Sunday, February 25, 2007

hidupku akan kosong tanpa mereka-mereka ini


Posted by Picasa

Aku Belum Tentu Datang

Belum tentu lagi aku datang
Untuk memungut ranjang-ranjang cinta kita dahulu
Yang terperangkap dalam sangkar kasmaran
Membuhul rindu yang membungkam jiwa
Saat kucuba menepis hembusan pawana paksina
Membawaku larut dalam bejana penuh air mata
Ini mungkin helahku
Atau rusuh atmaku
Yang berombak memukul tenggara lautan

Dan aku belum tentu lagi untuk datang
Melawati mekar ros merah
Yang gugur kelopaknya persatu
Dilaman nurani

Saturday, February 24, 2007

......dan kita masih berdiskusi

FORT CAMPBELL, Amerika Syarikat (AS) 23 Feb. – Mahkamah tentera di sini menjatuhkan hukuman 100 tahun penjara ke atas seorang askar yang didapati bersalah merogol seorang gadis Iraq dan membunuh gadis itu serta ahli keluarganya, tahun lalu.

i.
Sampai bila umat Islam asyik berdiskusi di meja bulat. Sampai bila kita mahu menunggu keputusan kuartet mengekang keganasan ke atas umat Islam. Dan benarlah sabda Nabi.....Umat Islam ibarat buih di lautan, yang hilang apabila dihempas ombak........

Tuesday, February 20, 2007

Info Trafik

Trafik bergerak perlahan dari persimpangan Rawang ke lebuhraya utara selatan dan susur keluar ke plaza tol Tanjung Malim dan plaza tol Jelapang. Pasukan peronda PLUS melaporkan terdapat kemalangan di kilometer 20 berhampiran plaza tol Jelapang antara sebuah lori trailer dan sebuah kereta kancil. Kedua-dua kenderaan tersebut telah di alihkan ke bahu jalan. Para pengguna lebuhraya dinasihati agar meneruskan perjalanan dan tidak berhenti di bahu jalan.

Di ibu kota Kuala Lumpur trafik bergerak lancar di kedua-dua arah antara jalan Raja Laut menuju ke Dataran Merdeka, jalan Tun Razak ke Bulatan Pahang, Jalan Imbi ke Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tampler ke susur keluar Jalan Klang lama. Kenderaan bergerak perlahan di plaza tol Sungai Besi ke Seremban namun trafik dilaporkan masih terkawal.

Info trafik akan keudara setengah jam dari sekarang. Para pemandu di nasihati agar berhati-hati ketika memandu dan awasi jarak kenderaan anda. Selamat tahun baru cina.

Info trafik ini di bawa oleh Syarikat Logistic Ah- Beng dan rakan-rakan. Segalanya pasti sampai dengan Ah-Beng logistik.


Friday, February 16, 2007

Di Kota Sejarah Ini













Di kota sejarah ini
Di kota yang setiap pasir dan batunya
Adalah sirah agung
Samawi yang menampung Arasy mulia
Serta mahsul bumi yang membuhul barakah

Di kota sejarah ini
Tercatat di setiap dinding-dindingnya
Momen-momen indah
Saat kiblat kearahmu
Sujud memandang setiap rinci kota
Namun dirempuh prahara jua
Segerombolan penjarah mampir menodai kota suci ini
Akhirnya tinggal cuma puing-puing sengsara


Setiap kali memandang kota sejarah ini
Hati tersentuh
Melihat kubahmu
Yang terkopek satu-persatu
Bersama-sama maruah yang tercalar


Kota ini yang tinggal sejarah
Bersama selembar cinta yang terpotong
Mendepani rohmu ke rahang langit
Betapa pijarnya sengsara
Merah darah yang takkan kering
Dan kepongahan manusiawi yang luluh

Nun di sudut kota sana
Al-aqsa melihat jauh-jauh
Pada setiap pasir dan batunya
Sambil meneguk selautan airmata
Dengan mata yang kian bundar
Yang lelah dan kewalahan

Palestina
Kota suci yang tinggal sejarah

Wednesday, February 07, 2007

Panas


Panas
Meremang
Pagi hingga petang
Peluh pijar yang menitik
Dari liang-liang roma

Begitupun ada orang kata
Ini Panas dunia
Neraka lagi panas

Memang ini panas dunia
Ciptaan Tuhan
Untuk kita insafi
Bukan buat perbandingan
Panas dunia dan neraka



p/s: puisi ni di tulis di restoran Ahamed, belakang hotel vistana jalan ipoh. waktu itu matahari tengah panas meremang. waktu-waktu panas begini akak kat ofis aku mintak tolong pergi kutip duit hutang kereta 'customer' yang sudah 4 bulan tak bayar.



Tuesday, February 06, 2007

Gebar Putih

Gebar putih

Yang menyelimuti susuk tubuh

Waktu angin dingin menerpa dari paksina

Langsung menusuk ke liang-liang roma

Musim sejuk bulan disember

Menukar alpa ini

Menjadi banjir resah

Hanyut di bawa derita seabad


Gebar putih

Tempat pemanas badan

Dari sejuk yang menyucuk

Saturday, February 03, 2007

Akulah Perang Itu

Akulah perang itu

Yang mengembangkan sayap dendam

Memancung setiap jiwa yang bebas

Membawa berbondong-bondong sengsara nestapa


Akulah perang itu

Nafasku tegar

Bercampur amarah yang merah

Anjing serigala bersahutan

Memanggil malaikatul maut ke sini!


Akulah perang itu

Cabut segala akar yang terpasak

Datanglah jentaka dari langit meragut nirmala

Lalu bersiponggang yang hidup

Mencari teduh

Sedang keliling cuma puing-puing saja


Akulah perang itu

Termaktub dalam kitab-kitab sejarah

Berjilid-jilid tersusun

Di kutub khannah sengsara

Tinggal namaku

Terlipat dalam salah satu bab

Bahwa aku takkan mati!


Setiap hari yang datang

Aku hadir dengan darah merah

Tidak mengenal siapa

Di muncung mesiu itu

Friday, February 02, 2007

Perang Trojan

Troy. Filem ini mungkin telah basi. Ditayangkan kalau tidak silap aku dua tiga tahun lepas. Namun baru semalam pertama kali aku menonton filem ini, pastinya dari DVD lanun cetak rompak yang aku beli di Summit USJ.(baca: persetankan dengan slogan beli yang original).

Troy ialah kisah perang. Itulah yang didendangkan oleh penyair buta Homer, merentas masa beribu tahun dahulu. Homer si penyair melagukan syair perang ini bersama watak-watak adiwiranya, Archilles, Hector, Agamemon, Oddysseus, Menelaus dan sebagainya. Sejak dahulu perang berkisar soal kekuasaan, keagungan, maruah bangsa, dan juga seputar soal cinta. Dan segalanya terangkum menjadi satu oleh Homer dalam The Illiad.

Cinta memerlukan pengorbanan. Pengorbanan yang menuntut jiwa sebagai galang gantinya. Cinta Paris putera Priam dari Troy, dan Helen, perempuan tercantik yang berkahwin dengan raja Menelaus dari Sparta. Cinta yang akhirnya bertukar perang, setelah Paris melarikan Helen dengan rela hati ke Troy. Maka dari itu bermulanya perang trojan, perang antara Greek dan Troy. Menelaus bukan setakat mahu mengembalikan maruah yang tercalar oleh tindakan Paris putera Priam melarikan permasurinya, tetapi menjadikan alasan untuk menakluk Troy yang sekian lama diidamnya. Troy memang cukup ampuh dengan kotanya, dengan pasukan pemanahnya yang diberkati dewa Apollo. Dan itu Menelaus memerlukan Archilles wira separa dewa untuk memenuhi cita-citanya

Archilles putera Peleus. Namanya cukup tenar serata Greek. Manusia separa dewa ini tidak pernah tumpas dalam apa-apa perang sekalipun. Archillis memang dilahirkan untuk berperang. Namun tidak dibawah telunjuk raja-raja Greek yang gila kuasa. Archilles berperang untuk Greek, bukan untuk raja-rajanya. Archilles mahu diingati sebagai pahlawan agung, dan perginya ke troy bukan setelah dibujuk Oddysseus tetapi untuk diingati sebagai pahlawan agung dalam sejarah. Ibunya dewi thetis mengingatkan archillis, dia boleh tinggal di greek, berkahwin dan beranak-cucu di sini, atau ke troy dan mati sebagai pahlawan agung.

Setelah Archilles membunuh Hektor, sang wira dan jeneral troy, pertahanan kota menjadi lemah. Lalu dalam satu malam kota troy habis dilanggar bala tentera Greek. Troy ditawan Sparta. Namun takkala perang sudah di penghujung, putera Paris mencabut busurnya lalu memanah tepat ke tumit Achilles. Archilles gugur di situ. Memang benar namanya tidak akan putus disebut orang. Hingga kini.

p/s: setelah Arcilles dilahirkan ibunya, dewi Thetis, mencelupkannya ke dalam sungai Styx. Kerana takut Archilles hanyut di bawa arus, Thetis memegang tumit dan pergelangan kaki takkala membenam archilles ke dalam sungai. Seluruh tubuh Archilles yang dibasahi air sungai Styx akan menjadi kebal, melainkan tumit Archilles.

Thursday, February 01, 2007

Insaf

Keinsafan itu lahir dari hati. Iya. Hati yang penuh penyesalan. Keinsafan dapat diasosiasikan dengan taubat. Rasa insaf membuatkan diri dipanggil untuk bertaubat. Insaf datang dari rasa bersalah (baca: Dosa). Dosa. cuma 4 aksara. Pendek. Tetapi makna dosa bukan sekadar 4 aksara tersebut. Dosa satu esei yang panjang. Perjalanan yang punya sejarahnya sendiri dalam ketamadunan manusia. Qabil sanggup memutuskan jiwa saudaranya Habil lantaran rasa iri dalam hati. Itu dosa kedua manusia selepas Adam memakan Khuldi terlarang.

Tuesday, January 30, 2007

Balik Awal

Memang janggal kalau ada mereka yang balik awal dari pejabat. Paling awalpun sejam selepas waktu pejabat. Selalunya 5.45 petang keadaan masih riuh-rendah. Macam-macam bunyi. Dari bunyi deringan talifon, ketukan keyboard komputer dan mesin taip, suara orang menyumpah selepas kena marah dengan pelanggan atau merungut macam mana nak cari bisnes bulan depan dan bla, bla, bla, bla. Kalau sape-sape mamat atau minah yang balik awal tu sah sah kena cop takde komitmen dengan kerja. Begitulah keadaannya kalau jadi 'bankers' macam aku. Semua orang sebuk, atau kena buat-buat sebuk sebab kalau tak buat-buat sebuk orang kata kita tak buat kerja.
Tapi hari ini semua kena balik awal. TNB datang nak 'repair' apa kejadah aku tak tahu. Dan ini suatu yang luar biasa. Ofis kosong seawal pukul 6 suku!!!!!!

Sunday, January 28, 2007

Balasungkawa: Syed Hussein Alatas

Balasungkawa atas permergian Allahyarham Prof Syed Hussein Alatas yang ke rahmatullah pada 23 Januari 2007. Moga rohnya dicucuri Allah azzawajalla. Al-fatihah.

Sunday, January 21, 2007

Berlian Berdarah

Afrika. Benua singa dan cheetah. Juga tanah leluhur mereka yang kita gelar sebagai negro, bangsa berkulit hitam. Begitu juga manusianya, benua ini juga penuh dengan sejarah hitam. Perang, kebuluran, pelarian, serta segala macam onar yang menggugat kemanusian.

Itulah yang digambarkan oleh Edward Zwick(Glory dan The Last Samurai) dalam lewat filem terbaru arahannya, ‘Blood Diamond’. Nyatanya filem ini penuh provokasi, membongkar dunia kapitalis yang sedaya mungkin mengaut keuntungan daripada perdagangan berlian di daerah konflik afrika, dengan mengambil latar perang sivil yang melanda Sierra Leone pada tahun 1999. Ribuan nyawa menjadi taruhan serta jutaan lagi menjadi pelarian, anak-anak yang masih bocah ditangkap dan dilatih menjadi tentera yang ganas.

Blood Diamond adalah sebuah fiksyen garapan penulisnya Charles Leavitt, mengenai seorang nelayan, Solomon Vandy (Djimon Hounsou) dan Danny Archer (DiCaprio), seorang bekas misioneri yang bergelandangan serata afrika menjadi penyeludup berlian untuk kelangsungan hidup. Solomon pada mulanya hidup bahagia bersama isteri dan anak-anaknya, hinggalah pemberontak militia RUF menceroboh kampungnya dan langsung ditangkap untuk dijadikan hamba di lombong berlian. Danny pula punya sejarah hitam dalam hidupnya. Lahir di Rhodesia (kini Zimbabwe). Ibunya dirogol militia dihadapan mata dan bapanya dipenggal dan digantung di bangsal rumahnya. Segalanya berlaku waktu Danny berumur 9 tahun.

Di lombong itu Solomon ditemukan dengan sebutir berlian berwarna merah muda sebesar telur burung, dan ia akhirnya menjadi tiket untuk mengembalikan semula keluarganya yang terpisah. Waktu lombong tersebut di serang tentera kerajaan, Solomon disumbat di penjara, dan di situ dia dipertemukan dengan Danny. Danny menawarkan diri untuk membawa Solomon kembali kepangkuan isteri dan anaknya, dengan berlian merah sebagai cagaran. Dengan bantuan daripada Maddy Bowen (Connelly), wartawan Amerika yang mahu merungkai kegiatan konflik berdarah di afrika, Solomon dipertemukan semula dengan isteri dan anaknya, tetapi malang anak lelakinya, Dia, telah ditangkap oleh pemberontak militia. Dan Danny tiada jalan lain selain terpaksa membantu Solomon mencari anaknya dahulu sebelum berlian bertukar tangan.

Konflik ini langsung sama mengheret Maddy. Namun Maddy juga punya misi sendiri. Menyelongkar kegiatan perdagangan haram berlian sebuah syarikat antarabangsa yang mengeksploitasi harga berlian dunia. Caranya adalah dengan mengumpul stok berlian yang diperolehi hasil dari kegiatan penyeludupan, dan Danny menjadi orang tengah dalam urusan penyeludupan tersebut. Maddy muak dengan menjaja berita-berita sedih penderitaan penduduk afrika untuk tujuan komesial. Bagi maddy informasi sudah bertukar menjadi informatalis. Tiada jalan lain melainkan dengan mencari bukti untuk membongkar aktiviti sindikit tersebut, dan Danny adalah kuncinya.

Blood Diamond memaparkan kisah kepongahan manusia yang tidak berkesudahan. Kerajaan yang korup, pemberontak yang ganas. Kemanusian sudah dimakamkan. Yang hidup adalah rasa haloba, nafsu kuasa yang tidak putus. Afrika akan sentiasa dirundung malang, dan dosa yang tak tertebus.

Dan akhirnya Danny Archer mati untuk menebus dosa silamnya. Sambil tersenyum buat kali terakhir menatap bumi malang afrika.

Friday, January 19, 2007

Doa Awal Tahun

Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihan-Mu yang Maha Agung dan kemurahan-Mu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun ini aku memohon kepada-Mu perlindungan daripada syaitan yang direjam, dari sekalian kuncunya, tenteranya dan penolongnya. Aku juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diriku kepada-Mu.

Doa Akhir Tahun

Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan larangan-Mu tetapi aku masih belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azab-Mu yang telah ditetapkan kepadaku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat dari kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dari-Mu, ampunilah aku dan apa yang telah aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redhai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya daripada Engkau. Ya Allah, Ya Karim, Ya Zaljalali Wal Ikram.

Monday, January 15, 2007

Gelora









Gemerincing suara

Dengusan sukma

Berpusar di laman nyali

Keringat yang tumpah

Pada tampang jidatnya


Keriuhan bersiponggang

Berkocak kesalan

Keharuan menatang mendung

Dari seberkas lukalara yang pijar


Gelora ini menikam jantung

Bertemali mengikat mimpi

Dan jaga tak keruan

Pada bisikan yang lirih

Agar doaku terapung kelangit tuhan

Menitip maksud maknawi

Sunday, January 14, 2007

Jembalang 3 - Finale

Sampai hari ini, sudah 2 hari jembalang laknat tu tak muncul. Selepas aku sergah dia main PS2 aku kelmarin terus saja hilang. Dan akhirnya kehidupan aku kembali normal seperti biasa. Bangun pagi kepejabat, dan pulang seusai sore. Cukuplah dengan masaalah di pejabat yang ruwet itu, mahu ditambah lagi kehadiran jembalang yang menganggui hidup aku.

Hari ini hari ahad. Hari bangun lambat, hari basuh dan gosok baju. Tapi ahad yang datang kali ini muram, suram, kolong langit mendung dengan awan hitam. Suria seakan mahu tergelincir dari lintasannya. Jam pukul 9 pagi. Kesejukan menjadi batu yang menghempap diri. Tiada daya untuk bangun. Dan dalam keenakkan itu, pintu rumahku diketuk beberapa kali. Aku biarkan saja. Rakan-rakan aku yang bergelimpangan di hadapan tv (selepas menonton siaran langsung EPL arsenal vs blackburn. Arsenal menang 2-0) mungkin akan terjaga membuka pintu. Ah! Bunyi makin kuat. Macam nak runtuh pintu rumah aku.

Aku menyumpah-nyumpah untuk bangun. Budak-budak rumah masih asyik dengkurnya. Aku buka pintu. Tiada orang. Cuma ada satu bungkusan kecil di lantai simen. Aku bawa masuk dan terus koyakkan. Ada satu anak kunci dan sekeping kartu yang berlipat di dalamnya. Aku pegang kunci itu dan aku baca apa yang tertulis di atas kartu itu.

‘Terima kasih saudara kerana dapat menumpang menginap di rumah saudara 2-3 hari lepas. Kediaman kami di atas bukit sana habis ditarah homosepian (dan saya tahu saudara ni manusia, dan bukan homosepien, jauh sekali homoseksual). Syukur paspot saya sudah siap, dan saya serta keluarga sedang dalam perjalanan ke Hutan Belum (setelah mendapat kelulusan dari pihak berwajib untuk menetap disana). Di sini saya serahkan semula kunci pendua rumah saudara. Maaf atas segala kesulitan, dan maafkan anak saya kerana bermain PS2 saudara tanpa permisi. Terima kasih. – Dari Jembalang bukit gondol sekeluarga.’

Aku melipat semula kartu tersebut, dan mendengus panjang............

Wednesday, January 10, 2007

Jembalang 2

Jembalang yang muncul di pintu bilik aku pagi semalam masih jadi jadi tanda tanya. Entah spesis jembalang apa aku tak tahu. Mungkin jembalang tanah, atau jembalang sungai, atau jembalang busut. Yang pasti rambutnya panjang, seperti yang aku cerita semalam persis macam ozzy osborne.
Hari ini aku pulang lewat dari pejabat. Banyak kerja. Itu nak cepat, Ini nak cepat. Akhir sekali aku berambus macam tu saja. Lantaklah! Esok aku sambung. Sampai depan pintu rumah aku rasa semacam. Pintu tak berkunci.
hoi! sial! apa kau buat dengan PS2 aku hah!
(dan jembalang laknat tu tengah asyik layan winning eleven#@$%^#)

Tuesday, January 09, 2007

Jembalang

Entah apa yang merasuk aku pagi tadi, dan entah jembalang mana yang transit ke bilik aku pagi tadi. Aku mamai lagi waktu itu. Semuanya masih berbalam-balam ingatan aku. Tingginya lebih kurang lapan kaki, dan rambutnya panjang mengurai macam ozzy osborne. Aku tegur dia. Senyap. Tiada suara selain dengusan nafas busuknya. kacau. Aku cuba datang dekat. Semakin dekat aku merapatinya selangkah dia berundur. Dan aku dekat lagi, dia undur lagi, dekat lagi, undur lagi. Ah! memang dasar jembalang!. Lambat lagi aku ke pejabat. Celaka kau jembalang!.

Saturday, January 06, 2007

Tahun Baru Yang Tipikal

Tahun baru yang tipikal. Tiada yang istimewa. Dunia yang rosak ini dan sedang menunggu datangnya al-masih. Penyelamat yang dapat menukar kegelapan kepada cahaya yang terang. Ataupun ia cuma metos dan omongan buat mereka yang lemah!

Menunggu al-masih adalah untuk mereka yang lemah. Kemenangan tidakkan datang bergolek tanpa daya usaha. Dan al-masih masih tetap bersemayam di maqamnya, sambil mengeleng melihat kita di ratah tanpa ada usaha untuk bangkit mahu melawan.

Tahun baru ini disambut secara dual dengan idul adha. Ah! Suatu yang malang. Idul adha pasti dilupai, waktu ramai yang berpusu-pusu menjadi penonton pertunjukan bunga api di tengah kota. Sedang waktu ketika ini arafah meriah menyambut tetamu Tuhan. Laibakala humma laibaik. Tiada yang lebih indah dari menyambut panggilan tuhan.

Dalam dual perayaan yang kita sambut, ada satu lagi peristiwa yang berselisihan antara keduanya. Saddam maut di tali gantung. Menghembuskan nafas akhirnya di bumi malang iraq. Noktah buat diktator yang pernah memerintah negara seribu satu malam, kaya dengan emas hitam, juga kisah hitam rakyat, berlarutan hingga kini. Mahu apa lagi kita tangisi! Saddam memang layak digantung atas dosa kelmarin, tapi layakkah kita bercakap soal dosa pahala. Nasionalis saddam tinggi, lebih tinggi dari taman tergantung babylon. Umat arab kehilangan seorang pemimpin pemberani yang amat ditakuti israel (kalaulah ahmaninejad berbangsa arab dan iran sebahagian dari dunia arab).

Mahu apa lagi di tangisi. Masih menunggu al-masih?.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...