
Wednesday, April 04, 2007
Tuesday, April 03, 2007
Hujan
Tuesday, March 27, 2007
renyah
hidup ini memang renyah. masa kecil dulu renyahnya lain. dah besar lain pula renyahnya. inilah transisi dalam hidup. semakin kita besar makin banyak perkara yang harus kita pilih. dan membuat pilihan adalah suatu yang paling renyah dalam hidup
Tuesday, March 20, 2007
Rayuan
Rayuan ini yang tidak sudah-sudah
Terpancul dari setiap rongga kata
Adakah cukup metari membakar siang
Dan pawana yang menggigit belulang
Bersama jari-jemari
yang kutadah ke dada langit
kuhamparkan permadani indah
buatku sujud sekali lagi
dalam khusyuk dan redho-mu
aku merayu pada-Mu Tuhan
ditunjuki setiap langkah kakiku
simpang-siur perjalanan ini
dengan rahmat dan petunjuk-Mu
Thursday, March 15, 2007
Marah
Tadi di kantor datang satu pelanggan. marah betul dia pada aku sebab minta dia bayar 1 bulan dulu duit tunggakkan kereta kalau mahu ambil cukai jalan. habis dihamunnya aku depan orang ramai. menyirap juga darah aku. tapi orang macam ni kalau dilayan, lagi dia naik angin. aku diamkan sahaja. aku cakap ini prosedur dan tak boleh buat apa-apa. akaun dah tertunggak 4 bulanlah 'bro'. lepas dia melalak aku berlalu pergi buat kerja aku, dari melayan orang yang tak tentu arah macam ini. ah! bukan pertama kali. sebelum ini dah macam-macam kerenah pelanggan aku hadapi. aku faham. dengan kondisi sekarang ini ramai orang tertekan. dan tekanan buat orang ramai yang hilang pertinbangan.
marah 2
pulang dari kantor aku singgah sebentar kat medan selera belakang rumah aku, tempat biasa aku beli lauk makan malam. hari ini lain sikit. suami makcik yang masak tu ada di gerai dan keadaannya tampak tegang. kesian makcik tu kena maki hamun dengan suaminya. habis di carutnya. si amah yang tolong makcik tu niagapun kena sekali. kesian makcik tu. anak-anak ramai. kecil-kecil pula tu. macam tak terurus. kerja sampai malam. si suami baran tak tentu fasal.
Tuesday, March 13, 2007
Tepu?!%$#@&
Gua?
Gua okey. Mental gua masih okey, masih berfungsi, sama seperti enzim-enzim dalam badan gua. Neuron-neuron tetap berjalan macam biasa. Gua sihatlah woi.......Sape kate gua sakit.....
Sebetulnya aku tengah menghadam satu buku. 'Kebangkitan Freemason & Zionis di Indonesia'. Buku ini berat. Perlu perhatian yang lebih. Juga buat aku seram. Lebih seram dari puaka tebing biru. Seperti kata pengantar 'jangan-jangan kita sudah menjadi mason tanpa menyedarinya'.
Saturday, March 03, 2007
Ibu
Ku lukis wajah ibu
Dari belahan rinduku
Benar ibu telah tua
Sudah renta dimamah usia
Namun rias wajah ibu
Yang berlingkar seribu kedutan
Masih tetap segar
Penuh harapan
Membuhul demi anak-anak
Waima semuanya bukan lagi si kecil bocah
Kasihnya tidak pernah surut
Sayangnya tidak pernah luput
Seperti metari pagi tetap pegun bersinar
Syukur ibu masih sempat
Lihat anak-anaknya membesar
Menggalas amanah gemulah bapak
Yang mengantar aku
Ke rahim ibuku
Sunday, February 25, 2007
Aku Belum Tentu Datang
Belum tentu lagi aku datang
Untuk memungut ranjang-ranjang cinta kita dahulu
Yang terperangkap dalam sangkar kasmaran
Membuhul rindu yang membungkam jiwa
Saat kucuba menepis hembusan pawana paksina
Membawaku larut dalam bejana penuh air mata
Ini mungkin helahku
Atau rusuh atmaku
Yang berombak memukul tenggara lautan
Dan aku belum tentu lagi untuk datang
Melawati mekar ros merah
Yang gugur kelopaknya persatu
Dilaman nurani
Saturday, February 24, 2007
......dan kita masih berdiskusi
i.
Sampai bila umat Islam asyik berdiskusi di meja bulat. Sampai bila kita mahu menunggu keputusan kuartet mengekang keganasan ke atas umat Islam. Dan benarlah sabda Nabi.....Umat Islam ibarat buih di lautan, yang hilang apabila dihempas ombak........
Tuesday, February 20, 2007
Info Trafik
Trafik bergerak perlahan dari persimpangan Rawang ke lebuhraya utara selatan dan susur keluar ke plaza tol Tanjung Malim dan plaza tol Jelapang. Pasukan peronda PLUS melaporkan terdapat kemalangan di kilometer 20 berhampiran plaza tol Jelapang antara sebuah lori trailer dan sebuah kereta kancil. Kedua-dua kenderaan tersebut telah di alihkan ke bahu jalan. Para pengguna lebuhraya dinasihati agar meneruskan perjalanan dan tidak berhenti di bahu jalan.
Di ibu kota Kuala Lumpur trafik bergerak lancar di kedua-dua arah antara jalan Raja Laut menuju ke Dataran Merdeka, jalan Tun Razak ke Bulatan Pahang, Jalan Imbi ke Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tampler ke susur keluar Jalan Klang lama. Kenderaan bergerak perlahan di plaza tol Sungai Besi ke Seremban namun trafik dilaporkan masih terkawal.
Info trafik akan keudara setengah jam dari sekarang. Para pemandu di nasihati agar berhati-hati ketika memandu dan awasi jarak kenderaan anda. Selamat tahun baru cina.
Info trafik ini di bawa oleh Syarikat Logistic Ah- Beng dan rakan-rakan. Segalanya pasti sampai dengan Ah-Beng logistik.
Friday, February 16, 2007
Di Kota Sejarah Ini

Di kota sejarah ini
Di kota yang setiap pasir dan batunya
Adalah sirah agung
Samawi yang menampung Arasy mulia
Serta mahsul bumi yang membuhul barakah
Di kota sejarah ini
Tercatat di setiap dinding-dindingnya
Momen-momen indah
Saat kiblat kearahmu
Sujud memandang setiap rinci kota
Namun dirempuh prahara jua
Segerombolan penjarah mampir menodai kota suci ini
Akhirnya tinggal cuma puing-puing sengsara
Setiap kali memandang kota sejarah ini
Hati tersentuh
Melihat kubahmu
Yang terkopek satu-persatu
Bersama-sama maruah yang tercalar
Kota ini yang tinggal sejarah
Bersama selembar cinta yang terpotong
Mendepani rohmu ke rahang langit
Betapa pijarnya sengsara
Merah darah yang takkan kering
Dan kepongahan manusiawi yang luluh
Nun di sudut kota sana
Al-aqsa melihat jauh-jauh
Pada setiap pasir dan batunya
Sambil meneguk selautan airmata
Dengan mata yang kian bundar
Yang lelah dan kewalahan
Palestina
Kota suci yang tinggal sejarah
Wednesday, February 07, 2007
Panas

Panas
Meremang
Pagi hingga petang
Peluh pijar yang menitik
Dari liang-liang roma
Begitupun ada orang kata
Ini Panas dunia
Neraka lagi panas
Memang ini panas dunia
Ciptaan Tuhan
Untuk kita insafi
Bukan buat perbandingan
Panas dunia dan neraka
Tuesday, February 06, 2007
Gebar Putih
Gebar putih
Yang menyelimuti susuk tubuh
Waktu angin dingin menerpa dari paksina
Langsung menusuk ke liang-liang roma
Musim sejuk bulan disember
Menukar alpa ini
Menjadi banjir resah
Hanyut di bawa derita seabad
Gebar putih
Tempat pemanas badan
Dari sejuk yang menyucuk
Saturday, February 03, 2007
Akulah Perang Itu
Akulah perang itu
Yang mengembangkan sayap dendam
Memancung setiap jiwa yang bebas
Membawa berbondong-bondong sengsara nestapa
Akulah perang itu
Nafasku tegar
Bercampur amarah yang merah
Anjing serigala bersahutan
Memanggil malaikatul maut ke sini!
Akulah perang itu
Cabut segala akar yang terpasak
Datanglah jentaka dari langit meragut nirmala
Lalu bersiponggang yang hidup
Mencari teduh
Sedang keliling cuma puing-puing saja
Akulah perang itu
Termaktub dalam kitab-kitab sejarah
Berjilid-jilid tersusun
Di kutub khannah sengsara
Tinggal namaku
Terlipat dalam salah satu bab
Bahwa aku takkan mati!
Setiap hari yang datang
Aku hadir dengan darah merah
Tidak mengenal siapa
Di muncung mesiu itu
Friday, February 02, 2007
Perang Trojan
Troy. Filem ini mungkin telah basi. Ditayangkan kalau tidak silap aku dua tiga tahun lepas. Namun baru semalam pertama kali aku menonton filem ini, pastinya dari DVD lanun cetak rompak yang aku beli di Summit USJ.(baca: persetankan dengan slogan beli yang original).
Troy ialah kisah perang. Itulah yang didendangkan oleh penyair buta Homer, merentas masa beribu tahun dahulu. Homer si penyair melagukan syair perang ini bersama watak-watak adiwiranya, Archilles, Hector, Agamemon, Oddysseus, Menelaus dan sebagainya. Sejak dahulu perang berkisar soal kekuasaan, keagungan, maruah bangsa, dan juga seputar soal cinta. Dan segalanya terangkum menjadi satu oleh Homer dalam The Illiad.
Cinta memerlukan pengorbanan. Pengorbanan yang menuntut jiwa sebagai galang gantinya. Cinta Paris putera Priam dari Troy, dan Helen, perempuan tercantik yang berkahwin dengan raja Menelaus dari Sparta. Cinta yang akhirnya bertukar perang, setelah Paris melarikan Helen dengan rela hati ke Troy. Maka dari itu bermulanya perang trojan, perang antara Greek dan Troy. Menelaus bukan setakat mahu mengembalikan maruah yang tercalar oleh tindakan Paris putera Priam melarikan permasurinya, tetapi menjadikan alasan untuk menakluk Troy yang sekian lama diidamnya. Troy memang cukup ampuh dengan kotanya, dengan pasukan pemanahnya yang diberkati dewa Apollo. Dan itu Menelaus memerlukan Archilles wira separa dewa untuk memenuhi cita-citanya
Archilles putera Peleus. Namanya cukup tenar serata Greek. Manusia separa dewa ini tidak pernah tumpas dalam apa-apa perang sekalipun. Archillis memang dilahirkan untuk berperang. Namun tidak dibawah telunjuk raja-raja Greek yang gila kuasa. Archilles berperang untuk Greek, bukan untuk raja-rajanya. Archilles mahu diingati sebagai pahlawan agung, dan perginya ke troy bukan setelah dibujuk Oddysseus tetapi untuk diingati sebagai pahlawan agung dalam sejarah. Ibunya dewi thetis mengingatkan archillis, dia boleh tinggal di greek, berkahwin dan beranak-cucu di sini, atau ke troy dan mati sebagai pahlawan agung.
Setelah Archilles membunuh Hektor, sang wira dan jeneral troy, pertahanan kota menjadi lemah. Lalu dalam satu malam kota troy habis dilanggar bala tentera Greek. Troy ditawan Sparta. Namun takkala perang sudah di penghujung, putera Paris mencabut busurnya lalu memanah tepat ke tumit Achilles. Archilles gugur di situ. Memang benar namanya tidak akan putus disebut orang. Hingga kini.
p/s: setelah Arcilles dilahirkan ibunya, dewi Thetis, mencelupkannya ke dalam sungai Styx. Kerana takut Archilles hanyut di bawa arus, Thetis memegang tumit dan pergelangan kaki takkala membenam archilles ke dalam sungai. Seluruh tubuh Archilles yang dibasahi air sungai Styx akan menjadi kebal, melainkan tumit Archilles.
Thursday, February 01, 2007
Insaf
Tuesday, January 30, 2007
Balik Awal
Tapi hari ini semua kena balik awal. TNB datang nak 'repair' apa kejadah aku tak tahu. Dan ini suatu yang luar biasa. Ofis kosong seawal pukul 6 suku!!!!!!
Sunday, January 28, 2007
Sunday, January 21, 2007
Berlian Berdarah
Afrika. Benua singa dan cheetah. Juga tanah leluhur mereka yang kita gelar sebagai negro, bangsa berkulit hitam. Begitu juga manusianya, benua ini juga penuh dengan sejarah hitam. Perang, kebuluran, pelarian, serta segala macam onar yang menggugat kemanusian.
Itulah yang digambarkan oleh Edward Zwick(Glory dan The Last Samurai) dalam lewat filem terbaru arahannya, ‘Blood Diamond’. Nyatanya filem ini penuh provokasi, membongkar dunia kapitalis yang sedaya mungkin mengaut keuntungan daripada perdagangan berlian di daerah konflik afrika, dengan mengambil latar perang sivil yang melanda Sierra Leone pada tahun 1999. Ribuan nyawa menjadi taruhan serta jutaan lagi menjadi pelarian, anak-anak yang masih bocah ditangkap dan dilatih menjadi tentera yang ganas.
Blood Diamond adalah sebuah fiksyen garapan penulisnya Charles Leavitt, mengenai seorang nelayan, Solomon Vandy (Djimon Hounsou) dan Danny Archer (DiCaprio), seorang bekas misioneri yang bergelandangan serata afrika menjadi penyeludup berlian untuk kelangsungan hidup. Solomon pada mulanya hidup bahagia bersama isteri dan anak-anaknya, hinggalah pemberontak militia RUF menceroboh kampungnya dan langsung ditangkap untuk dijadikan hamba di lombong berlian. Danny pula punya sejarah hitam dalam hidupnya. Lahir di Rhodesia (kini Zimbabwe). Ibunya dirogol militia dihadapan mata dan bapanya dipenggal dan digantung di bangsal rumahnya. Segalanya berlaku waktu Danny berumur 9 tahun.
Di lombong itu Solomon ditemukan dengan sebutir berlian berwarna merah muda sebesar telur burung, dan ia akhirnya menjadi tiket untuk mengembalikan semula keluarganya yang terpisah. Waktu lombong tersebut di serang tentera kerajaan, Solomon disumbat di penjara, dan di situ dia dipertemukan dengan Danny. Danny menawarkan diri untuk membawa Solomon kembali kepangkuan isteri dan anaknya, dengan berlian merah sebagai cagaran. Dengan bantuan daripada Maddy Bowen (Connelly), wartawan Amerika yang mahu merungkai kegiatan konflik berdarah di afrika, Solomon dipertemukan semula dengan isteri dan anaknya, tetapi malang anak lelakinya, Dia, telah ditangkap oleh pemberontak militia. Dan Danny tiada jalan lain selain terpaksa membantu Solomon mencari anaknya dahulu sebelum berlian bertukar tangan.
Konflik ini langsung sama mengheret Maddy. Namun Maddy juga punya misi sendiri. Menyelongkar kegiatan perdagangan haram berlian sebuah syarikat antarabangsa yang mengeksploitasi harga berlian dunia. Caranya adalah dengan mengumpul stok berlian yang diperolehi hasil dari kegiatan penyeludupan, dan Danny menjadi orang tengah dalam urusan penyeludupan tersebut. Maddy muak dengan menjaja berita-berita sedih penderitaan penduduk afrika untuk tujuan komesial. Bagi maddy informasi sudah bertukar menjadi informatalis. Tiada jalan lain melainkan dengan mencari bukti untuk membongkar aktiviti sindikit tersebut, dan Danny adalah kuncinya.
Blood Diamond memaparkan kisah kepongahan manusia yang tidak berkesudahan. Kerajaan yang korup, pemberontak yang ganas. Kemanusian sudah dimakamkan. Yang hidup adalah rasa haloba, nafsu kuasa yang tidak putus. Afrika akan sentiasa dirundung malang, dan dosa yang tak tertebus.
Dan akhirnya Danny Archer mati untuk menebus dosa silamnya. Sambil tersenyum buat kali terakhir menatap bumi malang afrika.


