Tuesday, November 17, 2009

Menatap ruang kasih

Nyalarasa ayah dan bonda kala mendakap kelahiran pertama membuhul penuh dengan perasaan bahagia yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Segalanya indah-indah belaka. Naluri yang cukup klasik yang dianugerahkan oleh Rabbuljalalah pada setiap yang punya gelar ayah dan bonda. Syukur. Pada dini subuh seorang bayi perempuan keluar dari rahim yang mulia menatap indahnya bumi Tuhan, dengan segala rencam yang masih berbalam-balam lagi perjalanannya. Namun Tuhan pasti telah menetapkan pada setiap qada dan qadarnya. Kerja Tuhan siapa tahu. Tak terucap melainkan lafaz tahmid dari bibir saya dan isteri. Pastinya dia lahir hasil dari rasa cinta kami berdua yang tak terhempang arusnya. Setiap inci tubuh kecilnya saya renung dengan rasa syukur. Maha besar Allah yang menjadikan manusia dari setitis air langsung membentuk susuk tubuh manusia yang sempurna . Syukur Ya Allah. Moga Allah memelihara pada setiap anjung hidupnya nanti. Amin.

KOMA


Hari itu, 7 november 2009, bersamaan dengan hari sabtu 19 zulkaedah 1430H, pukul 6.32 pagi, dengan berat 2.4kg, lahir seorang bayi perempuan yang comel. Kami namakan Nur Alya Insyirah. Lahir ke dunia hasil dari nyala cinta ayah dan bonda.

NOKTAH

12 November 2009. Alya dimasukkan ke hospital Taiping. Ada komplikasi jaundis (kuning) kata misi di klinik kesihatan Changkat Jering. Bondanya dah berenang dengan airmata sejak diberitahu Alya akan masuk wad. Kata doktor muda keturunan tiong hua di hospital taiping kepada saya, keadaan Alya stabil dan bacaan darahnya masih belum diparas bahaya. Itupun bondanya sudah tidak keruan. Namun saya tetap menunaikan tanggungjawab saya sebagai suami dan ayah untuk menjaga mereka berdua. Disamping doa saya tanpa putus pada Allah agar diberikan kesihatan pada mereka berdua

KOMA

13 November 2009. Alya dibenarkan keluar dari wad. Kata doktor muda keturunan tiong hua itu bacaan darah alya kembali normal. Alya tampak sihat. begitu jua bondanya. Syukur tuhan memelihara mereka berdua.

Monday, November 02, 2009

Dr Asri


Semalam bekas mufti Perlis, Dr Asri ditahan Jais ketika menyampaikan ceramahnya di sebuah kediaman di taman sri ukay atas dakwaan tidak mendapat tauliah untuk memberi ceramah. Berita ini jadi muka depan hampir di setiap media cetak arus perdana, termasuklah tabloid harian metro. Tauliah yang macam mana yang dimaksudkan oleh Jais tidak saya ketahui. Seorang bekas mufti, ahli akademik, doktorat dalam bidang hadis masih belum layak untuk memberi ceramah tentang Islam, apakah kayu ukur yang mahu diletakkan oleh Jais. Saya tidak pernah mendengar ceramah dr asri secara langsung, cuma menemuinya dalam ceramah yang saya muat turun dari laman sesawangnya. Pada pandangan saya tidak pernah dr asri mengajar ajaran yang salah tentang islam. Segalanya atas landas al-quran dan sunnah rasul. Adakah berpegang teguh kepada dua perkara ini dianggap wahabi.

Sunday, November 01, 2009

Tepu rasanya minda. Kocak fikiran kadangkala menggugah nyalarasa. Nyatanya ia bukan mudah. Melalui jalan ini dalam sekalian kekeliruan yang datang. Esok jalannya masih ada. Masih terbentang luas. Dan aku menadah rasa syukur atas setiap jalan yang aku lalui ini.

Sunday, October 18, 2009

HINGAR

Di luar sana hingar membuat dinding koklea terasa bingit. Ruang-ruang untuk menikmati anjung minggu terasa bagai dicabuli dengan rasa bengang. Mencari sunyi di kotaraya bagai berperang dengan sekalian bala tentera hedonisme. Mungkin di sini begitulah rencam budayanya. Budaya hibur dan libur tanpa ada tanda fikir di otak.
KOMA
Di ruang ini tiada idea untuk dikongsi. Nol. Buku-buku di rak kian berhabuk. Ada yang tungang-terbalik tanpa indeks. Waktu-waktu ini kadangkala mengarut ada baiknya. Macam menonton drama tahyul dan mistik di kaca tivi sambil mengunyah saki-baki kuih raya.
KOMA
Sasterawan Negara Dr Anwar Ridhwan muncul sebagai tetamu di astro awani. Hebat orangnya. Dah baca 'hari-hari terakhir seorang seniman' dan 'naratif ogonshoto'. Aku ada. Tapi kalau kamu nak baca baik beli sendiri.
NOKTAH

Friday, October 16, 2009

Benda alah ini sudah jadi kegilaan baru aku. Hingga aku hampir lupa yang aku punya blog yang sekian lama tidak dikemaskini. Maaf. Aku perlukan sikit ruang untuk mengenali'nya' lagi.

Sunday, October 04, 2009

antara samar dan bayang-bayang sepinya tetap sama
barut luka yang penuh nanar diseka air mata yang jujur
menanam derita membenih tawa tak terpadam oleh amarah
sampai waktu nanti ia akan terbang dibawa pawana.
hilang tanpa anjung angsana.

Monday, September 28, 2009

Syawal

Tiada yang terindah selain menyambut syawal ini bersama keluarga tersayang. Dan kasih itu saling bergentayangan di pohon hati yang merah ranum dengan rasa cinta. Tahun ini kali pertama saya menyambut lebaran bersama keluarga baru, sebelah mertua. Meriahnya tetap sama seperti di rumah sendiri. Terkenang kampung halaman saya yang sudah lama saya tinggalkan. Nostalgia lama kembali mengamit lubuk hati. Apa khabar rakan-rakan dikampung? Pakcik makcik yang pasti kian renta dimamah usia, masih sihatkah mereka?. Ini bukan persoalan. Ia adalah pusingan kehidupan yang pasti kita akan hadapi nanti. Pulang menemui bonda adalah nikmat yang tak terhingga kepada saya. Ayahanda sudah sekian lama pergi meninggalkan kami sekeluarga, adik-beradik. Namun bonda masih meneruskan kehidupan tuanya melihat anak-anaknya yang semuanya sudah besar, waima dalam besar-besar inipun perangai kebudak-budakan kami masih tak sudah. Namun bonda pasti tersenyum melihat kerenah kami. Perit menggalas amanah gemulah ayahanda sudah semakin ringan di bahu. Semalam saya dan isteri meninggalkan susuk tubuh bonda dengan kucup-cium kami yang tidak terhempang arusnya. Namun doa kami akan sentiasa kami titipkan. Agar bonda sihat. Dapat mendekatkan diri dengan Allah sehingga ke penghujung nyawanya.

Sunday, September 06, 2009

Ramadhan yang datang

Tanpa sedar rupanya sudah separuh ramadhan datang mengetuk setiap pintu hati mukminin mukminat yang penuh sabar menunaikan rukun Islam yang ketiga. Ini coretan pertama saya dalam bulan yang mulia ini. Ibarat orang berwisata jauh yang baru pulang kembali ke mandala asal. Namun tiada cerita-cerita muluk mahu diberitahu. Soal persiapan raya yang klise. Tukar selagi boleh dan mampu ditukar. Dalam gawat-gawat inipun kuasa beli tidak pernah luntur malahan semakin menyubur. Cuma bezanya inilah ramadhan saya yang pertama menjadi suami kepada suri saya dalam kehidupan yang segalanya cukup sederhana. Tapi dalam kesederhanaan ini membuhul berakah yang tidak pernah saya rasai semasa bujang dahulu. Alhamdulillah segala cukup dalam keadaan kami yang baru mahu membina kehidupan. Namun dengan kehadiran orang baru dalam hidup kami nanti kadangkala buat saya gundah juga. Persiapan menyambut kehadiran orang baru masih berdikit-dikit tapi sedaya mungkin untuk melengkapkannya. Terima kasih pada suri yang sudah siap menyenaraikan segala keperluan yang aula semasa menyambutnya nanti. Al-maklumlah, yang pertama. Segala masih nol.

Diluar sana masih ramai lagi rakan-rakan saya yang masih belum merasai nikmat berumahtangga, waima ada diantara mereka yang sudah bergaji beribu-ribu dan ada yang sudah memiliki rumah idaman sendiri. Tanpa ada rasa iri, mungkin itu rezeki yang Allah berikan pada mereka. Dan saya yakin rezeki saya sekeluarga Allah sudah simpankan di ruang yang lain. Kerja Tuhan siapa tahu.

Noktah.

Sunday, August 16, 2009

Daerah 9

Pelarian punya tonasi yang cukup jelek. Merempat, sakit dan penuh nanar luka. Bergelumang dengan kejijikan sikap manusia yang rakus. Langsung membentang kematian yang tidak sudah. Pelarian punya sisi yang gelap. Mencabut lidah yang bercabang atas nama kemanusiaan.
'District 9'. Filem sains fiksi ini menerbitkan luka hidup sebagai pelarian. Kisah bermula dengan kehadiran kapal angkasa yang turun menghiasi langit bumi Johannesburg, Afrika Selatan. Membawa bersama pelarian dari dunia luar yang ingin medapat perlindungan di bumi. makhluk asing ini yang digelar manusia sebagai udang ditempatkan di suatu tempat, district 9. yang tidak ubah seperti kawasan setinggan yang huru-hara. Sebuah syarikat swasta dikenali sebagai Multinational United (MNU) bertanggungjawab dalam menyelenggara dan menguruskan penempatan makhluk asing terbabit. Namun syarikat tersebut lebih berminat untuk memperolehi teknologi persenjataan ciptaan makhluk itu. Salah seorang kakitangan, Wikus van der merwe ditugaskan untuk mengetuai pemindahan makhluk tersebut ke kawasan baru. Namun dalam operasi tersebut, Wikus, seorang pemuda yang naif dan lurus, telah terdedah dengan bahan teknologi kimia pendatang asing itu. Insiden terbabit menyebabkan wikus mengalami mutasi. Lantaran itu wikus menjadi kunci kepada rahsia senjata canggih milik makhluk asing tersebut. Wikus langsung terjebak dalam konflik yang berlarutan antara manusia dengan makhluk asing. Ditambah dengan aktiviti gangster yang turut serta menjadikan konflik tiga segi yang masing-masing punya agenda sendiri. Wikus terpaksa bersekongkol dengan Christopher, makhluk asing yang cuba untuk keluar dari bumi sebagai harga untuk memulihkan dirinya dari virus yang sedikit demi sedikit merubah dirinya.
Noktah.
Makhluk asing dalam filem ini hanyalah metafora dengan realiti yang berlaku seputar kita. Ia sebuah kritikan sosial tentang persepsi manusia terhadap keadilan. Latar Afrika sebelum apatheid menjadi luka yang tak terbebat. ternyata isolasi ini menjadi nanar. Mencengkam jiwa bebas manusia. Pemisahan warna antara hitam dan putih, cerah dan gelap. Ia tidak hanya berlaku di afrika. Berlaku juga pada rohingia. Berlaku juga di sabra dan syatila. Ada belahan dunia yang tidak selalunya terang dengan suria. Masih ada kegelapan yang membelengu. Manusia yang rakus tidak pernah merasa puas. Dan meraka akan meratah sikit demi sikit kemanusiaan.

Monday, August 03, 2009

kongsikan rasa marahmu
biarku rasai merahnya
waktu
bagai angin yang melayah dingin
membawa puing resah
bersimpuh dengan timur dan barat
rentasi tiap-tiap onar
dalam rintik kalbu yang gelap
bagai kelkatu kehilangan cahaya

Thursday, July 30, 2009

Ada sesuatu yang bermain di laut fikir buat aku berteleku sepanjang minggu.....

Wednesday, July 22, 2009

Subuh ini. Dingin hujan menggigit batang tubuh. Hujan pagi ini merengkuh diri dalam ketar. Meredah setiap titis-titis air yang rontok. Mungkin sudah terbiasa dengan cuaca sebegini. Hujan atau panas, hari ini kelananya tetap sama. Jalannya seperti hari-hari yang acapkali dilalui. Masih sama. Mungkin sama untuk beberapa tahun yang akan datang.

Sunday, July 19, 2009

semalam
ada binatang kecil merayap
menekur dari belakang
ke sini kamu
biar aku datang mencuri malammu
SEBUAH APOLOGIA
PADA MALAM
YANG TIADA LAGI YANG PASTI
BIAR NANTI AKU MENGERTI
MENGAPA AKU DI SINI
SEBUAH KEPASTIAN
TANPA TANDA DUGA
MENCORET SIAP LIKU-LIKU
SETIAP ALUR

BIAR NANTI AKU MENGERTI

Saturday, July 18, 2009

Kelmarin kota Jakarta di bom. Gegarnya meruntuhkan sisi politik negara pancasila itu pasca pemilu presiden baru. Ya. SBY kembali dikerusi kuasa. Dan masih belum enak menikmati kemenangannya, datang pula tragedi berdarah ini sekali lagi. Kali ini entah siapa pula dalangnya. Golongan pelampau ada dimana-mana sahaja hemisfera dunia. Setengahnya bertopengkan agama sebagai cara menghalalkan pembunuhan mereka yang tidak berdosa. Siapa pula yang menjadi mangsa seterusnya selepas ini. 

Noktah.

Friday, July 10, 2009

acapkali sewaktu sedang menunaikan solat fardu jumaat, ada saja bunyi nada dering daripada telefon bimbit jemaah dengan aneka tona. Setengahnya berulang-ulang kedengaran, dan ia pastinya mengganggu jemaah-jemaah lain yang sama-sama bersolat. Isu mual ini sudah muak dinasihati oleh imam. Mungkin ada yang lupa. Atau sedang nyenyak tidur semasa khutbah.
Noktah.



Thursday, July 09, 2009

Tanggal 25 Jun lalu dunia dikejutkan dengan kematian raja pop micheal jackson. Memang sudah ramai yang tahu. Micheal meninggalkan legasi muzik yang pasti akan diingati oleh setiap generasi. Ditambah dengan perca-perca hidup yang di selubungi skandal yang tidak pernah putus. Dan tanggal 25 Jun lalu dia pergi meninggalkan kita selamanya. Menemui Tuhan yang dia percaya. Waima status agamanya semasa hidup masih jadi tandatanya. Namun peminat seluruh dunia tetap meratapi pemergiannya. Dan setiap gerakan moonwalkingnya dahulu pasti akan diingati setiap yang mengenali siapa dia micheal jackson. Sikit atau banyak, kita pasti terkenangkannya.

Wednesday, July 08, 2009

Bahasa melayu kini kembali ke tempat yang sepatutnya ia berada. Sebagai bahasa ilmu dan kemajuan, dan penghubung antara kaum di Malaysia. Kita pasti boleh maju dengan bahasa kita sendiri. Buangkan sikap prejudis kita pada bahasa melayu.

Tuesday, July 07, 2009

Di luar hujan melebat. Tiada yang terseka. Pulang dari kantor dalam keadaan hujan begini bahayanya ikut sekali menemani diri. Tambah lagi yang menunggang motosikal seperti aku. Berita di suratkhabar hari ini, semalam berlaku kemalangan jiwa di Shah Alam. Pemandu dan pembonceng motorsikal. Kedua-duanya mati ditempat kejadian. Kepala terseret di bawah lori langsung bersepai isi otak atas jalan. Si pembonceng mayatnya langsung tidak dikenali. Sudah ajal. Tapi dalam hati tersiat rasa takut. Mohon dijauhkan Tuhan dengan kematian seperti itu.
Noktah.
Di luar hujan masih melebat. Aku masih bersendirian di rumah, menunggu isteri yang masih belum pulang. Hujan petang memisahkan kami seketika. Entah bila akan berhenti.

Friday, July 03, 2009

Memang cadang nak ke kantor. Batalkan cuti hari ini. Rasa rugi pula bercuti pada hari Jumaat lantaran masa kerjanya yang pendek. Sementelah lagi baki cuti tahunanpun dah makin kurang. Tapi memandangkan lelah menguliti buku-buku peperiksaan jabatan masih terasa, elok bercuti sahaja. Dua minggu bercuti mungkin terasa lain untuk menyambung balik kerja di kantor. Kerja yang banyak terakru. Entah-entah dah bertimbun fail atas meja. Ataupun ada benda baru yang nak diimplimentasikan di cawangan. Ditambah lagi dengan target kes setiap bulan yang mesti diselasaikan. Memang tak cukup tangan. Siapa kata kakitangan awam sakarang tak ada kerja sangat. Itu stigma masyarakat pada kakitangan awam. Namun dalam kegawatan ini alhamdulillah kakitangan awam berada dalam kondisi yang selesa berbanding mereka di luar sana yang berhadapan dengan pemberhentian kerja, VSS, atau apa jua istilahpun yang membawa kepada hilang mata pencarian. Seorang pekerja berbangsa india pernah datang ke kaunter setempat yang kebetulan berjumpa dengan aku mengeluh tentang hari depan yang tidak pasti lantaran diberhentikan kerja setelah operasi kilangnya di malaysia bakal ditutup. Setiap hari kita acapkali di gula-gulakan oleh kepala-kepala negara dengan keadaan pemulihan ekonomi negara sedang kan realitinya rakyat amat perit berhadapan dengan situasi ini. Harga barang makin naik, tambang pengangkutan awam sudahpun naik, bank mula berhati-hati memberikan pinjaman, hutang along, kad kredit, kadar faedah yang tinggi, simpanan yang kian susut ecetra, ecetra.

Thursday, July 02, 2009

Peperiksaan sudah dilunas. Cuma yang menggugah kotak fikir adalah keputusannya nanti. Bukan senang rupanya untuk berjaya. Tiada jalan mudah. Baik atau buruk. Cemerlang atau gagal. Kita cuma berusaha, Tuhan yang merancang semuanya. Ayat ini mungkin untuk menyedapkan hati yang libang-libu ini. Esok kita tidak tahu apa yang berlaku. Tapi hidup kena terus.

Wednesday, July 01, 2009

Bila mata kuyu menghadap setiap rinci perenggan demi perenggan. Cuba memaksa otak berkerja dua kali lebih dari biasa. Akhirnya datang kelelahan yang menyelimuti batang tubuh. Kadangkala segar di jirus dingin air. Seterusnya bergelumang semula dengan perenggan demi perenggan ini. Mencoret nota-nota. Panjang mahupun pendek.
Noktah...

Sunday, June 28, 2009

Tengah racau
tengah hari
tengah malam
tengah mencarinya
entah mana cicirnya

Thursday, June 18, 2009

Are you smarter than 5th grader?


Semalam, dalam sebuk menelaah untuk peperiksaan jabatan nanti, sempat juga menonton siaran 711 star world di astro. 'are you smarter than the 5th grade'. '5 th grader' ni macam pelajar-pelajar sekolah kita yang ambil KBSR. Bukan mahu bercerita tentang program realiti itu, cuma sekadar mahu membuat perbandingan antara sistem pendidikan kita dengan negara-negara maju. Sedang kita di sini sebuk dengan polemik had silibus yang perlu diambil pelajar. Pelajar di sana sudah membina kreativiti mereka sendiri dengan landas ilmu yang lebih luas. Teringat dahulu, waktu berada dalam sistem KBSR. Waktu itu belum ada subjek sains yang khusus. Yang ada bahasa melayu, bahasa inggeris, matematik, pendidikan islam, alam dan manusia sebagai subjek utama. subjek muzik cuma 2 kali seminggu. Tiada subjek khusus untuk sejarah dan geografi. 2 subjek ini dipukalkan dalam subjek alam dan manusia. Macam mana pelajar kita mahu celik sejarah, sedang pelajar-pelajar di amerika sana sudah belajar sejarah perang sivil di negara mereka.
Rombak sistem pendidikan kita. Jangan asyik berpolemik. Holistiklah, jatidirilah, modal insanlah. Sedari sekolah rendahlah anak-anak kita perlu didedahkah dengan skop yang lebih luas. Bijak berfikir dan menaakul. Guru-guru cuma membimbing. Biar mereka menjana kreativiti mereka sendiri.

Thursday, June 11, 2009

Sore yang jerebu. Sesak peparu menghirup nafas lelah. Sambil laut fikir yang berbalam-balam Yang tinggal hanya sesak. Menumpang di kulit alam. Suaranya nyaring membingit dinding koklea. Apa yang dimuntahkan selama ini. Dalam segala keserabutan yang berselingkar dalam kepala.

Monday, June 08, 2009

Harapan untuk sampai awal ke rumah dari kampung mertua di Taiping ternyata meleset. Trafik macet menghala ke selatan tanahair. Cuti sekolah masih berbaki lagi seminggu. Anjung minggu mungkin ramai yang menghela nafas rindu pada kampung buat penghuni metro. Berziarah dan rehlah membawa keluarga keluar dari kesesakan manusia mengejar tuntutan kehidupan yang pelbagai rencam. Akhirnya, hampir ketengah malam juga kami sampai ke rumah. Kepala makin berdenyut. Kala ini tidur adalah penawarnya. Waima dalam perut yang kelaparan.

Saturday, May 30, 2009

Di anjung minggu. Aku tercari-cari apa-apa yang baru. Buku baru antaranya.

Sunday, May 24, 2009

Tuhan merancang yang terbaik untuk kita. Waima zahirnya kita keliru pada qadarNya. Langsung ada yang putus asa. Menyalahkan takdir yang melingkar dalam hidup kita. Kita yang memilih. Tuhan yang menunjuk jalan. Kata Iqbal "jika takdir ini yang buat kamu merana, pilihlah takdir yang lain. Kerana takdir milik Tuhan tidak terkira banyaknya". 

Sunday, May 10, 2009

Ibu

Syukur Tuhan
Yang menghantar aku kerahim ibuku
Mengenakan aku dengan pakaian Iman
Mengajar aku alif, ba, ta
Hingga betah berdiri,berjalan dan berlari

Itu dahulu
Sebelum wajah renta membalut dirinya
Bundar matanya melihat anak-anak membesar
Menghimbau kenangan
Dalam dakapan erat
Waktu memangku di riba
Menyusui dengan rasa syukur

Tidak terbalas jasa ibu
Waima dengan segunung emas perak
Kasihnya
Sayangnya
Tak terhempang arusnya
"Maka tidak benar sama sekali kalau bangsa Melayu hari ini dituduh sebagai bangsa yang dikongkong oleh bahasanya, atau minda mereka diperangkap oleh budaya Melayu yang berasaskan bahasa Melayu. Ini tuduhan orang cetek fikiran atau kurang ilmunya. Yang penting kita fikirkan ialah, sama ada keadaan menggalakkan orang Melayu menjadi bangsa yang berfikiran besar."

-Dr Hassan Ahmad, Ke Luar Jendela, 2009-

Saturday, May 09, 2009

Ada

Bila telah tiada barulah kita terfikir apa yang patut dilakukan dahulu. Menghargai sesuatu yang telah tiada. Sedang waktu ada dahulu langsung leka dalam ke'ada'annya. Tidak pernah terfikir kehilangannya.

Sunday, April 26, 2009

Mendung

Awan hitam memayungi mandala ini. Entah mahu hujan atau tidak. Mungkin mainan alam. Di rumah ini dengan segala yang ada dan tidak ada, aku masih risau dengan diri yang membawa diari kelam dalam segala ketidakpastian. Kemurungan atau gelak tawa. Kadangkala bawa racau dalam diri. Tuntutan material dalam milenium ini kadangkala buat jiwa ini kacau.
Esok aku akan kekantor. Begitu juga isteriku. Kami sama-sama mencari rezeki halal. Pergi pagi, balik lewat petang. Kadangkala menjergah ke margrib. Lalu dalam kelelahan, tiada nafsu untuk diomongkan. Nanti, InsyaAllah, kami bakal punya anak. Dan anak ini datang bersama tanggungjawab. Ia menuntut aku, kami untuk berubah dan merubah. Gaya hidup, impian, cita-cita, mimpi, khayal, kompleksiti yang meratah jiwa. Aku mahu sedar. Sedar dari segala-galanya. Serta syukuri apa jua nikmatnya.

Saturday, April 25, 2009

kehidupan.
apa yang melengkapkan kehidupan.
dan kita selalu terkhilaf.

Di pesta buku

Cuaca terik akhir-akhir ini. Pertukaran monsun mungkin. Dalam panas membahang ini suasana di PWTC masih rancak. Pesta buku antarabangsa Kuala Lumpur. Ritual penggemar buku yang saban tahun diadakan. Masih ramai pengulit buku, terutamanya yang berbahasa melayu dalam gegak-gempita protes PPSMI sebelum ini. Dalam libang-libu lautan manusia ketemu dengan Pak Samad Said dan Sdr Faisal Tehrani dalam wacana bahasa anjuran buku online. Riak renta diwajah Pak Samad masih penuh dengan api semangat protesnya pada PPSMI. Cintanya pada bahasa melayu tiada tolak-bandingnya. Katanya biarlah mereka yang ahli bercakap soal bahasa, bukan politikus yang acap beretorik soal kemajuan bangsa yang hidup tanpa jatidiri.
Noktah.
Di sini. Manusia masih tercari-cari sesuatu. Dari bahasa yang jadi wahana jatidiri bangsa. Bangsa tanpa bahasa ibarat anak tanpa ibu. Teraba-raba mencari identiti. Lalu mencelup budaya orang lain tanpa menyaring baik buruknya. Aku akan punya anak nanti. Dan aku tidak mahu anakku nanti bercakap dalam bahasa yang tidak aku fahami samasekali. Berambut perang separuh dan hitam separuh. Tambah lagi aku tinggal di metrokota yang rencam budayanya. Simpang-siurnya kadangkala menakutkan.
Noktah.

Sunday, April 19, 2009

E-Filling

2 minggu terakhir bulan april. Suasana di kantor amat rencam sama sekali. Terutamanya di kaunter setempat. Sesak dengan manusia menunaikan tanggungjawab menghantar borang nyata cukai pendapatan secara manual ataupun e-filling. Suasananya mungkin berbeza dengan kaunter zakat. Kadangkala kita lebih takut berhadapan dengan kesalahan tidak melaporkan pendapatan ke LHDNM dari tuntutan untuk mengeluarkan zakat. Sedangkan zakat itu menyuci segala hasil yang kita terima, agar segala muamalat kita tidak bercampur dengan unsur-unsur syubhah.
noktah
sabtu. Bertugas dianjung minggu. Melayani telatah manusia yang sesak di kaunter. Minggu-minggu akhir ini bagai satu pesta. Kami petugas-petugas begitu juga. Cukup meriah. Dalam kelelahan ini menguntum juga senyuman di tubir bibir.

Sunday, April 12, 2009

Aku ke ibukota. Ada PC fair di KL convention centre. Aku memilih untuk menggunakan tren ke sana. Sesak rasanya jika mahu memandu sendiri. Tren penuh sesak dengan manusia. Terutamanya waktu transit di masjid jamek, menukar tren ke KLCC. Semua mahu berpusu-pusu untuk memasuki tren. Tiada lagi langgam sopan dalam budaya kita. Cukup berbeza sekali dengan slogan berbudi-bahasa yang pernah dimasukkan dalam pakej pelancongan melawat malaysia. Kononnya rakyat Malaysia cukup terkenal dengan lembut bahasa dan tingkahnya. Timbul rasa sangsi untuk menerima kesopanan yang jadi budaya bangsa kita adalah satu fakta ataupun satu mitos. Budaya melayu memang terkenal dengan sopan santun. Tapi kita juga perlu tahu yang orang melayu juga hebat carut-marutnya. Politikus melayu contohnya. Sebenarnya sopan atau budi-bahasa itu bukan milik sesuatu bangsa atau negara. Ia milik semua. Datang dari dalam diri.
noktah
...........


Friday, April 10, 2009

masa yang berdesir. bagai angin yang melayah dingin. bagai samudera yang ujana luas. ku sahut panggilan-Mu dengan rasa syukur. Tuhan yang menghantar aku ke rahim suci bondaku. Tiada cacat-celanya. qada' dan qadar itu benar arah tujunya. tanpa waham dan ragu-ragu.

Thursday, April 02, 2009

Setiap hari mualnya semakin rencam. Mabuknya kian nanar. Ada sahaja halangan yang membatasi sisi berahi yang mengocak dinding nafsu ini. Namun aku tetap sabar. Melayan karenahnya yang tak menentu saban hari. Waktu subuh hingga sore, melangkau ke dinihari. Sabar. Ini ujian. Pakaian para nabi rasul. Doa sahaja yang aku panjangkan untuknya. Agar diberi kekuatan rohani jasmani. Sihat dan segar. Mengusung benih yang terkapuk kukuh dirahimnya.

Tuesday, March 31, 2009

Hari ini suria memancar indah.
Awan gemawan tersusun indah.
Dan aku tinggalkan kamu dengan jiwa yang kekar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...