Friday, August 22, 2008
terkadang yang resah
bagai armada yang menunggu masa depan
ujana mata yang kabur
mengucap sejuta restu
tersimpul malu
Saturday, August 09, 2008
terkadang yang lupa
dan gelap
luk tujuh yang jadi perkakas
jiwa siapa yang tahu
kokok jalak memecah khali pagi
memalu hati
bangun menyahut hari
Sunday, August 03, 2008
terkadang yang lelah
mengbungkam sendiri
menyingkuh dengan secangkir pawana
masih mahu mendakap tubuh
sore melabuh
tanpa kata akhir
Sunday, July 27, 2008
lelah
Sunday, July 20, 2008
waktu yang jadi perkakas terindah
dan jalan meluru padamu
melurut lenggok bicara terindah
perkakas di lorong nubari ini
waktu kasih disemai
rindu yang bertunjang
cinta yang berkembang
dianjung waktu yang sentiasa cemburu
Saturday, July 19, 2008
seminggu
noktah
minggu lepas debat anwar dengan ahmad shabery. debat yang penuh dramatik dan ternyata anwar menguasai segalanya meninggalkan shabery dengan fakta-fakta mentah atau separuh mentahnya. anwar bilang harga minyak akan turun 50 sen esok jika pakatan rakyat memerintah hari ini. harga minyak mahu turun? apa lagi yang rakyat marhean mahu. retorik? tunggu 16 september nanti.
Sunday, July 13, 2008
berpergian
yang lembut dan tulus
terupam di tubir bibir
tiada sesal dari gelombang resah
terbang aku
dari sayap-sayap cenderawasih
suara nyaring sang pencinta
bersiulan dari bicara
dan hati menengadah
pada detaknya
berlimpah cahaya indah
Friday, July 11, 2008
di sini bermula susur perjalanan
noktah
berada di akademi percukaian malaysia kala saya sedang sebuk mempersiapkan segala macam untuk majlis walimah di anjung tahun nanti. rancangan telah dibuat dan disenaraikan apa yang perlu untuk keperluan majlis tersebut. tapi nampaknya yang paling sebuk adalah 'dia'. saya yakin 'dia' tahu mana yang terbaik. saya di sini pula bergelumang kembali dengan kuliah, ujian dan tugasan, memang payah rasanya untuk mengembalikan momentum untuk menelaah semula seperti di kampus dahulu. namun perjalanan ini perlu diteruskan juga. antara susur perjalanan-perjalanan yang perlu saya lalui dalam kehidupan yang singkat ini.
noktah
sore beranjak senja. peserta kursus asas perkhidmatan pegawai gred 7 lhdnm bergerak keluar dari auditorium seusai mendengar taklimat dari pihak penyelaras. suasana hingar sebentar sebelum beredar ke kamar masing-masing
Sunday, July 06, 2008
Akedemi Percukaian Malaysia
Bicara seputar senario terkini Negara kadang buat aku lelah dan penat. Politik nusa yang kian membingungkan dan harga barang yang mencanak naik. Namun dalam keributan yang jelas melanda ini, tautan mesra semakin terkapuk kukuh di hati. Mesra yang jadi eskapisme buat diri lari dari suasana yang tidak keruan ini.
Noktah
Hari ini aku akan mula melapor diri untuk kursus awalan lembaga hasil dalam negeri. Bertempat di Akademi Percukaian Malaysia, Bangi. Kursus ini akan berlanjutan hingga penghujung bulan ogos nanti. Buka semula silibus cukai yang sudah lama aku tinggalkan. Harap aku boleh fokus waima dalam kesebukan mempersiapkan majlis nanti.
Thursday, July 03, 2008
Friday, June 27, 2008
1 juta
noktah
rasional atau tidak? cuba tanya pada mak cik kiah yang jual nasi lemak di plaza pekeliling.
noktah
di luar trafik mecet menghala ke metrokota kuala lumpur. Manusia berpusu-pusu mencari rezeki buat penyambung nafas. di udara karbon monoksida terapung-apung di bawa pawana.
Wednesday, June 25, 2008
Saat itu nanti
dari gemersik suara mentafsir
dalam kerinduan yang mengbungkam
menatapi sisi kasihku
dari tutur pertama
mengucap bait cinta
menyanyilah beburung
hinggap dari tudung imanmu
desah angin menitip akrab suria pagi
ku katakan padamu
saat itu nanti
pasti terlukis seribu warna
Monday, June 23, 2008
Thursday, June 19, 2008
Improvisasi
Di kantor suasana masih suram dan sunyi. Yang hingar cuma suara-suara kami yang seramai tujuh orang yang baru melapor diri ke sini. Masih belum ada bilik dan tugasan melainkan mengisi sejumlah borang yang perlu dihantar kepada bahagian khidmat pengurusan jabatan.
Noktah .
LHDN. Setiap graduan perakuanan pasti mengimpikan posisi sebagai pegawai gred 7 di sini. Mana mungkin peroleh gaji yang tinggi berbanding di jabatan-jabatan kerajaan yang lain. Hari ini di dalam suratkhabar nusa tersiar berita kemasukan seramai lebih 40 ribu orang calon ke IPTA. 40 ribu orang ini akan bergelumang dengan segala macam rencam alam universiti. Tempat memupuk daya tahan mental fizikal. Menggali seberapa banyak ilmu yang kelak bakal menyuluh masa depan. 5-6 tahun kemudian mereka akan keluar (atau mungkin juga keluar awal lantaran kandas di tengah jalan). Suasana ekonomi, sosial dan politik nusa kita mungkin akan berubah. Saat mencari kerja adalah saat yang paling ruwet sekali selepas bergelar graduan. Tidak cukup sekadar segulung ijazah yang digenggam. Di luar cabarannya lebih besar dan realis. Bukan utopia di bilik kuliah atau berlingkar dengan teori-teori kalkulus maupun keluk-keluk naik turun pasaran. Saingan kian luas dan empirikal. Dunia luar sana bergerak cukup pantas. Perlu ada nilai tambah lain.
Noktah
Laut fikir aku mengimbas 5 tahun sudah. Waktu kerja firma audit. Gaji RM600. Tinggal lembah klang. Alhamdulillah boleh bertahan. Dari situ aku menimba pengalaman. Sedikit-sedikit. Hingga saat ini. Memang perit jika mengimbau kembali waktu itu. Zaman-zaman susah dahulu. Kini aku tidak lagi menoleh kebelakang. Di depan masih ada lompong-lompong yang perlu di isi.
Noktah
Dunia kian berubah. Etos dan patos. Begitu jua isinya. Manusia seputar sedang mencari eskapisme sendiri. Sebahagian menjadi narsisis. Dan aku. Di atas sfera bumi. Cuma mencari damai hakiki.
Wednesday, June 18, 2008
Tuesday, June 17, 2008
Hati
Memang benar Allah yang memiliki hati-hati manusia. Dia bisa membolak-balikkannya. Persis arus sungai yang mengalir tanpa ada yang menhempangnya. Sungguh ya Tuhan aku tidak persoalkan tentang hati yang menjadi milik-Mu itu. Kerana aku yakin masih ada siraman kasih sayang yang menyuburkan hati ini. hujan iman nantinya akan turun untuk menumbuhkan budi penyiram kasih ini. Tuhan. Hati-hati ini telah sama-sama bertaut diranting kasih-Mu. Perjalanannya kadangkala berliku-liku, namun Kau lebih mengetahui susurnya.