Islam ibarat buih di lautan, yang hilang apabila dihempas ombak........

Tuesday, February 20, 2007

Info Trafik

Trafik bergerak perlahan dari persimpangan Rawang ke lebuhraya utara selatan dan susur keluar ke plaza tol Tanjung Malim dan plaza tol Jelapang. Pasukan peronda PLUS melaporkan terdapat kemalangan di kilometer 20 berhampiran plaza tol Jelapang antara sebuah lori trailer dan sebuah kereta kancil. Kedua-dua kenderaan tersebut telah di alihkan ke bahu jalan. Para pengguna lebuhraya dinasihati agar meneruskan perjalanan dan tidak berhenti di bahu jalan.

Di ibu kota Kuala Lumpur trafik bergerak lancar di kedua-dua arah antara jalan Raja Laut menuju ke Dataran Merdeka, jalan Tun Razak ke Bulatan Pahang, Jalan Imbi ke Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tampler ke susur keluar Jalan Klang lama. Kenderaan bergerak perlahan di plaza tol Sungai Besi ke Seremban namun trafik dilaporkan masih terkawal.

Info trafik akan keudara setengah jam dari sekarang. Para pemandu di nasihati agar berhati-hati ketika memandu dan awasi jarak kenderaan anda. Selamat tahun baru cina.

Info trafik ini di bawa oleh Syarikat Logistic Ah- Beng dan rakan-rakan. Segalanya pasti sampai dengan Ah-Beng logistik.


Friday, February 16, 2007

Di Kota Sejarah Ini













Di kota sejarah ini
Di kota yang setiap pasir dan batunya
Adalah sirah agung
Samawi yang menampung Arasy mulia
Serta mahsul bumi yang membuhul barakah

Di kota sejarah ini
Tercatat di setiap dinding-dindingnya
Momen-momen indah
Saat kiblat kearahmu
Sujud memandang setiap rinci kota
Namun dirempuh prahara jua
Segerombolan penjarah mampir menodai kota suci ini
Akhirnya tinggal cuma puing-puing sengsara


Setiap kali memandang kota sejarah ini
Hati tersentuh
Melihat kubahmu
Yang terkopek satu-persatu
Bersama-sama maruah yang tercalar


Kota ini yang tinggal sejarah
Bersama selembar cinta yang terpotong
Mendepani rohmu ke rahang langit
Betapa pijarnya sengsara
Merah darah yang takkan kering
Dan kepongahan manusiawi yang luluh

Nun di sudut kota sana
Al-aqsa melihat jauh-jauh
Pada setiap pasir dan batunya
Sambil meneguk selautan airmata
Dengan mata yang kian bundar
Yang lelah dan kewalahan

Palestina
Kota suci yang tinggal sejarah

Wednesday, February 07, 2007

Panas


Panas
Meremang
Pagi hingga petang
Peluh pijar yang menitik
Dari liang-liang roma

Begitupun ada orang kata
Ini Panas dunia
Neraka lagi panas

Memang ini panas dunia
Ciptaan Tuhan
Untuk kita insafi
Bukan buat perbandingan
Panas dunia dan neraka



p/s: puisi ni di tulis di restoran Ahamed, belakang hotel vistana jalan ipoh. waktu itu matahari tengah panas meremang. waktu-waktu panas begini akak kat ofis aku mintak tolong pergi kutip duit hutang kereta 'customer' yang sudah 4 bulan tak bayar.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...