Sunday, July 13, 2008

berpergian

mendengar bahasa jiwa
yang lembut dan tulus
terupam di tubir bibir
tiada sesal dari gelombang resah
terbang aku
dari sayap-sayap cenderawasih
suara nyaring sang pencinta
bersiulan dari bicara
dan hati menengadah
pada detaknya
berlimpah cahaya indah

aku akan berpergian seminggu lagi. entah apa lagi rencamnya. gapura ini juga terhenti sementara untuk seminggu ini. insyaAllah gapura ini akan aku buka semula nanti.

Friday, July 11, 2008

di sini bermula susur perjalanan

ada meja kecil di tepi tingkap. ada suara cicip beburung di dahan luar. pawana menghembus dingin. sayup dikejauhan menghijau belantara. ruas pandang saya tertancap pada keindahan ini. lari dari hiruk-pikuk manusia dan seputarnya yang pelbagai rencam.
noktah
berada di akademi percukaian malaysia kala saya sedang sebuk mempersiapkan segala macam untuk majlis walimah di anjung tahun nanti. rancangan telah dibuat dan disenaraikan apa yang perlu untuk keperluan majlis tersebut. tapi nampaknya yang paling sebuk adalah 'dia'. saya yakin 'dia' tahu mana yang terbaik. saya di sini pula bergelumang kembali dengan kuliah, ujian dan tugasan, memang payah rasanya untuk mengembalikan momentum untuk menelaah semula seperti di kampus dahulu. namun perjalanan ini perlu diteruskan juga. antara susur perjalanan-perjalanan yang perlu saya lalui dalam kehidupan yang singkat ini.
noktah
sore beranjak senja. peserta kursus asas perkhidmatan pegawai gred 7 lhdnm bergerak keluar dari auditorium seusai mendengar taklimat dari pihak penyelaras. suasana hingar sebentar sebelum beredar ke kamar masing-masing

Sunday, July 06, 2008

Akedemi Percukaian Malaysia

Bicara seputar senario terkini Negara kadang buat aku lelah dan penat. Politik nusa yang kian membingungkan dan harga barang yang mencanak naik. Namun dalam keributan yang jelas melanda ini, tautan mesra semakin terkapuk kukuh di hati. Mesra yang jadi eskapisme buat diri lari dari suasana yang tidak keruan ini.

Noktah

Hari ini aku akan mula melapor diri untuk kursus awalan lembaga hasil dalam negeri. Bertempat di Akademi Percukaian Malaysia, Bangi. Kursus ini akan berlanjutan hingga penghujung bulan ogos nanti. Buka semula silibus cukai yang sudah lama aku tinggalkan. Harap aku boleh fokus waima dalam kesebukan mempersiapkan majlis nanti.

Thursday, July 03, 2008

mungkin suatu hari nanti
masa akan menjadi mesra
dan pagi akan sentiasa disinari sinar
tiada lagi jentaka yang mampir
semuanya indah belaka

mungkinkah segalanya?

Friday, June 27, 2008

1 juta

ganjaran RM 1 juta buat atlet yang memenangi emas di olimpik. ditambah dengan duit pencen yang dinaikkan dari RM 3000 menjadi RM 5000.
noktah
rasional atau tidak? cuba tanya pada mak cik kiah yang jual nasi lemak di plaza pekeliling.
noktah
di luar trafik mecet menghala ke metrokota kuala lumpur. Manusia berpusu-pusu mencari rezeki buat penyambung nafas. di udara karbon monoksida terapung-apung di bawa pawana.

Wednesday, June 25, 2008

Saat itu nanti

ku katakan kepadamu
dari gemersik suara mentafsir
dalam kerinduan yang mengbungkam
menatapi sisi kasihku
dari tutur pertama
mengucap bait cinta

menyanyilah beburung
hinggap dari tudung imanmu
desah angin menitip akrab suria pagi
ku katakan padamu
saat itu nanti
pasti terlukis seribu warna

Monday, June 23, 2008

'Dia' menjadi insan yang amat sebuk sejak akhir-akhir ini. Memilih warna dan tema. Vintaj atau moden. Segalanya aku serahkan pada kebijaksanaannya. Kekadang tingkahnya buatku tersenyum. Betapa 'dia' gembira menanti saat itu nanti. Dan aku ikut serta tersenyum.

Thursday, June 19, 2008

Improvisasi

Di kantor suasana masih suram dan sunyi. Yang hingar cuma suara-suara kami yang seramai tujuh orang yang baru melapor diri ke sini. Masih belum ada bilik dan tugasan melainkan mengisi sejumlah borang yang perlu dihantar kepada bahagian khidmat pengurusan jabatan.

Noktah .

LHDN. Setiap graduan perakuanan pasti mengimpikan posisi sebagai pegawai gred 7 di sini. Mana mungkin peroleh gaji yang tinggi berbanding di jabatan-jabatan kerajaan yang lain. Hari ini di dalam suratkhabar nusa tersiar berita kemasukan seramai lebih 40 ribu orang calon ke IPTA. 40 ribu orang ini akan bergelumang dengan segala macam rencam alam universiti. Tempat memupuk daya tahan mental fizikal. Menggali seberapa banyak ilmu yang kelak bakal menyuluh masa depan. 5-6 tahun kemudian mereka akan keluar (atau mungkin juga keluar awal lantaran kandas di tengah jalan). Suasana ekonomi, sosial dan politik nusa kita mungkin akan berubah. Saat mencari kerja adalah saat yang paling ruwet sekali selepas bergelar graduan. Tidak cukup sekadar segulung ijazah yang digenggam. Di luar cabarannya lebih besar dan realis. Bukan utopia di bilik kuliah atau berlingkar dengan teori-teori kalkulus maupun keluk-keluk naik turun pasaran. Saingan kian luas dan empirikal. Dunia luar sana bergerak cukup pantas. Perlu ada nilai tambah lain.

Noktah

Laut fikir aku mengimbas 5 tahun sudah. Waktu kerja firma audit. Gaji RM600. Tinggal lembah klang. Alhamdulillah boleh bertahan. Dari situ aku menimba pengalaman. Sedikit-sedikit. Hingga saat ini. Memang perit jika mengimbau kembali waktu itu. Zaman-zaman susah dahulu. Kini aku tidak lagi menoleh kebelakang. Di depan masih ada lompong-lompong yang perlu di isi.

Noktah

Dunia kian berubah. Etos dan patos. Begitu jua isinya. Manusia seputar sedang mencari eskapisme sendiri. Sebahagian menjadi narsisis. Dan aku. Di atas sfera bumi. Cuma mencari damai hakiki.


Wednesday, June 18, 2008

pinjamkan aku nafasmu
untuk lengkapi diriku
dalam gita puja sang pencinta
kaulah hatiku
kaulah jantungku
menghapus segala sesal
sungguh
tak dapat ku bayangkan
hidup tanpamu

Tuesday, June 17, 2008

Hati

Memang benar Allah yang memiliki hati-hati manusia. Dia bisa membolak-balikkannya. Persis arus sungai yang mengalir tanpa ada yang menhempangnya. Sungguh ya Tuhan aku tidak persoalkan tentang hati yang menjadi milik-Mu itu. Kerana aku yakin masih ada siraman kasih sayang yang menyuburkan hati ini. hujan iman nantinya akan turun untuk menumbuhkan budi penyiram kasih ini. Tuhan. Hati-hati ini telah sama-sama bertaut diranting kasih-Mu. Perjalanannya kadangkala berliku-liku, namun Kau lebih mengetahui susurnya.

Saturday, June 14, 2008

selamat tinggal

Memang susah untuk menjangka apa yang terjadi dalam sisi-sisi kehidupan kita yang mendatang. Masa takkan berjeda waimapun sebentar. Ia akan terus berjalan. Berjalan menyelusuri setiap perjalanan hidup ini yang tak terhempang arusnya. Pastinya kita memilih untuk yang lebih baik dalam kehidupan kita dan yang baik-baik itu bukan selalunya datang.
Noktah.

Buat seantero warga Jabatan Pendidikan Jasmani dan Sukan, khusus buat unit kewangan. Tiada kata dapat ditutur di tubir bibir. Seloka-tawa yang menguntum buak-buak ceria, kadangkala juga nargis datang bertiup kencang. Namun itu yang menjadikan perjalanan kita di sini ada manisnya. Dan rasa manis ini akan sentiasa melekat dibibir aku selamanya. Masa akan terus berjalan. Jarum panjang dan pendek akan sentiasa berkejaran. Namun segala kenangan di sini akan sentiasa terkapuk kukuh di hati.
Noktah.

Friday, June 13, 2008

Sungguh kita alpa

Dalam satu serangan udara oleh tentera Israel di perkampungan Beit Lahiya di utara Semenanjung Gaza yang dikuasai pergerakan Hamas, tiga orang awam terbunuh manakala 40 yang lain cedera. Bangunan pula musnah. -Utusan 13/06/08
noktah
Sungguh kita alpa. Emas hitam buat kita larut dalam sengsara yang kita cipta sendiri. Dan tanpa sedar, ada lagi yang lebih sengsara. Insan-insan dura yang satu akidah, yang berkongsi tauhid dan syahadah dengan kita.
Sungguh kita alpa.

Thursday, June 12, 2008

Jimat?

hari ini aku memandu mobil ke kantor. perjalanan dari shah alam - putrajaya menyelusuri lebuhraya elite sejauh 30 km terasa amat jauh. 'dia' beritahu aku untuk menjimatkan petrol kelajuan hendaklah di bawah 100kmsj. aku cuba bereksperimen dengan teori si 'dia'. semalam aku isi RM20 = 7.4L. aku nak tengok berapa lama boleh bertahan.

Tuesday, June 10, 2008

hujan...

ironinya waktu-waktu hujan begini di bawah jambatan pasti meriah dengan penunggang-penunggang motosikal. mencari teduh daripada basah. di sini seakan berada di sebuah mandala yang jauh dari hipokrasi manusia. tiada strata feudal di sini, semuanya sama tanpa mengira ras dan agama. biasanya penunggang ini akan bertegur-sapa, dan mulut menghisap nikotin. sambil bersembang mengenai susu anak, tambang bas sekolah, beras, gula, tepung yang mencanak naik. semuanya kesan kenaikan harga petrol. tapi bagi golongan kapitalis dan borjouis yang tak habis beromong dengan teori permintaan vs penawaran ini menganggap ia adalah sekadar kitaran ekonomi. banyak kisah marhean terpinggir dapat aku dengar di sini. aku bertanya kepada seorang abang yang berulang alik dari seksyen 24 shah alam ke putrajaya. 'nape tak drive kete bang hujan-hujan macam ni?'. dari wajahnya yang sugul dia menjawab. 'macam nak bawak dik, petrol dah naik, anak abang baru masuk 3 bulan, tak campur lagi yang tengah sekolah lagi, nak tak nak bawak jelah moto dik'.
noktah.

Sunday, June 08, 2008

'dia'

Aku menjumpai ‘dia’ tanpa kutahui mana asalnya. Dalam sisi kehidupan aku yang kini beranjak beberapa takah kehadapan, ‘dia’ datang dengan membawa getar yang sukar untukku tolak. Macam yang sentiasa aku titipkan pada ‘dia’. Kerja Tuhan, siapa yang tahu. Betapa Tuhan menyusun naratif pertemuan ini dengan cukup indah dan cantik sekali.

Wednesday, June 04, 2008

orang minyak.

Minyak naik 78 sen. naik 40%. Masihkah ada mekanisme lain. Marhean makin tersepit. Dan parlimen terus bersidang.

p/s: Trafik menuju ke setiap stesen minyak macet teruk. Ada yang memaki-hamun. Minyak bikin orang hilang timbangtara. salah siapa?

Saturday, May 31, 2008

Bila durian luruh 2 - finale

80an. Zaman ini tiada lagi measat dan soyuz. Yang ada Cuma buruj-buruj dan bulan di langit. Bersawang di waktu malam. Itulah neon kami waktu itu.

Noktah

Dulu bila mak suruh meloceh isi durian untuk dibuat tempoyak aku selalu lari. Bagi aku kerja meloceh isi durian bukan kerja orang lelaki dan mencabar kemaskulinan aku. Kakak-kakak aku bising ya amat. Dulu gerakan feminis masih belum muncul (yang ada cuma kumpulan penyanyi wanita feminin) menuntut emansipasi gender. Tapi realitinya aku memang suka tempoyak. Terutamanya gulai tempoyak ikan tongsan dari hasil tangan mak. Memang cukup-cukup berahi. Macam makan sup ekor. Kakak-kakak aku bukannya reti masak. hahahaha. Sori ya nyah, kak ina, kak ani.

Noktah

Gemulah bapak dulu ada selaras senapang patah. Bila dia tak ada aku selalu curi-curi main senapangnya. Berlagak macam dalam cerita combat kat tivi tengah lawan nazi jerman. Senapang tu gunanya nak tembak biawak hidup atau tupai. Biawak hidup selalu makan telur ayam kampung mak kat reban belakang rumah dan tupai suka robek buah durian kat baruh. Aku dulu selalu ikut gemulah bapak pergi menembak kat dusun baruh. Kadang-kadang usop limbah ada, lan botak ada, mail sepatpun ada. Gemulah bapak tak bagi ramai-ramai takut tupai lari. Aku pernah melahirkan hasrat aku nak belajar menembak dari gemulah bapak. Apa yang aku dapat. Dia halakan muncung senapang tu kekepala aku. Selepas tu aku tak berani minta permisi lagi. Yang aku anginnya abang sulung aku dibaginya pula. Mungkin abang dah besar, dan aku kecil bocah lagi.

Noktah

Zaman millennium. Masa bergerak cukup pantas. Pokok-pokok durian kesayangan kami masih terpacak lagi di situ. Daunnya yang kekuningan masih merimbun. Masih retro. Macam kereta vintaj. Tapi ya. Usianya sudah renta. Dan semenjak gemulah bapak, gemulah tuk, gemulah pak usop, gemulah pak din, serta gemulah-gemulah yang seangkatan dengan bapak pergi meninggalkan kami, pokok-pokok durian itu seakan bersedih. Tidak banyak buah-buah yang bergentayangan. Kalau adapun tidak sebesar dahulu. Dunia sudah berengsot. Makin maju. Makin canggih. Dan kita larut dalam semua itu. Kenangan itu masih berbalam-balam dalam ingatan aku. Pada dusun baruh, pada Honda c70 dan senapang patah gemulah bapak, pada pawang malik, usop limbah.

Friday, May 30, 2008

Bila Durian Luruh.....

Padang changkat, bota kanan

80-an. Zaman ini tiada lagi playstation, i-pod dan kuali astro. apa yang jadi kemegahan di kampung aku cuma pokok-pokok durian yang melatari kampung aku. Tingginya melangit, batangnya sebesar dua pemeluk. Kata gemulah bapak, pokok durian di dusun baruh kami sudah wujud beratus tahun dahulu. Legasi moyang-poyang kami. Ada sebatang pokok durian tembaga yang gemulah bapak cukup sayang. Terpacak di sempadan antara dusun kami dan dusun pak usop (sudah gemulah juga). Buahnya sebesar helmet Apollo, isinya tebal dan baunya…walla!!!memang stim mengalahkan bau asap nikotin.

Noktah.

Suatu yang aku cukup menyesal sampai sekarang ialah aku tak berkesempatan ikut gemulah bapak tidur di dangau baruh menunggu durian luruh waktu dinihari. Mak aku tak bagi. Mak takutkan aku dengan naratif hantu penanggal dan hantu susu. Waktu itu depan rumah pawang malik ada bangkai kepala kerbau . Mail limbah , kawan baik aku cakap pawang malik ada bela benda. Entah mana mail limbah dapat cerita aku tak tahu. Seusai subuh baru gemulah bapak balik dengan Honda kapcai c70nya. Raga belakangnya penuh dengan durian perbagai saiz. Selalunya aku orang pertama yang menurunkannya dari dalam raga. Kemudian cuci daun-daun yang terlekat pada durinya dengan lidi. Diasingkan ikut saiz. Kalau saiz sebesar helmet Apollo dulu mahunya dekat-dekat RM10. Biasanya gemulah bapak akan jual sendiri depan rumah, yang kecil-kecil ditolak pada said pisang. Gemulah bapak cakap said pisang ambil murah sebab itu yang besar-besar gemulah bapak jual sendiri.

Noktah.

Bersambung…..

Tuesday, May 27, 2008

LIGA

EPL dah habis. Begitu juga dengan liga-liga lain serata eropah. La liga, Serie A,ligue 1, Eradivisie. Sekarang sementara menunggu EURO 2008 bolehlah beralih sebentar menonton liga Apertura Argentina dan liga brazil. Pilihlah pasukan pilihan anda. Flamengo, River plate, boca juniors, estudiantes ecetra. Sambil–sambil menari samba tanpa baju. Dan berangan-angan yang gisele bundchen duduk bersebelahan anda.

Sunday, May 25, 2008

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...