Pesanan khidmat masyarakat ini di taja oleh pak li kopitiam seksyen 7 shah alam.
Friday, February 29, 2008
Pesanan khidmat masyarakat ini di taja oleh pak li kopitiam seksyen 7 shah alam.
Wednesday, February 27, 2008
oklah bro. gua nak rehat, mundian gua nak mandi dan solat. Gua letih sangat hari ni. Thanx bro coz sudi dengar gua punya rintihan hati.
Monday, February 25, 2008
Sunday, February 24, 2008
Saturday, February 23, 2008
Cinta kepada Allah itu laksana api, dan apa pun yang dilewatinya akan terbakar. Cinta kepada Allah itu laksana cahaya, dan apa pun yang dikenainya akan bersinar. Cinta kepada Allah itu langit, dan apapun yang dibawahnya akan ditutupnya. Cinta kepada Allah itu laksana angin, dan apapun yang ditiupnya akan digerakkannya. Cinta kepada Allah itu laksana air, dan dengannya Allah menghidupkan segalanya. Cinta kepada Allah itu laksana bumi, dan dari situ Allah menumbuhkan segalanya.
Thursday, February 21, 2008
Terima Kasih Segalanya
Dua setengah tahun dia di situ. Segala pahit manis yang pernah dilaluinya sepanjang tempuh itu kini tinggal kenangan. Esok adalah hari baru buatnya. Perjalanannya masih samar-samar. Namun itu adalah pilihannya. Maybank auto finance jalan klang lama. Tempat di mana tumbuhnya segala impian yang pernah dicanai. Ada suka tawa di baliknya. Ada gelora yang kadangtu datang menghempas. Cuacanya tidak selalunya cerah, kadangkala mendung, dan langsung membawa hujan. Dia bersyukur dapat bertemu segolongan manusia yang begitu komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberi. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Terima kasih dia ucapkan. Entah bila akan ketemu kembali, Allah maha mengetahui.
Sunday, February 17, 2008
Sungguh kita lupa
Platfom 3. Shah alam - kl sentral - mid valley - kl sentral - shah alam
Hari ini dia menunggu. Tren masih belum muncul. Manusia kian macet memenuhi stesen. Hari minggu adalah momen-momen indah untuk berlibur. Tren ke metrokata menjadi pengangkutan penting buat manusia-manusia ini, ada yang bersama pacar, maupun teman, ada yang sendiri sambil mengendong beg galas pelbagai saiz, atau leka dengan i pod yang terlekap di kuping telinga.
Hari ini dia menunggu. Tren tak kunjung lagi. Matahari kian meninggi. Angin panas mendesah ke udara. Langsung meragut kesabarannya. Hari ini dia ada pertemuan penting. Sepenting mana pertemuan dia pada hari ini tidak dipastikan.
Bunyi tren sayup 500 meter dari landasan. Ibarat ular yang menjalar. Menunggu mangsa untuk diisikan penuh dalam perutnya. Di stesen, manusia-manusia pelbagai jenis itu mula mengambil tempat. Dan mulai tidak keruan keadaannya. Sesak. Berebut-rebut. Tipikal Malaysia.
Shah alam - kl sentral - mid valley - kl sentral - shah alam. Hari ini perjalanannya membuka ruas kehidupannya untuk satu lagi episod. Dia mahu fikirkan yang muluk-muluk sahaja. Kehidupannya adalah miliknya. Dan keputusan yang diambil olehnya pada hari ini adalah antara beberapa perjalanan-perjalanan yang perlu ditempuh olehnya.
Dalam perut tren yang makin melaju. Selaju degup jantung dan helaian nafasnya. Dan dia menempuh hari ini dengan senyuman. Senyuman yang diarca untuk pertemuannya pada hari ini.
Saturday, February 16, 2008
Thursday, February 14, 2008
Wednesday, February 13, 2008
pilihan kita
Tuesday, February 12, 2008
Monday, February 11, 2008
dan kartu itu masih di situ. dan hari esoknya mungkin ia tetap di situ. atau mungkin juga ia terbang di tiup angin. melewati jendela masa yang berjeda.
Sunday, February 10, 2008
tahun ini tahun tikus dalam kalendar lunar kaum cina. tak kisah apapun signifikasi tahun ini pada mereka yang mempercayainya. saban tahun, tahun baru cina diangkat sebagai cuti umum negara. bagi aku tidak lebih dari itu. sekadar cuti biasa. noktah
Monday, February 04, 2008
Hikmah di sebalik ujian
Entah bilanya diri ini akan kembali ikut terbang memenuhi ruang-ruang katarsis. Berselubung dengan garis-garis horison yang memisahkan nyalarasa ini. Memintal awan putih menjadi kelabu. Lalu munculnya Prahara yang memukul jiwa. Sungguh ya Tuhan, Rabbuljalalah. Diri ini ibarat ilalang yang sentiasa rebah waima dihembus pawana yang sepoi-sepoi sifatnya. Berdiri di antara sempadan waktu, waktu sekarang dan hari depan, antara debu-debu yang berterbangan dan wangian narwastu yang tak terhidu baunya. Rapuhnya qalbu ini ibarat gelas kaca yang didalamnya penuh dengan air. Bukan belian yang keras sifatnya. Hati ini senang dibahagi-bahagikan antara cinta dunia dan cinta untuk-Mu dan kadangkala diri ini keliru antara keduanya. Hujan di jiwa kian lebat rontoknya. Membentuk aliran sungai yang deras dan kadangkala buat diri ini hampir lemas, mengapai-gapai meminta tolong. Sungguh ya Tuhan. Ujian-Mu ini buat diri berasa kerdil. Dan seringkali juga buat diri ini putus asa. Sungguh ya Tuhan. Diri ini cuma sendiri. Sedang keliling riuh dengan sandiwara dunia tanpa anjung. Yang ada hanya diri-Mu ya Tuhan. Tuhan yang memiliki langit dan bumi, yang bersemayam di atas Arasy yang mulia. Dan dalam sendiri Engkau samasekali tidak melupai diri ini yang sentiasa dibalut gelisah, yang sentiasa dilambung gelombang resah.
Tuhan. Sesungguhnya hidup ini adalah satu istikharah yang panjang. Tuhan. Ujian-Mu ini buat hamba-Mu sentiasa dekat dengan-Mu. Mengecap nikmat cinta dan kasih sayang-Mu yang tak terhempang arusnya. Agar di dunia yang satu lagi dapat diri meneguk dari sumur kauthar-Mu. Tuhan. Jika ujian ini buat diri ini dekat dengan-Mu, sesungguhnya diri ini pasrah dalam redho-Mu.
Syukur Tuhan atas ujian ini. Syukur Tuhan atas kasih sayang-Mu.
Sunday, February 03, 2008
Wajah Baru Gapura
Saturday, February 02, 2008
Friday, February 01, 2008
aku asosiasikan cuti hari wilayah dengan kolumpo, bukan putrajaya maupun labuan. sebab kat kolumpo aje yang ade lot10, pertama komplek, plaza low yat, jalan chow kit, lorong haji taib, penjara pudu, puduraya, tempat lain tak ade semua tu.
rasionalke alasan aku?
Thursday, January 31, 2008
Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.
Takut dengan masa depan? Fikir tentang masa depan? Bagus. Nabi ajar kita ingat mati. Maknanya suruh kita ingat masa depan. Mati kita tidak tahu bila. ‘Sesungguhnya orang yang bijak diantara kamu ialah orang yang selalu mengingati mati’. Bersedia untuk mati?. Sudahkah cukup amalan dibahu kanan kita?
Masa depan itu indah. Tidak perlu fikirkan tentang yang buruk-buruk. Fikirkan yang indah-indah. Tuhan itu sukakan dengan keindahan.
Bagaimana bisa melihat keindahan? Ambillah semangat suratul Asr. Melihat keindahan Tuhan dengan matahati yang bersalut iman. Dan iman itu hadir takkala kita sentiasa dekat dengan-Nya.
Wednesday, January 30, 2008
Sunday, January 27, 2008
biarlah di sini
di tempat suburnya mata keinsafan
basahnya lidah mengalun zikrullah
sukma yang gementar
dan dosa-dosa silam yang menghambat
zat tuhan yang memiliki buana alam
bangun dari dengkur silam
damaikan luluh hati ini
tenangkan walau sedetik
meneguk sumur cinta kasih-Mu
sungguh ya Tuhan
dalam perjalanan mengingati-Mu
prahara sentiasa tidak menentu
simpangnya tidak bertemu
sungguh ya Tuhan
pasrah ini hanya untuk-mu
selalu
itu pasti
Friday, January 25, 2008
sejuta suara bergema
imejan-imejan yang rontok akarnya
di lantai yang kotor
bumbung yang tiris
dinding yang penuh lukisan-lukisan grafiti
jadi
yang belum sepenuhnya jadi
di sebuah daerah tanpa nama
ada bangku tempat bersandar
dan sederet bangunan
berbau hamis
sebuah tamadun yang hilang
Thursday, January 24, 2008
Achtung!!!!
Wednesday, January 23, 2008
Tuesday, January 22, 2008
Monday, January 21, 2008
1st lesson
In the future we not just selling products but selling solving solution.
2nd lesson
Help people enhance their lifestyle.
3rd lesson
bla....bla....bla....
4th lesson
bla....bla....bla....
5th lesson
jangan tido masa kursusla!!!!!!
bersambung esok.....
Sunday, January 20, 2008
Tuesday, January 15, 2008
Sunday, January 13, 2008
Sepi. Lantainya sunyi. Bumbungnya khali. Suasana ini kadang memberi pesona. Jauh dari cik-cok sandiwara manusia. Kosong ujana mata. Yang ada hanya sepi. Ada apa dengan sepi?
Sepi buat rindu mengbungkam. Terkenang dan tanpa sedar datang satu kejutan yang merenjat batang tubuh. Sepi punya kuasa mistik. Halus dan misteri.
Sepi kadangkala buat jiwa jadi segar. Memenuhi ruang-ruang batini.
Saturday, January 12, 2008
Sejuta puisi
sejuta puisi
sejuta manusia
beribu pesona
betapa beban mendepani
mencumbui ruang-ruang
berikan aku keindahan
tanyalah pada
kupu-kupu kecil
yang terbang
dan hinggap di bunga
kuntumnya
wangian narwastu
sejuta puisi
dari suatu titik kosong
menghirup nafas
lebih dalam
Wednesday, January 09, 2008
Selamat Tahun Baru Hijriah 1429
Muharram datang lagi. sambutannya memang tidak seperti tahun baru masihi. Dengan panahan cahaya neon dan bunga api. tanpa konsert para artis. Tiada gegak gempita riuh rendah manusia di klcc, dataran merdeka, bukit bintang, bangsar baru etc. Sambutan awal muharam atau awal tahun hijriah dalam kalendar islam lebih tertumpu perihal spiritual, rohaniah. Kita diajar untuk menutup tahun ini dengan doa dan dimulai tahun baru juga dengan doa. Begitulah indahnya Islam yang dibawa nabi. Sambutan awal tahun hijrah tidak perlukan sorak-sorai khalayak manusia. Syukur di negara kita tercinta ini 1 muharram dijadikan cuti umum. Dan jika tidak mungkin ramai yang melupai kedatangan tahun baru ini. Ataupun kita lebih kenal nama bulan-bulan Islam dalam cerita ahmad albab. Muharram, safar, syawal. Itupun baru 3, yang 9 lagi entah.Sunday, January 06, 2008
Friday, January 04, 2008
"Saya sudah mendedahkan kehidupan peribadi saya kepada semua 26 juta rakyat Malaysia. Apa yang nak disedihkan. Saya juga sudah meletakkan jawatan daripada semua jawatan kerajaan dan jawatan parti... apa lagi yang mereka mahu?.
Sunday, December 30, 2007
2008

Tahun 2008 bakal menjelang tiba. Gerabak 2007 bakal kita tinggalkan. Dengan pelbagai cerita suka-duka yang berlaku seputar kehidupan kita. Sejarah selalu menoleh kesetiap sisi kehidupan, apa iktibar yang kita dapat setahun yang lalu. Namun adakalanya sejarah itu kita lupakan begitu sahaja.
2007 penuh dengan tragedi. Bayang-bayang Osama yang menghantui masyarakat dunia, Iraq yang sudah lelah kita impikan sebuah arca keamanan, palestin yang selamanya jadi mainan yahudi dan amerika, isu nuklear Iran dan korea utara, krisis Darfur yang meruncing, Politik Pakistan yang bergolak pasca kematian Benazir,. Pastinya 2008 depan, momen-momen ini akan ada kesinambungannya. Sejarah yang kita lupakan.
Aku.
Resolusi tahun baru 2008?. Blog ini rasanya sudah wujud lebih 2 tahun. Memuatkan tulisan-tulisan yang sebahagian besarnya bersifat peribadi, puisi-puisi tentang nyalarasa, rebiu filem-filem seusai ditonton. Entri mungkin telah bertambah. Namun rasa aku masih ada yang kurang. Macam mi segera tanpa perencah. Ada ruang-ruang yang perlu diperbaiki.
Yang lain.
Aku mahu tukar kerja (harap bos aku tak baca entri ini). Bertukar angin. Angin di sini nampaknya sudah tak serasi lagi. Semacam sudah jadi siklon. Nak cari angin yang sepoi-sepoi bahasa pula.
Lagi.
Kahwin. Kahwin? Dengan siapa? Ada. Tunggu sahaja. Akan ada bunga yang akan aku sunting nanti.
Ada lagi?
Ada. Nak kumpul duit. Bukan untuk kaya. Tapi untuk hidup senang. Tambah pelaburan dalam tabung amanah dan perbagaikan portfolio pelaburan. Minat dengan bisnes internet tapi tiada kaki. Ada siapa-siapa yang nak berkongsi?
Akhir
Dekatkan diri dengan Khaliq. Hendak kembalikan semula zaman-zaman masa di ehya’ dan ma’ahad dulu.
“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati Kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (Ali Imran:8)
Saturday, December 29, 2007
Balasungsawa Benazir

Bapa benazir, zulfikar yang dihukum mati oleh kerajaan Jeneral Zia ul-Haq atas tuduhan membunuh pada 1979, adik lelaki Benazir, Murtaza dan Shahnawaz yang juga terkorban akibat keganasan.
Dan berkata-katalah penyokong benazir "Bunuhlah berapa banyak Bhutto yang kamu mahu bunuh, seorang Bhutto akan muncul dari setiap rumah."
Wednesday, December 26, 2007
Basah
Langit bagai sudah ditebuk. Lalu segala apa yang dikantungnya mulai turun mencurah-curah. Hujan petang ini luar biasa lebatnya. Jarak penglihatan 100 metar dihadapan kian kabur. Mobil dan motorsikal memperlahankan kelajuan masing-masing, dan ia buat keadaan trafik jadi macet. Lopak-lopak ditakungi air, aliran sungai mengalir deras dan mulai mencecah tebing. Ibu kota kuala lumpur aku tak tahu keadaannya sekarang ini. Mungkin terowong smart bertukar fungsi jadi longkang besar. Shah alam, terutamanya kawasan TTDI dan batu 3 entah apa keadaannya pula. Basah seusai pulang dari kantor memang jadi kebiasaan. Alang-alang sudah hujan, redah saja. Basah tetap basah. Jangan kena tangkap basah sudah. Itu cerita lain pula.
Tuesday, December 25, 2007
Sunday, December 23, 2007
Kata-kata terpilih
Kata-kata ini yang aku pilih
Dari sekalian banyak aksara
Yang terupam dari pangkal lidah
Terus berlingkar memenuhi ruang batini
Untuk menyatakan dengan keindahan
Atau bermimpikah aku?
Sukarnya kuberitahu
Mimpi dari kebenaran
Dalam rajuk yang panjang
Ratib setiap malam
Yang ada cuma kesunyian panjang
Hanya aku seorang
Yang mengerti bait2nya
Saturday, December 22, 2007
Friday, December 21, 2007
Jatuh
menyembah ke lantai
menyapu saat-saat purba
terlalu banyak cerita
waktu ia jatuh
ada mata yang merenung
redup
dan gerimis mulai jatuh
bersama melodi
berlagu sendu
menyanyi rindu
Thursday, December 20, 2007
Salam Iduladha
Sunday, December 16, 2007
Setiap kota besar dunia pasti ada sisi gelapnya. Ada gelandangan berpelesiran, sang cacat yang meminta, pelacur mencari teman berahi dan wang, politisi yang rakus kuasa. Setiap kota besar dunia punya corak dan warnanya sendiri. Mencipta grafik dan CGInya sendiri. Animator-animator ini sesetengahnya bukan orang besar, bukan aristocrat, bukan korporat, eksekutif atau CEO. Mereka adalah marhean kota yang memang asal dari kota ini ataupun datang entah dari mana, yang mahu mencari rezeki. Halal atau haram. Noktah.
Filem anak halal menelanjangkan setiap kebobrokan anak muda ibu kota yang hidup di tengah kosmopolitan yang berbau hanyir, hamis, kotor dan jijik. Status ibukota bukan lambang kemulukan dengan terang lampu neonnya. Susuk gelap ini membuatkan penghuninya lapar dalam berahi, dan anak-anak muda membesar dalam nanar. Noktah.
Filem ini ialah cerita tentang anak muda dengan keghairahanya. Kegilaan merempit, khayal dengan dadah, gaduh sampai berbunuhan, lintah darat. Plot-plot ini digarap oleh sutradara Osman Ali dengan baik. Dengan mengambil latar kawasan flat murah ditengah ibukota, membelakangkan KLCC dan Times Square anak-anak muda ini membesar dan mencari rezeki. Memang semua anak muda ini gila, tapi mereka juga ada otak. Dan kadangkala ia buat mereka jadi lebih kretif. Noktah
Kenapa perlu tonton:
1. Farid kamil memang pelakon yang bagus cuma lepas ni dia perlu bijak memilih watak. Watak adiputra menyerlahkan bakatnya berbanding filem 7 perhentian dan filem2 komedi mentah lakonannya. Zulhuzaimi, Fauzi Nawawi, watak antagonis mereka memang menjadi. Betul2 jahanam. Maya Karin tanpa make up tapi lebih menyerlahkan keberkesanan lakonannya. Begitu juga pelakon2 lain. Masing2 memberikan impak yang tersendiri. Cuma fasha sandha. Macam ada yang tak kena. Mungkin susah nak buang imej natasyanya.
2. Kerja kemera yang cantik, suntingan yang kemas, dialog yang bersahaja menjadikan filem ini menarik untuk ditonton. Latar di atas bumbung flat persis dalam filem ungu violet.
3. Pernah nonton transporting? Ini filem trainspoting versi melayu. Cuma ia tak ada adegan ranjang.
4. Masih ada filem Malaysia yang bagus untuk anjung tahun ini. Tahun lepas ditutup dengan filem cinta sebagai filem terbaik. Siapa kata pengarah kita tak boleh buat filem komersial yang bagus?
5. Akhir sekali. Mungkin penonton lain tak perasan. Tapi aku perasan. Aku perasan ada novel faisal tehrani ‘perempuan politikus melayu’ atas bangku dalam rumah Erzan(adi putra) dan Milya(raja farah). Apa motif osman agaknya? Ataupun memang dah ada kat rumah tu?
Sunday, December 09, 2007
Rasional
Rasional. Kata Nietzsche yang ethis itu, 'tuhan sudah mati.Dan kita telah membunuhnya'. Rasional nietzsche? Penolakan kepada hukum moral, lantaran tuhan tidak lagi mampu untuk sebagai peran kepada sumber dari semua aturan moral. Jawapannya ialah membentuk pemikiran nihilisme yang lebih idealistik dan menemukan titik moral manusia yang menolak sistem nilai yang sedia ada.
Rasional kita. Apa jawapan kepada permasalahan yang menebak dunia hari ini. Tuhan sudah mati kata nietzsche? Biarkan dia. dia sudah mati bersama tuhannya. Tuhan itu Baqa' sifatnya. Yang mati adalah kita. Tuhan sudah mati dalam hati kita.
Mencari rasional dalam setiap isu yang bersawang seputar kita. Jawapan ada. Ada dalam Kitab suci. Dan dalam sunnah nabawi. Baca dan ambil intinya, praktik apa yang ada di dalamnya.
Sunday, December 02, 2007
Disember
Disember ini penuh dengan harapan membuhul. Langkah akhir perjalanan untuk satu permulaan baru. Disember ini bulan penuh rencam. Terlorong sisi yang entah sekian kali banyaknya datang, untuk membuka atau menutup lubang-lubang binasa dari setiap rona-rona yang berjalan siang dan malam. 31 hari bermula dari semalam adalah satu pertandingan. Pemenang ditentukan dihari terakhir. Kepura-puraan dan hipokrasi. Dan masa depan yang tak pasti. Meneroka makna Disember ini yang kemaruk dengan pesta dan keraian yang berahi, adalah perjalanan yang ruwet. Namun harapan tetap di situ. Masih di situ. Sebelum kotak Pandora dibuka. Dan segala rahsia januari akan terungkai.
Tuesday, November 27, 2007
Betulkah DBP sudah impoten?
Teringat pula dengan Gunawan Mohamad. Bila seseorang mengikuti majalah tempo, selalu ada kolum catatan pinggir. Dan kolum pak Gunawan ini telah dibukukan hingga jilid ke4. (boleh juga diakses ke blog beliau www.caping.wordpress.com). Dari pemerhatian peribadi, Pak gunawan banyak menggunakan istilah asing yang di indonesiakan (yakni dimelayukan) dalam tulisannya, namun ramai yang terpesona dengan gaya bahasa, gaya penuturan dan makna setiap esei-esei beliau. Dan orang masih faham dengan tulisannya. Dengan istilah yang dipakainya waima sudah diindonesiakan.
Ironinya sekarangpun sains dan matematik diajar dalam bahasa inggeris di sekolah. Mengapa bising mengenai istilah. Mengapa pak-pak menteri masih bertutur dengan bahasa inggeris di depan penutur berbahasa melayu. Ah! bahasa inggeris pun banyak meminjam istilah dari bahasa-bahasa lain terutamanya bahasa arab. (dan fakta. Di eropah penutur bahasa jerman lebih ramai dari bahasa inggeris)
Istilah bukan satu isu. Soal pemantapan bahasa melayu dari peringkat akar umbi itu lebih aula. Kendati namanya bahasa melayu namun ia adalah hakmilik setiap warga malaysia tanpa mengira ras. Alangkah bagusnya bahasa melayu dapat diperdengarkan di sidang bangsa-bangsa bersatu seperti dilakukan Suharto dahulu.
p/s: ini adalah pandangan peribadi penulis tanpa ada rasa prejudis dengan mana-mana pihak, tapi atas dasar sayangkan lingua franca ini.
Sunday, November 25, 2007
Hitman
cerita lelaki botak dengan kod bar di belakang kepala. siapa kata lelaki botak tak menawan. agen 47 ada lesen membunuh persis james bond. dia direkrut sejak kecil untuk menjadi pembunuh upahan, oleh sebuah organisasi bawahtanah yang misteri. menjalankan kerja2 jahat CIA. Hitman adalah adaptasi baru dari permainan komputer popular keluaran Eidos. Aku tak berapa minat dengan francis lara croft atau resident evil. tapi hitman oklah. heronya ini tak pernah lupa dengan kot hitamnya, kemaja putih bertai merah. mengarut, tapi kool. pegilah nonton. sekarang tengah dipanggung.Saturday, November 24, 2007
Beowulf
Robert Zemeckis kembali bikin filem. aku cukup teruja dengan filem2 arahannya dahulu, back to the future, forrest gump, cast away. selepas eksperimentasinya dengan polar express, zemeckis menjadikan beowulf sebagai kesinambungan teknologi motion capture dalam filem. memang tak terasa kesan animasi dalam filem ini, kerana segalanya seakan-akan hidup. beowulf adalah mitos dari belah dunia scandinavia. di ceritakan turun-temurun dalam medium puisi (persis perang troy dalam puisi panjang homer, the illiad).beowulf. seorang pahlawan dari geta datang kesebuah kerajaan untuk membunuh seekor raksasa bernama grandel. grandel berjaya di bunuh beowulf dengan aksi2 akrobat yang hanya boleh ditonton dalam bentuk animasi. seakan sudah disuratkan atau rahsia yang tersimpan kemas sejak raja hrothgar memerintah. beowulf berhadapan dengan si ibu grandel dengan niat untuk membunuh. dan si ibu grandel bukanlah seekor raksasa hodoh seperti grandel tetapi seorang perempuan cantik yang penuh tipu muslihat. biarpun segagah mana beowulf, akhirnya beowulf tersungkur dalam keghairahan si ibu grandel. si ibu grandel menjanjikan sebuah kekayaan dan kekuasaan yang tak termimpikan oleh beowulf. dan dari hubungan dengan si ibu grandel lahir seorang anak yang kemudiannya menjadi seteru beowulf. sama sepertinya perseteruan raja hrothgar dengan grandel. setelah beberapa tahun berlalu. setelah beowulf di angkat menjadi raja menggantikan raja hrothgar yang telah mangkat. seekor naga datang dengan onar. memusnahkan kerajaannya. peristiwa lampau berulang. beowulf sudah tua, namun kegagahannya tidak pernah luput. beowulf sendiri mengangkat pedang untuk membunuh si naga. membetulkan kesilapan silamnya. dan naga yang dibunuhnya adalah anak lelakinya sendiri, hasil hubungan dengan si ibu grandel dahulu.
kisah beowulf, adalah adaptasi dari puisi kuno anglo-saxon. segagah manapun, sekuat manapun,beowulf tetap seorang lelaki.
Monday, November 19, 2007
Suara ini
Gemersiknya bersambut kelembutan
Singgah bertamu
Memenuhi setiap inci batini
Menyimpan setiap sendu murba
Memecah rindu dalam setiap getar kata
Dan hujan jadi lagu
Dari bumbung kehidupan
Tempat teduh sebuah perjalanan
Yang bertingkah dengan senyuman
Menyahut cinta kasmaran
Memenuhi bejana penuh air mata
Dan tawa yang diukir
Dengan setiap pengharapan panjang
Tetap sama
Matahari masih bercumbu dengan siang
Langit masih mengomoli rinci buana
Luluh menanti pelangi
Yang kadang-kadang muncul.
Thursday, November 15, 2007
Sunday, November 11, 2007
Sore 10 Nov 2007 Sejarah Yang Diingati



aku menonton berita di teli hari ni dan semalam namun tiada langsung berita seputar perhimpunan 100 ribu rakyat di dataran merdeka, waima aku memang sudah jangkakan perhimpunan ini tidak akan mendapat tempat dalam siaran berita lokal. cuma nak lihat kalau2 ada stesen2 tv selain rtm yang membuat liputan mengenai perhimpunan tersebut. tapi nampaknya al jazeera yang lebih berminat. mingguan malaysia hari ini menyatakan: Sekitar 4,000 orang telah berhimpun secara haram di sekitar perkarangan Dataran Merdeka sehingga ke Masjid Jamek hari ini dan polis telah menahan 245 orang. memang melucukan. sedang dunia menyaksikan puluhan ribu manusia yang berhimpun di perkarangan istana negara, belum lagi dicampur yang masih dalam perjalanan dari tempat himpunan masing2, yang terkandas di jalan raja laut, yang tersekat di jalan masjid jamek, di pasar seni, yang terkurung di sogo, dan beberapa lagi tempat di metro kota.sore 10 november 20007 membuktikan yang rakyat juga pantang dicabar. rakyat jelata berjaya melakukan perhimpunan secara aman dan mahu sebuah demokrasi yang bersih. tembok berlin sudah runtuh, kesatuan soviet sudah lebur, yang tinggal adalah demokrasi. kepalsuan cuma ibarat kunang-kunang yang hilang waktu cahaya di jamah kegelapan.
Saturday, November 10, 2007
Malam Minggu
penamat cerita, kai sing mati di bunuh oleh dau su, orang kepercayaannya sendiri, dan harapannya yang terakhir agar dia tidak di bunuh di hadapan kekasihnya. dan kejadian itu langsung tidak di sedari kekasihnya. cuma sejambak mawar yang tinggal.
filem2 hong kong dalam genre ini kebanyakannya anti klimaks. macam filem sewaktu dengannya seperti exile, the election, internal affairs, kadangtu watak antagonis protagonis ditiadakan. yang ada cuma cerita. ya, aku mahu menonton cerita. bukan setakat tembak-menambak ala die hard dari awal sampai habis.
p/s: utusan malaysia melaporkan. orang kuat kumpulan gangster sarawak ditahan di kawasan perumahan tabuan jaya kira2 3.30 petang semalam.
Thursday, November 08, 2007
Minyak
Minyak adalah bahan mentah aula bagi penduduk dunia. Sanggup berbunuhan untuk menguasai emas hitam ini. Apa alternatif kita selain menggunakan minyak? Sanggupkah kita berkelana menggunakan basikal?
Tuesday, November 06, 2007
Rasuah
P/S: pilihanraya nak dekat. baik BPR pergi siasat orang-orang politik pula.
Thursday, November 01, 2007
Payung....
mujur dalam keserabutan ini aku ketemu dengan seorang minah cun di youtube. dengan bekalan gitar kapok, rias wajah yang cun, dia menyanyi.'ela...ela...ela...under umbrella ela...ela...ela....dunia sekarang nampaknya tak perlu lagi rancangan realiti untuk cari bakat baru kerana dunia sudah ada internet. audiennya seantero dunia. hitsnya di youtube sudah melebihi 2 juta. nama marie digby sudah tenar. sensasi yang lahir dari youtube, di luar dunia glamor american idol. dan gadis cun kacukan jepun dan irish-american ini buat aku khayal sebentar. berjalan berdua di NY times square sambil memegang payung hitam. hujan mulai turun rintik-rintik.
Wednesday, October 24, 2007
Malas
hujan. monsun kali ini lain macam pula. dah seminggu bumi basah ditimpa hujan. pegi kantor hujan, balikpun hujan. bila suhu keliling dah turun mulailah mata ni macam digam dengan gam kasut. inikah yang buat aku malas. ah! orang malas memang banyak alasan......
Saturday, October 20, 2007
Tuesday, October 16, 2007
Indahnya Syawal
ii. Cutiku cuma sampai 3 syawal. Maka 3 syawal ini aku mulai pulang ke daerah tempat aku mencari rezki. Perjalanan ke shah alam dari teluk intan memang memeritkan, lantaran keadaan trafik yang macet. Akhirnya perjalanan pulang yang cuma 2 jam melarat ke 3 jam. Nah! sampai kejang kaki menekan brake dan menukar gear.
iii. Syawal ke 4. Motivasi untuk masuk kerja boleh dikatakan langsung tiada. Tapi mujurlah trafik hari ini berjalan lancar. Tidak seperti selalunya waktu pagi hari berkerja. Di kantor tak sampai separuh orang yang berkerja. Separuh lagi mungkin masih beraya dikampung. kaunterpun lengang.Tak ramai yang datang. Aku pula tak sudah-sudah melihat jam, bilalah nak balik ni....
Sunday, October 07, 2007
Thursday, October 04, 2007
Meski
musim-musim rontok menjelma
dalam urat nadiku
langam bicaraku dengan jerih masa
bergulir liar meniliti gubuk kesepian
ah, sejauh mana dakapan erat itu
yang masih hangat di bawah seberkas mimpi
mimpi yang menjadi ilalang
usang
usai mengabdi diri
khali dilaut malam
itu demi kesempurnaan
penuh kepedihan
selama surut gelombang jiwa
Saturday, September 29, 2007
Pertengahan Ramadhan Ini
perbanyakkanlah ibadah rohani
basahkan tubir bibir dengan alunan al-Quran
selami intinya
hingga meresap keubun-ubun kepala
selangkan antaranya dengan zikirullah
penuhkan malam-malamnya dengan qiam al-lail
Mohonlah margfirah
sesungguhnya ramadhan akan datang
tiada jaminan untuk kita
entah ketemu lagi atau tidak
Seusai Menguliti Tuhan Manusia
Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.
Usai membaca tuhan manusia. Novel ini tak seperti novel-novel faisal yang pernah aku baca. Novel-novelnya seperti perempuan politikus melayu penuh dengan imej berontak, Tunggu teduh dulu dengan wacana feminis, 1515 pula sebuah amnesia sejarah (antara beberapa contoh novelnya).
Tuhan manusia memberikan sisi baru pembacaan yang segar. Persoalan pluralisme dan gejala murtad yang kian membarah dalam masyarakat kita. Ia seperti ngembara ke sebuah daerah yang penuh dengan inti-inti falsafah, dan mengutarakan bentuk pemikiran islam yang dinamis, sesuai dengan perkembangan zaman.
Novel yang baik bagi saya ialah novel yang ada unsur-unsur ilmiah didalamnya, yang disampaikan dengan cara bercerita, langsung mendidik jiwa kearah kebaikkan. ironisnya genre novel seperti ini kurang diminati remaja yang lebih gemarkan gaya cerita yang ringan dan ‘simple’. Seputar soal cinta, rindu, sayang, kasih etc. (boleh semak tajuk-tajuk novel ini di toko-toko buku berdekatan)
Tak banyak novel-novel seperti ini yang berbahasa melayu (baca melayu bukan Malaysia) di Negara kita. Kalau adapun novel-novel yang ditulis oleh penulis yang bertaraf sasterawan Negara. Bila ramai yang nak jadi penulis maka berlambaklah novel-novel remaja yang mentah. Kemudian kita mulai bercakap ini novel popular, yang itu novel sastera. Sudah jadi polemik pula.
Novel sastera tak popularkah? Bagi aku untuk mempopularkan novel-novel sastera ini adalah dengan melambakkannya dipasaran. Jangan beri peluang pada novel-novel mentah atau separuh mentah. Bila sudah melambak dipasaran, pembaca tiada pilihan lain selain membeli dan membaca novel sastera. Nampak macam utopia. Tapi bukan mustahil. Penerbit kena ambil bahagian, sasterawan kena terus menulis. Baru dunia sastera tanah air rancak semula.
Kita kena buat sesuatu untuk sastera kita. Jangan suatu hari nanti sastera kita mati, macam matinya Lahuma. Dan waktu itu novel seperti mona gersang dan siri bercakap dengan jin akan jadi teks wajib untuk pelajar-pelajar sekolah.
p/s: ini adalah pandangan peribadi. anda ada pandangan sendiri?
Thursday, September 27, 2007
Sunday, September 23, 2007
Melihat wajah ibu adalah nikmat terbesar kurniaan Ilahi. Ibu adalah anugerah tak terhingga. Jika Allah menyuruh kita menyembah kepada makhluk ciptaan-Nya pasti kita disuruh untuk menyembah insan yang bernama ibu ini.
Aku pulang ke kampung jumaat lepas untuk sama-sama meraikan ramadhan dengan keluarga dan yang paling aula ketemu dengan ibu. Wajah renta ibu bercahaya menyambutku. Wanita ini kutahu amat kuat semangatnya, tak padan dengan tubuhnya yang kecil. Setelah pelbagai badai yang melanda keluarga kami, segalanya dihadapi oleh ibu dengan tabah. Ibu tahu setiap yang berlaku ada hikmahnya, ada ujian yang tersirat yang tidak jelas dimata kasar.
Makanan berbuka dan sahur disediakan ibu, tanpa ada buku resepi yang menguliti setiap masakan. Namun hasil tangan ibu amat menyelerakan anak-anak dan cucu-cucunya.
Di waktu malamnya, seusai solat Margrib suara klasik ibu indah mengalunkan ayat-ayat suci Al-quran. Cukup dengan tajwid dan tartilnya. Aku tahu setiap bacaan ayat-ayat suci itu disedekahkan buat gemulah bapak dan datuk yang telah lama meninggalkan kami, menuju alam keabadian.
Melihat wajah ibu terasa cukup tenang dan bahagia. Sementelah pula kala ramadhan ini yang datang menyengguk umat Islam dengan barakah tak terhingga. Aku pulang hari ini dengan memohon kemaafan dari ibu, meminta restu agar diluruskan setiap perjalanan ini dengan rahmat dan petunjuk Ilahi.
Sunday, September 16, 2007
Mencari Kekuatan Bahasa Melayu
Raut wajahnya tiada langsung iras melayu. Jessica Ong Hai Liaw, berketurunan cina, macam cina-cina Malaysia yang lain. Bermata sepet, berkulit putih mulus. Siapa yang menonton slot berita dunia hari ini, pasti mengenalinya, tukang baca berita, petah berbahasa melayu. Dalam harian metro semalam, Sabtu 15/09/2007, Jessica menganggap bahasa melayu sangat indah, dan amat rugi jika tidak mengamalnya. "Terus-terang, saya amat mencintai bahasa Melayu. Biarlah orang lain dengan cara mereka berbahasa asing, tetapi saya sesekali tidak segan bertutur bahasa Melayu," katanya. Ia bukan sekadar ucapan kata tapi dibuktikan dengan memiliki ijazah sarjana muda dan sarjana bahasa melayu dari universiti putra Malaysia disamping sedang meneruskan pengajiannya diperingkat doktor falsafah, juga pengkhususan dalam bahasa melayu. Kita tinggalkan Jessica dengan obsesinya dengan bahasa melayu. Kembali kepada realiti semasa bahasa melayu di Malaysia, cemerlang, gemilang, terbilang ini.
Bahasa melayu sedang berada dalam era globalisasi, namun peranannya pula sebagai bahasa ilmu dan kemajuan mulai terhakis. Bahasa asing terutamanya bahasa inggeris mulai mengambil alih peranan sebagai bahasa utama dalam pelbagai sektor di Malaysia. Bahasa melayu makin terpinggir apabila para pemimpin melayu menekankan penguasaan bahasa inggeris ini dari peringkat akar umbi dengan menjadikan para pelajar sebagai mangsa. Pemimpin melayu juga lebih enak bertutur dalam bahasa inggeris, dalam forum2, ceramah2, di tivi dan dimana-manapun agar nampak maju dan punya status yang tinggi.
Apakah dosa bahasa melayu pada negara? Kata dr Hassan ahmad, orang melayu boleh berfikir dan mencipta kemajuaan, mengembangkan ilmu, menjadi pakar, sarjana dan bijak pandai dalam segala bidang melalui bahasanya sendiri. Hanya apabila orang melayu disekat untuk memajukan diri melalui bahasanya sendiri, barulah bangsa melayu itu mundur. Hanya stigma yang mengatakan bahawa orang yang menguasai dua bahasa (melayu dan inggeris) lebih pandai atau lebih bijak berfikir dari mereka yang mengetahui hanya satu bahasa, iaitu bahasa melayu.
Ahli bahasa antropologi barat(amerika), terutama Edward Sapir dan anak muridnya Benjamin Lee Wholf mencetuskan perbahasan selama lebih 60 tahun apabila mereka mengemukakan teori atau hipotesis tentang linguistic determinism atau ketentuan bahasa yang mengandaikan bahawa pemikiran manusia ditentukan, tetapi tidak dibatasi, oleh bahasa yang digunakan oleh bangsa yang memiliki bahasa itu. Implikasinya ialah kemajuan atau kemunduran sesuatu bangsa, secara relatifnya, bergantung pada bahasa yang digunakan oleh bangsa itu.
Semua bangsa yang maju adalah kerana mereka menggunakan bahasa mereka sendiri dalam mencanai dan mencipta kemajuan. Ambil contoh Filipina, negara berbahasa inggeris terbesar di asia tenggara, tapi dari segi ekonomi negara Filipina masih jauh ketinggalan (berbanding Thailand, dan tentunya jepun dan korea selatan). Dikatakan antara eksport utama filipina ialah pembantu rumah kerana kebolehan mereka bertutur dalam bahasa inggeris.
Bukan mahu merendah-rendah bangsa dan negara lain tapi sebagai perbandingan bahawa jati diri bangsa dapat diperkasa melalui pemantapan dan penguasaan bahasa ibunda. Para pemimpin, terutamanya yang terlibat dalam membuat dasar negara perlu sedar dan yakin dengan keupayaan bahasa melayu yang suatu masa dahulu pernah menjadi lingua franca dalam era kesultanan melayu Melaka. Melaka sebelum dilanggar benggali putih 1511M lebih maju dari malaysia hari ini, dan resepi kemajuan tersebut ialah bahasa melayu itu sendiri.
Bahasa melayu punya kekuatan dan keindahannya. Namun bangsa lain seperti Jessica yang nampak kekuatan dan keindahan tersebut berbanding pemimpin melayu yang enak bertutur dalam bahasa inggeris waima sesama malayu sendiri sama ada diwarung-warung kopi tepi jalan atau di lobi parlimen seusai bersidang.
Thursday, September 13, 2007
Ramadhan Yang Datang
Ramadhan yang datang
Datang dengan barakah tujuh lautan
Mencari cinta hakiki
Menyuci badan dari kotoran
Daki dosa setahun lalu
Amal dilipat ganda
Waima sedekah sebiji tamar
Menanti kucupan kasih-Mu
Memohon marghfirah dari-Mu
Titipan doa teleku qiam malam
Agar temui al-Qadar mulia seribu bulan
Ku temui lagi Ramadhan ini
Dan aku datang dalam pasrah redho-Mu.
Tuesday, September 11, 2007
6 Tahun Selepas 11 September
11 September, 6 tahun lalu adalah titik tolak kebencian barat (sebut: Amerika) terhadap umat Islam. Hari ini kenangan peristiwa tersebut masih berilam-ilam di ruang retina. 2 buat pesawat bagi peluru menghentam sebuah ikon milik sebuah Negara adikuasa. Tiada yang dapat memintasnya. Kemusnahan berlaku sekelip mata. Dan sekelip mata juga dunia menghukum umat Islam di sebalik punca tragedi. Al-qaeda langsung menjadi kambing hitam bagi menghalalkan perang genocide atas nama memerangi pengganas. Dalam usaha ini nada islamofobia atau rasa benci terhadap Islam disemaikan. AS tidak pernah merasa puas dengan kerja jahat mereka sejak perang dunia pertama, dan berlanjutan hingga perang dingin. Hari ini AS muncul sebagai kuasa tunggal selepas runtuhnya kesatuan soviet. Umat Islam diratah wewenangnya oleh AS dan juak-juaknya. Dari palestin, lubnan, Somalia hingga ke Darfur. Islam tidak pernah mengalakkan keganasan. Dan setiap pembunuhan yang dilakukan oleh kelompok yang mereka gelarkan sebagai ekstrimis, fundementalis atau apa jua istilahpun adalah bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri. Islam merupakan agama yang mencintai keamanan. Tiada langsung tempat dalam islam untuk mereka menggalakkan keganasan. Cuma yang menjadi kekeliruan ialah adakah perjuangan membebaskan tanah air dari penjajah juga dianggap pengganas? Hizbullah di lubnan dan hamas di palestin telah lama berjuang untuk memerdekakan tanahair namun dilabel oleh AS sebagai organisasi pengganas. Hizbullah tidak sama seperti al-qaeda. Nasrallah tidak sama dengan Osama. Kita semua dikelirukan barat (sebut sekali lagi AS) dengan siapa sebenarnya pengganas. Pengganas dalam kamus AS ialah mereka yang tidak bersama-sama menyokong mereka.
Sunday, September 09, 2007
Tuan Dari Mana
angin menebak dari dada
dan bertanya sebuah kota
tuan dari mana
sambil bergulir mimpi dunia ketiga
minyak dan airmata
infantri dan puing keamanan
sebelum buah-buah zaitun
masak di tengah oasis
tuan dari mana
gurun ini penuh mayat dan roh jahat
bukan bayang demokrasi
tak bisa mengunyah kebebasan
rangtua dan ibu muda
masih dalam jagaan malaikat maut
muka depan berita perdana
seorang kecil bocah
berbogel keliling kota
mencari makna hari
tiba-tiba memekik nyaring
revolusi! revolusi! Celakalah kaum borjuis!
pasti dari dunia pertama
mari bersama mencicip kopi
mengunyah sarapan pagi
di warung kapitalis
bicara soal idealis
sebelum bom mulai ghairah di ranjang berahi
Tuesday, September 04, 2007
Saturday, August 25, 2007
Bukan mahu mencorak mimpi. Mencagar impian. Merenung masa depan atau masa lalu. Tidak semestinya semua itu hadir dalam hiruk-pikuk dunia atau apa sahaja yang datang menyelimuti ruang-ruang batini. Waima betapa hebatnya gelora sukma. Terbang melayang mengikut arah pawana, paksina maupun daksina. Ilusi dan realiti, dunia bawah sedar. Saling bersambung…..kemudiannya….
Thursday, August 23, 2007
Buku Nota
Sebuah buku nota. Tertulis beberapa aksara. Tempat memutus sepi. Kala malam gelap dan terang siang. Juga terangkum sejuta puisi. Rasa yang canggung. Berpusar dilubuk nyali. Apa itu? Secangkir kopi, sepinggan nasi goreng kampung, semangkuk salad mayonis. Rona yang mengisi tembolok. Duduk di atas bangku konsumer sesat. Bersebelah perempuan berambut koyang. Menyambut dengan senyuman goda. Catatan nota hari ini. Sepanggung di laman metro. Wayang gambar. Cerita tembak-tembak. Dicatat lagi. Hujan lebat di luar. Angin bertiup kencang. Tanah jadi lecah. Terperangkap. Mujur disisi ada buku nota. Dan perempuan berambut koyang.
Wednesday, August 15, 2007
Kemalangan

Nahas jalan raya terburuk dalam sejarah negara itu sekali gus menimbulkan semula persoalan berhubung isu pemandu yang mempunyai kesalahan trafik berulang, tetapi masih ‘bebas’ memandu kenderaan awam.
i Balasungkawa buat keluarga mangsa tragedi kemalangan maut bas ekspres pada dinahari 13 ogos lalu. Biarpun apapun polemik yang timbul ekoran kemalangan tersebut, kuasa takdir melebihi dari segala apa yang kita fikirkan. 20 mangsa tersebut telah dipanggil Tuhan. Tuhan yang mereka dan kita percaya tidak kira apa jua agama yang dianuti. Hingga kini kesalahan mahu di cari. pemandu bas yang punya saman trafik dan waran tangkap (juga salah seorang dari 20 mangsa yang terkorban), atau kelemahan pihak berkuasa, atau kegagalan syarikat bas itu sendiri. Yang pastinya kemalangan adalah lumrah di jalanraya waima betapa canggihnya sistem aliran transit kita. Ibarat kubur yang bergerak tanpa nesan. Kemalangan akan terus berlaku, terutamanya apabila tiba musim-musim perayaan, semacam sudah jadi virus yang bersarang di dalam tubuh pengguna jalanraya. Tragedi ini pasti bukan yang terakhir. virus ini pasti kan menyerang lagi, cuma masanya yang tiada dalam jadual perjalanan kita. Kemalangan adalah kerja takdir. Bila ia datang kita tidak dapat mengelakkannya kendati betapa bersopan santunnya kita dijalanraya. Tapi dengan kewaspadaan kita boleh mengurangkan risiko kemalangan terutamanya yang mengakibatkan kematian.
ii Aku kemalangan pagi semalam waktu ke kantor. Alhamdulillah tuhan masih sayangkan aku, untuk aku mengkoreksi diri, melihat jauh-jauh kesukma betapa saban waktu diri ini berkelintar dengan dosa-dosa, dan mahu hamba yang hina-dina ini menadah tangan kelangit memohon segunung ampun. Doktor bagi cuti dua hari. Dua hari untuk menginsafi diri. Dua hari untuk muhasabah diri. Syukur Tuhan aku masih diberi peluang oleh-Mu. Mengecap nikmat nafas yang diberi-Mu.
Sunday, August 12, 2007
The Simpsons

kisah keluarga simpsons (bukan samsons!). homer, marge, bart, lisa, dan meggie serta seputar kehidupan penduduk di springfield. kisah bermula apabila homer menjadikan seekor babi sebagai haiwan peliharaannya dan tindakannya membuang najis babi ke dalam tasik takkala orang ramai dilarang mencemarkan tasik tersebut mengundang petaka yang dahsyat. springfield di kuarantin pihak berkuasa di dalam kubah kaca, dan dari sini terpampang betapa jeliknya politisi menggunakan isu ini untuk kepentingan sendiri. bagi menebus kesalahannya, homer perlu menyelamatkan springfield daripada bencana yang dibuatnya sendiri.
nyatanya kisah ini buat aku letih. bukan sebab durasinya atau plotnya. tapi aku letih sebab dari awal montaj 20 century fox hingga ke penghujung cerita aku ketawa terbahak-bahak. simpson adalah satira yang menghiburkan waima tidak selancang south park. takkala banyak filem animasi di 3dkan, simpsons datang dengan gaya klasik dan ia nyata berjaya.
Tuesday, August 07, 2007
Derita Dalia
Dalia Hussein hanya seorang kanak-kanak tipikal di selatan lubnan. Usianya baru menyergah tujuh 6 tahun. Cerdik budaknya. Jika di Malaysia, anak kecil ini mungkin sedang seronok menikmati kehidupan alam kanak2nya. Ke sekolah, ke taman, mungkin juga punya harapan menggunung untuk masuk universiti atau jadi atlit sukan. Malangnya lubnan tidak seperti kita di sini, dan bom israel tidak pernah menanya berapa usia anak ini. tiada siren amaran. Bom tetap dengan sifatnya. Merobek setiap jiwa yang tidak bersalah. Syukur Dalia masih hidup. Syukur jurugambar media, Mahmud Zayat mendapati Dalia masih bernafas di rumah sakit. “Dia dibaringkan di atas pengusung. Kain yang menutup seluruh tubuhnya kelihatan bergerak lemah. Dia masih bernafas,” katanya sambil mengingati kejadian itu. “Saya mengambil gambar dan memanggil doktor, untuk memberitahu Dalia masih hidup.”Kini sudah hampir setahun tragedi itu berlaku. Bangun dari kematian bukan mimpi muluk untuk dikenang. Dalia kembali kerumahnya di perkampungan kecil Bazuriya setelah menerima rawatan berterusan di Itali. 6 pembedahan dilalui dalia di bergamo itali, namun dalia tidak sembuh sepenuhnya. Dalia cacat, dan kecacatan itu mungkin kekal sepanjang hayat. Syukur Dalia masih sedar dan boleh mengenali ibu bapanya, kakak dan abang kembar yang kini berusia 13 tahun.
Dalia cuma secebis kisah malang kekejaman israel. Tangisan ini bukan cerita baru. Ia cerita lama yang entah bila akan berakhir. Dan adik kecil Dalia bukan insan terakhir yang menjadi mangsa peluru dan bom israel berhati batu.
Mengenang Dalia Hussein terasa runtun perasaan ini, sebak dada ini. Mungkinkah kita di sini begitu jua.
Sunday, August 05, 2007
Aku Ini Binatang Jalang
Kalau sampai waktuku
Kumau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau
Tak perlu sedu sedan itu
Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang
Luka dan bisa kubawa berlari
berlari
Hingga hilang pedih peri
Dan aku akan lebih tidak peduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi.
Chairil Anwar
Sisi Sebuah Perjuangan
Titis perjuangan yang bergulir desingan mesiu
Lalu gegak gempita alam menyulam langit hitam dan merah darah
Bertahun-tahun bersandar di bangku kebenaran
Maka apa yang bisa dipertahankan
Atau dalam rela melepaskan
Sedang tirani mengenggam nyali
Dan muncung benet hampir menusuk halkum
Apalah lagi yang tinggal
Dalam kesia-siaan ini
Di bawah langit nirmala
Tanpa gusar
Di sisi perjuangan
Tanpa noktah
Menyeru sukma merdeka
Friday, August 03, 2007
Camar
Wednesday, August 01, 2007
10 Steps to Becoming a Better Writer
- Write.
- Write more.
- Write even more.
- Write even more than that.
- Write when you don’t want to.
- Write when you do.
- Write when you have something to say.
- Write when you don’t.
- Write every day.
- Keep writing.
by Brian Clark
Sunday, July 29, 2007
Haru-Biru
Memang filem ini haru-biru. Mainan kamera yang amatur, kelam, murung, goyang sana goyang sini. macam filem murah tak cukup bajet. Gambar pula ala-ala filem-filem awal 80-an, taxi driver, raging bull, azura, ali setan etc. Rasa aku kualiti drama swasta tv seribu kali bagus dari ini. Ah! nama filempun dah haru-biru.
Cuma aku rasa filem jujur. watak-wataknya cuma orang-orang biasa seputar kehidupan kita. Dan cerita melayu ini juga dah pandai sebut f**k.!!!Waima perkataan itu dipotong (alah macamlah penonton ni dungu) waktu adegen si ariana sedang marah dengan kid 'kau cuma nak f**k aku, f**k dia dan f**k semua orang. Lagi satu aku suka lakonan que sebagai kid, mat dadah yang haru-biru, intonasi suara laloknya memang menjadi.
Haru-biru memaparkan sisi gelap kehidupan remaja metrokota; dadah, arak dan seks, mencipta syurga kosmetik. Siapa mahu jadi malaikat ditengah syaitan dan nafsu merajalela?.
p/s: aku haru-biru dengan minah belakang aku tadi. mengomel bosan itu, bosan ini. macam badut kuning dalam iklan digitu. kalau tak suka blahlah!!!pegi tengok budak magik naik penyapu terbang atau robot tukar-tukar.
Sungguh
Kalau dahulu aku bersungguh mungkin keadaan tidak seperti sekarang. Rasa sesalpun ada.Tapi apa hendak buat. Perkara lama jangan diungkit lagi. Mulai sekarang kena bersungguh. Peluang kadangtu datang sekali. Tak mahu main-main lagi. Kejar sampai dapat. Itupun kalau tak mahu sesal lagi.
Sunday, July 22, 2007
Diet?
Monday, July 16, 2007
Tuesday, July 10, 2007
Dalam usia ini
Menumpang hidup di bumi tuhan
Betapa pantas masa berlalu
Meninggalkan ingatan silam
yang berbalam-balam warnanya
Masa lalu yang bukan legasi
Tapi kasih cinta
Yang terukir di atas sahmura indah
Penuh renjana
Mencari hakikatnya maknawi
Dalam isthikarah yang panjang
Agar tidak lemas
Ke dasar lautan nafsu yang merenggus panjang
27 tahun perjalanan
Mencari redho Yang Esa
Dalam setiap rengkuhan nafas
Yang berombak mengikut alunan fitrah
Muda sebelum tua
Sihat sebelum sakit
Kaya sebelum papa
Hidup sebelum mati
Lapang sebelum sempit
Berilah kesempatan dalam usia ini
Untuk terus berada dalam lingkungan rahmat-Mu
Yang dikucup dari sumur kasmaran
Wahai Tuhan yang maha pengasih
Wahai Tuhan yang maha penyayang
Dalam Kesempatan Ini
Selama disebut kata sumpah dan setia
Dan demi keindahan ini
Yang tercabut satu-persatu
Dari pasak yang memegang nubari
Berilah kesempatan untuk melihat
Tidak dalam lara yang pusang
Berilah kesempatan untuk menafsir
Setiap juzuk-juzuk yang mujarad
Berilah kesempatan untuk merasa
Liang-liuk ilalang dipukul pawana
Mengertilah
Dalam setiap helaian nafas ini
Mengertilah
Hidup bukan sekadar mimpi
Sunday, July 08, 2007
Nyanyian Syahadah
Membuhul di sukma
Merekah di bibir
Bertaut di kolam kasih cinta
Sujud tafakur ini
Waktu renta malam
Membawa sepi jadi satu
Nyanyian syahadahku
Dalam teleku qiamulaili ini
Betapa metah jiwaku
Rapuhnya sukmaku
Mengadap-Mu
Mendakap pelukan rindu-Mu
Waktu aku Tersangkut
Dalam jaring berahi dunia
Tak terlawan olehku
Syahadah yang ku pegang ini
Tanda saksiku
Tanpa waham
Waima tujuh petala langit
Tujuh petala bumi
Jatuh menimpa aku
Kesaksian ku ini tiada duanya




